Filem biopik ‘Anwar: The Untold Story’ yang diarahkan oleh pengarah dari negara jiran, Indonesia, Viva Westi bakal menemui peminat pada 18 Mei 2023 nanti di pawagam seluruh Malaysia.

Ia mengisahkan mengenai Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan dari 1991 sehingga dipecat daripada Kabinet pada 1998, yang mencetuskan tempoh kebangkitan politik yang dikenali sebagai gerakan reformasi.

Selain pengarah, Viva Westi juga merangkap sebagai penulis dengan Penerbit Eksekutif serta Cerita Asal pula adalah Zunar.

Filem ini akan membawa bintang pelakon terkenal seperti Farid Kamil Zahari, yang memegang watak utama sebagai Anwar dan Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan dibantu pelakon Indonesia seperti Acha Septriasa (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Selain Malaysia, filem yang dibawa khas oleh Yusrych Global dan DMY turut menjalani penggambaran di Indonesia.

Anwar ketika menghadiri tayangan perdana filem ini pada 8 Mei yang lalu di Pavilion Kuala Lumpur berkata, “Saya sukar untuk mengulas kerana ada episod yang saya cuba lupakan kerana sakit dan sedih. Banyak yang dilalui Azizah, begitu juga dengan anakeinak dan rakan-rakan saya.”

Beliau juga memuji filem yang diarahkan oleh pengarah Indonesia itu sebagai bijak dan baik kerana dia dapat memendekkan sebahagian besar pengembaraan politiknya selama 23 tahun menjadi 90 minit.

“Cuba untuk menyesuaikan apa yang berlaku selama 23 tahun ke dalam filem cereka jelas bukan mudah, ditambah dengan sinematografinya juga sangat baik,” katanya kepada Berita Harian sambil menambah bahawa dia gembira dengan cara Farid Kamil membawa wataknya.