Bulan Mac merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh penggemar kasut model Air Max buatan Nike di seluruh dunia. Pada tahun 2014, Nike buat pertama kalinya telah mengisytiharkan bahawa tarikh 26 Mac setiap tahun akan disambut sebagai perayaan Hari Air Max (Air Max Day) di seluruh dunia. Tarikh ini dipilih sebagai mengingati tarikh Nike mengeluarkan kasut Air Max 1 mereka buat pertama kalinya pada 26 Mac 1987.

Pada ketika itu, kasut Air Max 1 (juga dipanggil Air Max 87) ini dianggap telah mendahului zamannya dengan rekaan futuristik serta trademark-nya yang tersendiri iaitu sistem ‘Air Cushioning’ yang jelas kelihatan, hasil rekaan pereka terkenal mereka iaitu Tinker Hatfield. Menariknya, Tinker menjelaskan bahawa kasut Air Max 1 ini terinspirasi daripada rekaan struktur kerangka sebuah bangunan di Paris iaitu Centre Georges Pompidou, rekaan arkitek terkenal Itali iaitu Renzo Piano.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
tinker-hatfield-nike-air-max-1-og
Tinker Hatfield bersama model Nike Air Max 1
Center George
Centre Georges Pompidour, bangunan yang menjadi asas rekaan Nike Air Max 1

Sejak tahun 2014, Nike telah melaksanakan pelbagai acara menarik sempena perayaan Air Max Day. Pelbagai model Air Max sama ada yang baru atau yang lama telah diperkenalkan semula. Antaranya ialah Air Max Zero (2016), Air Max 1 ‘Master’ & Air VaporMax (2017) dan Air Max 93 (2018).

Pada Air Max Day 2016 juga, Nike telah mengadakan satu kempen undian yang dipanggil ‘Vote Back’ di mana para penggemar Air Max boleh mengundi kasut Air Max kegemaran mereka dari masa lampau, dan model yang menerima undian paling banyak akan di’retro’kan semula pada Air Max Day 2017. Seperti yang dijangka, Air Max 1 Atmos (Elephant) yang dikeluarkan pada tahun 2007 telah menerima undian terbanyak dan telah dikeluarkan semula pada Air Max Day 2017. Juga seperti yang dijangka, kasut ini habis dijual dalam masa beberapa jam sahaja.

air max 1 elephant
Nike Air Max 1 Atmos ‘Elephant’
air max 1 master
Nike Air Max 1 ‘Master’
Air Max Zero OG
Nike Air Max Zero OG

Nike juga telah mengadakan satu kempen yang sangat menarik pada Air Max Day 2017 yang diberi nama ‘Vote Forward.’ Beberapa orang ‘fashion & trend influencers’ dari seluruh dunia yang digelar ‘Revolutionairs’ telah dijemput ke ibu pejabat Nike di Beaverton, Oregon untuk mengilhamkan semula Air Max dengan citarasa mereka sendiri. Para penggemar Air Max di seluruh dunia kemudiannya akan mengundi hasil rekaan para ‘Revolutionairs’ ini di laman web Nike dan rekaan yang mendapat undian tertinggi bakal direalisasikan oleh Nike pada Air Max Day 2018.

Sean Wotherspoon, seorang usahawan serta penggemar ‘vintage streetwear’ dari Richmond, Virginia telah memenangi kempen ‘Vote Forward’ ini dengan rekaan uniknya Air Max 97/1 (Hybrid Air Max 97 dan Air Max 1) dengan menggunakan material corduroy. Rekaan Sean Wotherspoon (yang juga pemilik rangkaian kedai streetwear terkenal ‘Round Two’) yang sangat menarik serta ditunggu-tunggu ini akan dikeluarkan di seluruh dunia pada hari Isnin, 26 Mac 2018.

Air Max Wotherspoon
Nike Air Max 97/1 ‘Sean Wotherspoon’

P/S : Sejumlah kecil kasut Nike Air Max 97/1 rekaan Sean Wotherspoon sebenarnya telah dikeluarkan pada hujung tahun lalu di sebuah butik iaitu Need Supply Co. di Richmond, Virginia namun acara itu telah dibatalkan atas nasihat polis Virginia kerana hampir 500 orang yang beratur telah bertindak agresif dan bertolak-tolak serta bergaduh untuk mendapatkannya. Jadi mohon jangan berebut pada 26 Mac depan!