Apa ada dengan Tujuh? Adakah ia sememangnya nombor ganjil yang amat keramat atau sekadar mitos penyedap bahasa turun temurun?

Ya, dari faktor Tujuh hari seminggu hingga ke kenduri arwah selama Tujuh hari atau lirik lagu Sharifah Zarina berjudul Langit Ke Tujuh, betapa pengaruh Tujuh ini cukup kuat sama ada ia sememangnya bersandar fakta atau mitos tradisi ciptaan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Adakah hanya masyarakat Melayu khususnya atau Malaysia amnya yang kuat pengaruh Tujuh ini?

Saya ingin menulis nota perihal dua filem yang menggunakan Tujuh dan kedua-dua filem ini bukan dari Malaysia. (Dan mungkin saya akan menulis perihal Tujuh di dalam filem di dalam nota yang lain).

Filem Seven Days

Pertama Seven Days (SD), 2007, sebuah filem Korea. Sedikit sinopsis filem ini, seorang anak kepada peguam wanita tak terkalah telah diculik dan si penculik itu meminta peguam wanita itu menjadi peguambela untuk membebaskan seorang pembunuh.

Peguam itu cuma diberi tujuh hari. Jika tidak maka anaknya akan dibunuh. Mengetahui yang dia bakal membela seorang pembunuh, dia tersepit di dalam konflik antara keadilan undang-undang dan keselamatan anaknya sendiri.

Kehebatan sinema Korea ialah ia sentiasa cuba untuk penuh kejutan. Walaupun lakonan tidak hebat atau bersinematografi longgar tetapi jalan penceritaan sering cuba untuk berbeza.

Saya gemar satu perkara perihal SD. Filem ini bercakap dari naluri seorang ibu. Bukan perihal cekal atau tabah seorang ibu tetapi ia lebih kepada jerumus kita di dalam kolam perasaan seorang ibu.

Bagaimana seorang ibu merasa kehilangan, bagaimana kecewa itu memusnahkan dan bagaimana tapak dan bekas jejak rasa di dalam hati seorang ibu tak terluah dengan lelehan airmata semata.

Ia sememangnya sesuatu yang amat dalam untuk diselusuri.

Filem 7 Days

https://www.youtube.com/watch?v=GNSxaVHq7l4

Keduanya filem 7 Days (7D), 2010. Sebuah filem Kanada tetapi berbahasa Perancis. Sedikit sinopsis perihal filem ini, seorang pakar bedah lelaki telah kematian anaknya yang menjadi mangsa rogol dan bunuh seorang pedofilia.

Setelah mengetahui individu yang bertanggungjawab atas kematian anaknya, pakar bedah itu menculik pedofilia itu dari tahanan polis demi untuk menyeksa si pelaku selama Tujuh hari iaitu sempena sambutan hari lahir anaknya.

Berbeza dengan filem Seven Days, filem ini mengangkat jiwa dan berontak seorang lelaki, suami dan bapa.

Satu perkara yang saya gemar pada filem 7D ini ialah kecenderungan sikap dan perubahan kendiri dalam minda normal seorang manusia secara kita tak sedar walaupun kita dalam keadaan sedar.

Ia seolah kita berada dalam fasa serabut terlalu kecewa dek kerana putus cinta hingga menoreh tangan sendiri. Harus difahami yang menoreh tangan sendiri tak akan kita lakukan dalam sedar tetapi dalam sedar juga kita akan lakukannya tanpa kita sedar.

Dan melalui filem ini, paparan seksa itu dilihat cukup menyeksakan tetapi ada yang lebih menyeksakan iaitu makna diantara garis kecamuk rasa, rasional dan tindakan.

Similariti

Tetapi saya gemar mengaitkan similariti kedua-dua filem perihal Tujuh ini. Di dalam konteks penyampaian yang berbeza, ia tetap berkait soal bagaimana dalamnya perasaan individu bernama ayah dan ibu terhadap seorang anak.

Kedua-dua filem ini mempunyai persamaan dalam melahirkan ‘kegilaan’ hasil dari kesumat perasaan sayang pada zuriat. Ya, ketepikan seketika perihal negativiti dangkal dalam memberi solusi tetapi sebagai manusia, emosi ialah medan perang yang wajib dihadapi.

Ibarat tasik yang kelihatan tenang dipermukaannya, siapa tahu apa yang menghuni di dasarnya?

Secara peribadi, saya lebih menggemari aspek lakonan di dalam 7D yang lebih mengesankan dalam menarik kita ke dalam medan perang emosi walaupun susur lebuhraya filem ini tidak memerlukan kita singgah di beberapa exit untuk mencari jawapan.

Berbeza dengan SD yang lebih gemar ‘mencipta’ thrill dengan susur-susur yang bersimpang siur untuk kita terjun ke alam emosi sebelum kita diberi peluang untuk berperang bersamanya.

Cuma untuk 7D, terdapat adegan seksaan ekstrim yang tidak sesuai untuk tontonan umum.

Ringkasnya, mungkin Tujuh bukan nombor bertuah, puaka atau mitos sekadar di Malaysia. Akira Kurosawa sudah menggunakan Tujuh untuk Seven Samurai (1954) malah Snow White juga bersama dengan Tujuh orang Dwarf pada tahun 1937 malah Datuk Aziz Satar juga menggunakan Tujuh untuk filemnya 7 Biang Keladi (1984).

Dan cubalah tanya David Fincher bagaimana Andrew Kevin Walker menulis perihal filem Seven (1995) atau mengapa Akira Toriyama mencipta Tujuh biji Dragon Ball untuk dicari oleh Son Goku dan salasilahnya. Mungkin jawapannya menarik.

Oh ya. Filem Tujuh arahan Raja Mukhriz ialah Tujuh yang amat saya nantikan!

Skor Filem: Seven Days (7/10) dan 7 Days (8/10)