Berita penutupan syarikat penerbitan MOY Publication yang menerbitkan majalah Ujang dan Apo? semalam, 6 Ogos 2015 telah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia. Berita penutupan syarikat ini mengundang rasa sedih, kerana dalam diam-diam ia sudah menjadi sebahagian daripada warisan rakyat Malaysia.

Majalah yang terkenal dengan karya mereka seperti Lawak Antara Bangsa, Blues Untuk Aku dan Mat Despatch ini akan dirindui selalu. Untuk mengetahui latar belakang kisah ini, kami telah berhubung dengan Kartunis Lengkuas, pelukis siri komik Mat Despatch, untuk mendapatkan maklumat lanjut. Ikuti temu bual kami di bawah:

Sebelum bermula, kami ingin mengucapkan takziah di atas penutupan MOY Publication. Terima kasih kepada Tuan kerana sudi memberikan kami peluang untuk mengetahui serba sedikit tentang peristiwa ini.

majalah-ujang-julai-2015
FB Kartunis Lengkuas

1. Sejak bilakah Tuan dan rakan-rakan mendengar khabar angin tentang penutupan syarikat ini.

Saya dah tau dah lama dan saya beritahu kawan-kawan pada 6 Ogos dan sahkan.

2. Apakah yang berlaku sehingga menyebabkan penutupan MOY Publication.

Kos semakin tinggi dan kena GST penyebab utama penutupan (syarikat) MOY ini.

3. Adakah Tuan dan rakan-rakan sudah bersedia atau berita penutupan ini datang secara tiba-tiba?

Tak bersedia pun pasal tiba-tiba tutup. Amaran dah diberi masa pengumuman GST.

mat-despatch
FB Kartunis Lengkuas

4. Bagaimanakah penerimaan Tuan dan rakan-rakan dengan berita ini.

Semua redha dengan apa yang berlaku dan sedih kerana majalah Ujang dan Apo? ini antara majalah keluaran bumiputera dan telah 20 tahun lebih beroperasi.

5. Apakah perasaan Tuan sekarang?

Perasaan saya sekarang? haha… masih boleh tersenyum walaupun sedih.

6. Apakah perancangan Tuan selepas ini.

Belum ada perancangan lagi… selesaikan apa yang patut dulu baru boleh fikir.

kartunis-lengkuas
FB Kartunis Lengkuas

7. Bagaimana masyarakat dapat membantu Tuan dan rakan-rakan supaya warisan komik Malaysia tidak hilang?

Masyarakat boleh bantu senang sahaja… 3 juta rakyat Malaysia derma seorang RM2 memang confirm boleh beroperasi balik… hehe.

Kami senang dengan ke-“sempoi”-an Kartunis Lengkuas. Semoga berita ini tidak mematahkan semangat beliau dan rakan-rakan sejawatan yang lain seperti Bacang, Manggis, Ciku, Papan, Sukun, Nik, Bawang, Lepat, Lalang, Buloh, Asz, Bijan dan lain-lain untuk terus berkarya. Kami di Vocket mendoakan mereka semua maju jaya dan semoga industri komik negara terus berkembang.

Majulah komik untuk negara.

BACA: Lelaki Ini Berkongsi Siri Komik Ramadhan Yang Mencuit Hati

BACA Lagi: Lelaki Ini Gagal Di Sekolah Tapi Karya Beliau Terjual Lebih 10 Ribu Naskah. Salute!

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram