Orang ramai mengkritik tindakan sebahagian pemilik kenderaan melibatkan kenderaan pendaftaran asing membuat pengisian Petrol RON95 sejak sempadan negara mula dibuka pada 1 April lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro menyatakan seramai 200 orang anggota penguatkuasa akan memantau dan melaksanakan pemeriksaan agar tidak berlaku ketirisan berlaku melibatkan barang kawalan terutamanya petrol dan diesel.

“Hasil daripada pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati tiada aktiviti seperti yang diadukan dan penjualan berlaku dalam tahap yang memuaskan.

“Kesemua stesen yang diperiksa diberi peringatan agar mematuhi undang-undang berkaitan Akta Kawalan Bekalan, (AKB) 1961 antaranya jika melibatkan kenderaan pendaftaran asing dilarang membeli Petrol RON95.

“Dibenarkan membeli diesel sekali dalam sehari yang dihadkan kepada 20 liter sahaja di mana-mana stesen minyak dalam jarak 25 kilometer (km) daripada pintu sempadan Malaysia-Singapura dan dibenarkan membeli Petrol RON97 tanpa had dengan syarat dimasukkan terus ke tangki kenderaan,”katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Dalam satu kenyataan lain pula, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan pihak kementeriannya telah mengarahkan semua KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiat pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).

Akta itu memperuntuk penalti tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali terhadap individu manakala perbadanan atau syarikat berdepan denda tidak melebihi RM2 juta.

Manakala portal dari negara jiran pula melaporkan lebih 30 kenderaan diarah berpatah balik dari pusat-pusat pemeriksaan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada dua hari pertama laluan darat Singapura-Malaysia dibuka semula.

Ini kerana kenderaan-kenderaan berdaftar di Singapura itu mempunyai kurang daripada tiga suku minyak sebelum menuju masuk ke Malaysia. Stesen minyak di Marsiling secara lazimnya merupakan perhentian terakhir bagi para pemandu yang perlu mengisi minyak untuk mematuhi syarat tiga suku tangki sebelum boleh meneruskan perjalanan merentasi sempadan.

* Ikuti VOCKET CAR CLUB melalui Facebook dan Instagram untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Lihat seorang pemilik Tesla dari Singapura berkongsi pengalamannya menggunakan mod ‘auto-pilot’ semasa masuk ke Malaysia baru-baru ini.

Pemilik Tesla Singapura Kongsi Pengalaman Mengembara Ke Utara Malaysia Guna Mod ‘Auto-Pilot’

Deretan Kereta Di Woodlands Checkpoint, Rakyat Singapura Tidak Sabar Masuk Ke Malaysia

‘JDT Hummer Tour’ Mula Beroperasi, Bayaran RM30 Untuk Ronda Stadium Sultan Ibrahim