Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Yang Mulia Raja Tan Sri Muhammad Alias atau Pak Ungku Alias adalah nama yang cukup sinonim dengan FELDA. Kepimpinan YM Raja Alias selama 31 tahun di FELDA baik selaku Pengarah Besar ataupun Pengerusi sering dianggap sebagai tahun kegemilangan FELDA. FELDA pada waktu dan ketika itu, bukan sahaja dianggap sebagai sebuah agensi kerajaan pusat yang paling berjaya, malah mempunyai entiti perniagaan gergasi yang menghasilkan berbillion-billion ringgit bagi manfaat peneroka dan warga FELDA.

Ya, pada waktu dan ketika itu, FELDA amat dihormati semua. Bank Dunia mengiktiraf FELDA selaku usaha paling efektif membasmi kemiskinan. Para peneroka beroleh manfaat dan membina keluarga. Koperasi-Koperasi peneroka tumbuh bagai cendawan. Koperasi Permodalan FELDA (KPF) wujud bagi memberikan pendapatan tambahan kepada FELDA. FELDA Holdings dan ratusan anak syarikat diwujudkan bagi membina ekosistem FELDA yang kompleks dan menyeluruh.

HYPE
Mudah Dan Memuaskan, REV Ad Manager Buka Peluang Bantu Promosi Perniagaan Tempatan
Baca lagi →

Ya, pada waktu dan ketika itu, YM Raja Alias, seorang teknokrat yang terkenal dengan ketegasannya. Bergegar hati dan ego jantan kita apabila disuruh mengadap beliau bagi memberikan laporan. “No way you can do hanky panky in his time”, itu lah ungkapan yang sering didengari oleh otai-otai FELDA. Cuba tanyakan pada mana-mana petugas FELDA yang sempat bersama di bawah kepimpinan YM Raja Alias, itu lah yang mereka kagumi dan itulah zaman yang mereka masih impikan. Pada waktu ini jugalah Kerajaan Persekutuan tidak lagi menyalurkan dana kepada FELDA kerana kestabilan dan kekuatan kewangan FELDA itu sendiri.

Raja Alias Felda

Tan Sri Raja Alias dan isteri, Hafsah Mohd Yusof (Gambar dirakam pada 16 January 1962)

Pepatah Melayu menyebut “Ku Sangka Panas Hingga ke Petang, rupanya Hujan di tengah hari”. Zaman YM Raja Alias ada penghujungnya. Pembawa obor-obor FELDA seterusnya, YBhg Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor juga mengemudi FELDA menjadi lebih stabil dan tanpa pembaharuan mega. Ada petugas otai FELDA berkata, pada waktu ini, FELDA melalui FELDA Holdings dan KPF berjaya mengumpulkan harta tunai sehingga berbilion-bilion nilainya.

Itulah harga tadbir urus dan pengurusan yang tegas dan berwibawa. Kini FELDA dan petugasnya hanya boleh “bermimpi” atau terus hidup di bawah ilusi yang FELDA yang dulu sama seperti sekarang. FELDA kini dilihat sebagai lemah, tidak berintegriti dan “lubuk mencari kekayaan” bagi golongan-golongan yang tidak bertanggungjawab. Ada berpendapat, kemandirian FELDA tanpa bantuan terus Kerajaan juga membawa FELDA merasakan mereka “hidup di dalam dunia sendiri”. Hasil isolasi dan ilusi ini telah menjadikan FELDA lemah, tidak terhubung dan senang dimanipulasi. Elemen rasuah boleh berleluasa kerana kurangnya semak & imbang dari Kerajaan.

FELDA kini mengalami defisit kepercayaan yang tinggi. Dakwaan kehilangan nilai saham Felda Global Venture Holdings Berhad (FGVHB) adalah berpunca dari tekanan politik dan penyenaraian saham yang tergesa-gesa memburukkan lagi persepsi bahawa Ahli Politik lah yang memusnahkan tadbir urus dan pengurusan FELDA. Walaupun ironinya YBhg Tan Sri Dr.Mohd Yusof Noor juga adalah bekas Ahli Politik.

Felda 1

Lembah Digital Bilut di FELDA Bilut Bentong, Pahang

Persepsi hitam ini ditambah dengan dakwaan bahawa apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sanggup keluar dari terus memegang saham FGVHB mempunyai kerisauan tinggi apabila Pengerusi FELDA pada waktu itu juga adalah Pengerusi FGVHB dan syarikat-syarikat senaraian awam lain iaitu MSM Malaysia Holdings dan Encorp Berhad. KWSP berpendapat keadaan ini sebagai risiko pelaburan yang besar hasil dari kelemahan urus tadir dan pengurusan di peringkat FELDA.

Tanggal pagi 7 Januari 2017 adalah detik bersejarah apabila YB Tan Sri Shahrir Samad sampai ke lobi Menara FELDA dengan memandu keretanya sendiri. Perkara pertama yang dilakukan oleh beliau adalah untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat Malaysia kepada FELDA. Pengerusi FELDA kini telah berikrar untuk memimpin dengan tahap integriti tinggi walaupun beliau adalah ahli politik.

Di antara perkara pertama yang diambil beliau adalah menolak dari menjadi Pengerusi anak-anak syarikat FELDA termasuklah FGVHB dan Yayasan FELDA. Di sini adalah untuk memastikan pengasingan kuasa dan mengukuhkan urus tadbir Kumpulan FELDA yang bebas. Beliau juga menolak untuk menjadi Pengerusi FELDA Investment Corporation (FIC), cabang pelaburan bukan perladangan FELDA dan mengarahkan kesemua Ahli Lembaga Pengarah FIC ketika itu untuk meletak jawatan bagi rombakan mega syarikat itu.

YB Tan Sri Shahrir juga membuat keputusan untuk mengisi kekosongan kerusi Ahli Lembaga FELDA agar badan pembuat keputusan tertinggi FELDA ini berfungsi secara penuh. Ia adalah keputusan bersejarah apabila seorang wakil penerokawati dilantik bagi memberikan perspektif berbeza di dalam Lembaga FELDA. FIC pula distruktur semula dengan membawa tokoh-tokoh korporat dan “subject matter expert” sebagai Ahli Lembaga Pengarah di samping perlantikan
Dato Syed Muhammad Syed Ibrahim, mantan CEO Iskandar Investment Berhad sebagai Pengerusi FIC yang baru. “Tiada ahli politik di dalam Lembaga Pengarah FIC”, seperti yang dijanjikan oleh Tan Sri Shahrir Samad.

Felda 3

Bagi mengukuhkan tadbir urus FELDA dan memastikan pelaburan FELDA dimasa akan datang kekal diputuskan oleh FELDA, Lembaga FELDA telah meluluskan untuk diaktifkan semula Jawatankuasa Pelaburan FELDA yang berfungsi sebagai panel penilai pelaburan dan perniagaan baru FELDA. Pada ketika FELDA dipimpin oleh regim lama, fungsi ini diambil alih oleh FIC dan kini telah terbukti terdapat banyak kepincangan keputusan sebagai contoh projek pembangunan tanah-tanah FELDA di Jalan Semarak iaitu KLVC.

FELDA juga kini komited untuk meberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di dalam penyiasatan mereka. Beberapa kes berprofil tinggi dan melibatkan pegawai-pegawai tinggi FELDA juga telah dibawa ke mahkamah dan FELDA komited untuk membantu siasatan. FELDA di bawah seruan Tan Sri Shahrir Samad juga telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) serta memperkenalkan Polisi dan Prosedur Pemberi Maklumat FELDA.

FELDA juga sudi menempatkan pegawai-pegawai SPRM di Menara FELDA bagi tujuan latihan dan pemantauan secara dekat operasi FELDA. Usaha-usaha ini diambil untuk memastikan keyakinan orang dapat dipulihkan. Malah perancangan integriti ini juga untuk memastikan petugas-petugas FELDA seramai lebih 3000 orang juga turut memahami dan menghargainya.

Ya, FELDA dahulu umpama perawan cantik, bersendirian dan kaya, namun kelebihannya mengundang sang penggila dan si tamak haloba untuk berbuat onar.

Ya, FELDA pernah “lemah” dan “digauli kejam” oleh sang celaka yang punya hati gelap dan opportunist. Tetapi, itu semua sejarah lama. Kini FELDA ingin bangkit. Berbekalkan pengalaman dan tekad hati yang kuat, FELDA berikrar untuk tidak lagi menjadi perawan yang dulunya mudah dimanipulasi. Pengalaman lama dijadikan sandaran untuk mengembalikan FELDA ke zaman emasnya.

FELDA yang kini tidak lagi bersendiri. FELDA yang kini lebih terbuka dan terhubung dengan keadaan sekeliling. FELDA menghargai keterbukaan, integriti dan urus tadbir yang baik kerana FELDA tahu, ia boleh melakukannya.