Sesekali anda terserempak dengan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ingin sekali membantu, tetapi tidak tahu cara bagaimana untuk menunjukkan keprihatian anda. Risau jika salah caranya, OKU itu berkemungkinan akan terasa hati atau marah.

OKU juga manusia biasa seperti anda cuma keupayaan atau bentuk zahirnya berbeza. Namun dari segi personaliti dan perasaan, masih sama seperti orang lain.

Ada di antara mereka yang mempunyai masalah kurang keyakinan diri, ada juga yang sombong. Tidak kurang juga yang mudah mesra, senang menerima bantuan yang dihulurkan orang awam walaupun mereka mampu melakukannya sendiri.

Jika anda ternampak seorang OKU seperti saya ingin melintas jalan, apa yang perlu anda lakukan?

Cuba gunakan kaedah seperti di bawah ini:

1. Tanya dia, “Awak nak melintas ke?”
2. Jika dijawab ya, anda boleh kata “Saya bantu ya?”/”Let me help you.
3. Iringi OKU itu tadi sehingga beliau selamat melintas jalan.
4. Anda akan menerima ucapan terima kasih dan juga senyuman sebagai tanda penghargaan. Balas dengan kata-kata yang baik seperti “Jaga diri”/”Take care ya!”

Adakah cara itu boleh digunakan kepada OKU yang lain seperti mereka yang buta, pekak bisu, on wheelchair, berjalan menggunakan prosthesis dan sebagainya?

Jawapannya ialah ya. Cara itu ialah universal.

Bagaimana pula jika anda cuba menyerahkan tempat duduk anda kepada OKU (di dalam LRT contohnya) tetapi pelawaan anda ditolak?

Anda boleh respon dengan ayat, “Bila-bila awak rasa nak duduk, beritahu saya ya!” Itu menunjukkan yang anda prihatin dan bukannya ajak-ajak ayam sahaja.

Lebih baik lagi, anda kekal berdiri dan biarkan tempat itu kosong. Kebiasaannya OKU itu akan duduk juga sebagai tanda menghargai sikap anda yang prihatin dan mulia.

Sesetengah daripada OKU mempunyai perbezaan fizikal yang cukup jelas, contohnya saya sendiri. Saya berjalan menggunakan topang kerana saya telah kehilangan kaki kiri saya sehingga ke paras atas lutut.

Oleh kerana bentuk fizikal saya jelas berbeza, maka saya mudah menjadi perhatian orang awam. Adakalanya mereka seperti terlalu taksub, sehingga ada beberapa kali juga saya terlihat orang berhenti menyuap makanan ke mulut semata-mata untuk meneliti keanehan bentuk badan saya. Kekok saya jadinya bila diperhatikan begitu.

Kini, pandangan serong (atau kagum) orang awam sudah mampu saya abaikan. Alah bias tegal biasa. Pesanan dari saya, jika terpandang, cukup sekadar sekali imbas. Jawapan kenapa kaki saya begini, atau kenapa OKU itu begitu, tidak ada pada badan kami. Jika mahukan jawapan, bertanyalah dengan cara yang baik.

Dua Golongan OKU

Untuk pengetahuan anda, golongan OKU boleh dibahagikan kepada dua kumpulan. Orang seperti saya lebih senang dikenali sebagai orang KELAINAN upaya kerana saya masih mampu melakukan aktiviti harian dan riadah seperti anda, cuma cara saya melakukannya adalah sedikit berbeza/lain.

Satu kumpulan lagi adalah golongan KURANG upaya kerana mereka memerlukan bantuan dari orang lain untuk mengurus diri, tidak mempunyai keupayaan untuk berfikir seperti orang lain, dan juga memerlukan perhatian dan penjagaan yang lebih rapi.

Kehidupan orang kurang upaya seperti ini kebiasaannya diuruskan oleh ahli keluarga masing-masing. Namun begitu ada ketikanya waris/penjaga menghadapi masalah untuk membahagikan tanggungjawab menjaga dan dalam masa yang sama perlu melakukan tugas yang lain.

Sebagai contoh, anda terlihat seorang ibu yang mempunyai anak OKU Cerebral Palsy, sedang sibuk menyimpan barang ke dalam ruang simpanan dalam kereta di pasaraya. Anak ini tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan. Apakah cara yang sesuai untuk anda membantu ibu ini?

Pertama sekali, dapatkan keizinan ibu tersebut terlebih dahulu sebelum membantu. Hulurkan bantuan mengikut permintaan beliau. Mungkin anda hanya perlu bantu memasukkan barang-barang atau kerusi roda anaknya ke dalam kenderaan mereka. Mudah kan?

Akhir sekali ini adalah pesanan dari saya untuk warga OKU pula. Jika ada orang awam ingin menghulurkan bantuan, terima sajalah. Ini cara kita menyumbang kepada masyarakat dari segi meningkatkan kesedaran sivik.

Apabila seorang ayah membantu OKU di hadapan anaknya, secara tidak langsung, anaknya akan faham apa yang perlu dilakukannya kelak. Manalah tahu, anak itu nanti akan menunjukkan sikap yang terpuji di hadapan kawan-kawan dan orang lain, sekaligus ini akan membentuk generasi prihatin pada golongan OKU.