Istilah jonah bukan istilah yang rare dalam bidang perubatan atau kesihatan di Malaysia. Tanyalah mana-mana doktor atau jururawat, mesti ada yang tahu.

Teringat masa zaman belajar dulu, pertama kali dengar istilah ini apabila ada senior yang menceritakan persekitaran kerja di Malaysia.

Kalau di hospital, sebahagian doktor atau jururawat akan guna istilah ini untuk doktor yang selalu akan sibuk apabila dia oncall atau start shift.

Baca: Apa Itu On Call Dalam Kerjaya Doktor

Selalunya pada waktu itu pesakit akan masuk ramai, pesakit yang masuk itu kebanyakkan kes-kes berat atau kritikal, ataupun kes-kes yang complicated.

Ada yang anggap jonah ini seperti malang atau pembawa sial or ‘bad luck’. Ada yang sampai suruh si doktor ‘mandi bunga’ dulu bagi mengurangkan jonah itu.

Contohnya apabila Dr. A start kerja, tiba-tiba kes banyak masuk, pesakit yang asalnya stabil tiba-tiba jadi tak stabil.

Ada juga yang avoid dan larang orang yang kerja sama shift dengannya pakai pakaian berwarna merah kerana dianggap memakai pakaian merah itu menambahkan lagi jonah.

Teringat pengalaman semasa kerja sebagai hospital officer (HO) di labour room, ada seorang HO ini kena marah dengan bos apabila dia pakai tudung merah.

Dan yang marah itu adalah doktor muslim kita. Bukan main-main marah, marah yang sungguh-sungguh. Kepercayaan apa ini? Sudah macam khurafat dah ni. Sejak itu saya cukup anti apabila dengar term jonah ini.

Jonah

Dari mana datang istilah ini? Apa maksud Jonah? Kalau kita lihat terjemahan Bahasa Inggeris, ia merujuk kepada Nabi Yunus. Ada orang Barat yang melabelkan Nabi Yunus ini sebagai bernasib malang.

Bagi mereka, dia bernasib malang apabila kaumnya sendiri tak menerima ajaran yang dibawanya. Apabila Nabi Yunus dan kaumnya menaiki kapal, mereka pula terpaksa mengundi untuk mengeluarkan seorang dari kapal. Dan yang dicabut undi adalah Nabi Yunus.

Apabila dikeluarkan dari kapal, baginda pula ditelan oleh ikan Nun. Itulah antara peristiwa yang membuatkan mereka melabel baginda sebagai orang yang malang.

Ada yang menggunakan term jonah ini untuk melabelkan doktor yang malang. Pada pandangan saya sebagai doktor muslim, apa kata kita cuba elakkan gelar orang lain sebagai jonah?

Saya tak pasti apa hukum menggelar orang lain sebagai jonah, tapi apabila ada yang menyuruh mandi bunga dan sebagainya (walaupun ada yang just kata main-main dan tak serius), saya risau akidah kita dah terpesong sebab itu adalah kepercayaan khurafat.

Melabel orang lain membawa sial itu syirik hukumnya, hati-hati ya. Usah cemari profesion yang mulia sebagai doktor dan jururawat dengan gelaran ini.

Sebelum pergi kerja, cuba niatkan nak ziarah pesakit-pesakit, insyaAllah berpuluh ribu malaikat mendoakan kesejahteraan kita. Cool kan? Bukan calang-calang dapat doa ribuan malaikat setiap hari.

Daripada Ali ra, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tiada seorang pun yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah-buahan syurga yang boleh dipetik pada bila-bila masa.” [HR At-Tirmizi: Hasan]

Wallahualam. Sekadar memberi pandangan.