Tan Sri Annuar Musa pada hari ini telah mengumumkan senarai ahli dewan tertinggi Muafakat Nasional selepas beliau secara rasminya dipecat daripada parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Di sebalik perkongsian nama senarai ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional yang turut melibatkan beberapa nama ahli politik popular seperti Tan Sri Noh Omar dan Datuk Zuraida binti Kamarudin, Muafakat Nasional turut meraih minat daripada para selebriti.

Antara selebriti yang berjaya berada dalam senarai adalah Ummi Nazeera, Datuk Eizlan Yusof dan Datuk Jamal Abdillah. Difahamkan setakat ini Muafakat Nasional merupakan sebuah NGO dan sebaliknya bukanlah didaftarkan sebagai parti politik.

Sokongan Ummi Nazeera terhadap kepimpinan Tan Sri Annuar Musa bukan lagi rahsia selepas beliau pada tahun lalu turut mengucapkan tahniah serta memaklumkan mengenali ahli politik dari Ketereh tersebut sejak kecil lagi.

Tan Sri Annuar Musa juga turut menegaskan NGO yang ditubuhkan terbuka kepada semua individu dan tidak terbabit dengan parti politik meskipun menerima penyertaan daripada 25 ahli politik setakat ini.

Beliau turut memaklumkan Muafakat Nasional telahpun menerima lebih 20,000 penyertaan meskipun baru sahaja dibuka pendaftaran.