Kasut yang digunakan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang didakwa berharga RM5,500 adalah hadiah daripada Sultan Johor. Pengakuan ini dibuat sendiri oleh Anwar dalam satu ciapan balas di akaun Twitter miliknya.

Ciapan yang dimuat naik semalam menjawab beberapa kritikan ke atas beliau yang didakwa kononnya cuba mencipta sensasi dengan menolak untuk menggunakan kereta yang dibeli oleh kerajaan atas alasan tidak mahu membazir, tetapi dalam masa yang sama mengenakan aksesori mahal.

Anwar berkata bahawa beliau terbuka untuk menerima kritikan tetapi janganlah sampai terbawa-bawa dengan naratif fitnah, “Ia pemberian Tuanku Sultan Johor 2 tahun yang lalu. Saudara nak persoal saya tidak mengapa, tapi jangan bawa naratif fitnah,”

Sebelum ini seorang pengguna Twitter dengan nama Naratif Rakyat memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan harga sebenar kasut yang dikenakan oleh Perdana Menteri ke-10 ini.

Pengguna maya tersebut turut memerli Anwar yang katanya ‘pung pang pung tolak S600 Mercedes, pakai Chapal’ tetapi dalam masa yang sama mengenakan kasut berjenama yang berharga RM5,500.

Anwar pada 27 November 2022 yang lalu telah mengisytiharkan tiada kereta rasmi baharu akan dibeli untuk kegunaannya dan tiada pengubahsuaian akan dilakukan di pejabatnya kerana setiap ringgit dana awam adalah penting, lapor Free Malaysia Today.

“Pembaziran mesti dielakkan dalam pentadbiran saya. Ini budaya baharu yang ingin dihidupkan.

“Fikirkan apa yang anda boleh simpan – RM100, RM1000, RM10,000 – yang boleh dikembalikan kepada orang yang lebih memerlukan. Saya bermula dengan komitmen untuk tidak mengambil gaji, tetapi apa yang penting ialah jangan membazirkan apa yang kita ada,” katanya.

“Ini adalah pesanan kepada semua ketua jabatan supaya ingat bahawa dalam keadaan sekarang kita harus memulakan budaya baharu. Jangan gunakan wang kerajaan untuk kemudahan kita sendiri,” katanya.

Terdahulu, Anwar Ibrahim yang diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 telah mengumumkan bahawa menangani kos sara hidup akan menjadi keutamaannya.

Beliau juga menyatakan bahawa tidak akan menerima gaji perdana menteri dan hanya akan menerima elaun yang dibayar kepada ahli Parlimen yang mana beliau merupakan Ahli Parlimen Tambun.