Anthony Loke merupakan salah satu ahli politik yang disenangi ramai lebih-lebih lagi ketika beliau memegang jawatan Menteri Pengangkutan pada tahun 2018-2020, sehinggakan Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menulis surat sokongan terhadapnya kepada Perdana Menteri agar beliau melantik semula Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.

Terbaharu, dalam satu sidang media diadakan pada pagi ini, Anthony Loke menegaskan bahawa beliau tidak akan menjawab sebarang pertanyaan mengenai ‘hal-hal politik’ semasa beliau berada di dalam pejabat kementerian.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Pendekatan saya, sekiranya saya berada di dalam bangunan Kementerian Pengangkutan, saya tidak akan jawab apa-apa isu politik. Biarlah pihak lain nak cakap apa, itu hak dia,” kata Anthony Loke.

Tambahnya lagi, sebagai seorang menteri yang diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong dan diberikan mandat serta tanggungjawab, tugas beliau adalah untuk fokus menjalankan tugas sebagai seorang Menteri Pengangkutan.

“Saya mohon maaf kepada rakan-rakan media, peraturan utama di Kementerian Pengangkutan ini, setiap kali sidang media diadakan di sini, hanya soalan-soalan berkaitan jabatan ini sahaja boleh diajukan.

“Saya harap rakan-rakan media dapat faham. Bukan saya angkuh atau sombong, apa-apa soalan berkaitan isu politik bolehlah tanya kepada saya dekat luar (diluar pejabat Kementerian Pengangkutan),” terang Anthony Loke lagi.

Sementara itu, walaupun belum memulakan tugas secara rasmi, Anthony Loke sudah mula turun padang apabila meninjau sendiri situasi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, semalam.

Beliau akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana dalam minggu ini juga untuk membincangkan halatuju dan cara untuk menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam negara ini.