Trend terkini menunjukkan pengguna teksi telah beralih ke tempahan dalam talian yang menggunakan kereta biasa. Perubahan ini begitu terasa kerana dalam tempoh dua tahun yang lalu, teksi yang menggunakan aplikasi MyTeksi misalnya mendapat banyak tempahan berbanding sekarang.

Lambakan teksi bajet di jalanraya hingga ke lapangan terbang mengesahkan lagi penawaran dalam industri ini telah melebihi permintaan.

Tanpa disedari, langkah yang diambil oleh pengusaha aplikasi perkongsian kenderaan pensendirian telah meletakkan teksi sebagai pilihan terakhir para pengguna. Hal ini mengakibatkan ramai pemandu yang menjadikan teksi sebagai rumah kedua mereka. Saban malam menghabiskan waktu melepaskan lelah di dalam kereta bagi memenuhi keperluan kewangan sehari-hari.

Kemenangan persepsi yang diraih oleh pengusaha aplikasi perkongsian kenderaan persendirian ini berjaya menenggelamkan pemandu teksi yang berdedikasi dan komited dalam memberikan servis terbaik. Berdasarkan permerhatian penulis, para pemandu teksi yang menunjukkan protes terhadap kehadiran Uber dan Grabcar sedang berada di zon selesa yang serba tidak jujur selama ini.

Mungkin tidak semua termasuk dalam kategori ini, namun keluhan demi keluhan daripada pelanggan tentang sikap segelintir pemandu teksi amat menggusarkan jiwa.

Suatu ketika dahulu terdapat mod pilihan di meter teksi yang beraneka macam. Surcaj lapangan terbang, caj tempahan dan caj lewat malam merupakan di antaranya. Bila hadirnya aplikasi ala-ala hipster ini semua caj tambahan telah ditiadakan. Para pengguna membayar kadar yang sama sepanjang hari. Ini memberikan kelebihan tidak sebanding dengan teksi bermeter.

Tiadanya garis panduan yang jelas daripada pihak penguatkuasa menampakkan industri pengangkutan awam caca marba. Dalam pada tidak boleh sebelah matanya ditutup rapat membiarkan kenderaan persendirian merayap di segenap penjuru kota mengambil penumpang. Sampai bila isu ini akan dibiarkan tergantung tanpa sebarang kata putus?

Sudah tiba masanya semua pihak yang terlibat memikirkan kaedah terbaik dalam menangani isu ini. Pemandu teksi yang menggunakan aplikasi dalam talian berjumlah tidak kurang daripada 14 ribu. Belum lagi dikira dengan yang tidak menggunakan aplikasi.

Adalah dikhuatiri akan timbul rantaian yang merosakkan jika industri teksi yang selama ini berasaskan rent seeking tidak dirombak sesuai dengan perkembangan semasa. Demonstrasi yang berlaku pada petang 29 Mac 2016 hanyalah suatu titik permulaan.

Ada baiknya juga pemandu teksi yang berdemonstrasi pada petang tersebut mendaftar sebagai pemandu aplikasi tempahan teksi seperti Grab, iTeksi, jomTeksi dan beberapa lagi sekiranya belum berbuat demikian. Biarpun kita bukan lagi pilihan pertama pengguna namun rezeki itu tetap ada bagi mereka yang berusaha. Masih terdapat ramai lagi pengguna teksi tegar di luar sana.

Tidak perlulah kita mengeluh rezeki diambil orang kerana kita sendiri yang tidak mengemaskini ‘perisian’ diri kita untuk menjadi pemandu teksi terbaik sesuai dengan keperluan semasa.

Data menunjukkan kadar pengangguran di Malaysia setakat Januari 2016 sebanyak 3.4 peratus iaitu kadar tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Bagi tahun 2015 sahaja 26 ribu pekerja di pelbagai sektor telah diberhentikan. Jika tidak menjual kopi jalanan, nasi lemak, penjaja kaki lima atau seumpamanya apa salahnya jika mereka beralih kerjaya sebagai pemandu?

Adakah berita seorang bapa yang kehilangan kerja mencuri di pasaraya kerana anaknya kelaparan menjadi berita gembira buat semua?

Berpadalah dengan rezeki yang diterima. Kurniaan Tuhan buat semua tidak akan habis. Kita sahaja yang perlu mencari dan berikhtiar mendapatkannya.

Buat pihak berkuasa khususnya SPAD, harap jalankan tanggungjawab kalian sebaik mungkin. Janganlah pula nanti ibarat harapkan pegar, pegar makan padi. Isu lesen PSV, pemeriksaan berkala dan permit masih berterabur. Muktamadkan polemik ini demi kesejahteraan rakyat dan imej negara di mata dunia.

https://www.youtube.com/watch?v=xPmAQdvL3bs