Apa yang anak patut capai dan kuasai di usia 6 tahun? Mungkin itulah yang sering bermain di fikiran anda apabila mempunyai anak bawah usia 7 tahun.

Ini menunjukkan ramai ibu bapa dah mula risau tentang persediaan dan keperluan anak sebelum anak melangkah ke Tahun 1 lagi. Ramai juga mengungkapkan budak-budak zaman sekarang ini semakin bijak, apatah lagi dengan perkembangan teknologi.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Jika dulu, murid Tahun 1 baru belajar huruf dan suku kata, kini dikhabarkan anak umur 4 tahun pun sudah kenal huruf dan apabila masuk sekolah, sudah pandai membaca! Ia seperti satu fasa yang patut dicapai oleh kanak-kanak pada usia itu.

Benarkah anak yang berumur antara 4 hingga 6 tahun perlu kuasai semua itu? Atau ia sekadar trend? Perlukah sekadar pandai membaca sahaja? Apakah anak boleh bersaing dengan rakan sebayanya?

Untuk lebih jelas, dicadangkan lihat apa sebenarnya perkembangan yang perlu dicapai oleh kanak-kanak berusia 6 tahun. Cuba lihat sama ada ibu bapa moden sekarang terlalu menekan atau memberi jangkaan yang terlalu tinggi pada anak-anak.

Perkembangan anak boleh dikelaskan kepada lima bahagian utama iaitu:

1. Pertumbuhan fizikal
2. Perkembangan kognitif
3. Perkembangan emosi dan sosial
4. Perkembangan bahasa
5. Perkembangan deria dan motor

Bagi anak yang mencapai umur 6 tahun, berikut adalah perkembangan yang sepatutnya dicapai oleh mereka. Periksa samada tak ciri-ciri di bawah ini pada anak anda.

Kalau ada, maksudnya mereka membesar dengan sempurna. Jika tidak, anak perlu lebih pemantauan dan perhatian daripada anda. Lebih baik lagi bawa anak berjumpa dengan doktor untuk pastikan samada anak menghadapi sebarang masalah berkaitan perkembangannya.

Apa Yang Anak Patut Capai Dan Kuasai Di Usia 6 Tahun

Apa Yang Anak Patut Capai Dan Kuasai Di Usia 6 Tahun

1. Pertumbuhan fizikal dan perkembangan

Ketinggian meningkat lebih kurang 6 cm daripada berat semasa umur 5 tahun, berat badan patut meningkat lebih kurang 3 kg berbanding semasa umur 5 tahun, gigi molar mula berkembang, dan gigi susu mula luruh.

2. Perkembangan kognitif (berfikir logik)

Kanak-kanak mampu menyatakan umur sendiri, boleh kira dan faham konsep angka ’10’ – maksudnya boleh kira 10 barang, belajar ekspresi diri melalui perkataan, mula faham hubungan antara sebab-dan-akibat, belajar menulis, mula faham konsep masa.

3. Perkembangan emosi dan sosial

Masih ada ketakutan pada benda-benda seperti raksasa, penculik dan haiwan besar. Sekadar contoh, kanak-kanak berumur 6 tahun masih mahu bermain bersama ibu bapa. Tapi lama kelamaan apabila dia sudah jumpa kawan dan cikgu di sekolah, rasa ingin berkawan makin berkembang.

Kanak=kanak jadi suka bermain dengan aktiviti yang melibatkan fantasi dan imaginasi, dia turut merasakan dirinya macam abang/kakak besar yang boleh diharap untuk jaga adik-adik, dan cenderung bermain dengan kanak-kanak yang sama jantina.

Dalam masa yang sama, dia mula faham perasaan orang lain walaupun lebih fokus pada perasaan sendiri, mula ada sisi lawak atau humor, tunjuk minat pada lawak mudah dan buku atau lagu yang menggelikan hati.

4. Perkembangan bahasa

Sudah boleh terangkan rancangan tv, filem, cerita atau aktiviti yang disukai, boleh bertutur dengan tatabahasa yang betul dalam kebanyakan masa, boleh mengeja nama sendiri dan menulis beberapa huruf dan nombor, membaca beberapa perkataan mudah.

5. Perkembangan deria dan motor

Kanak-kanak mampu kawal otot major, sudah boleh berlari, melompat, lompat tali dan lain-lain aktiviti fizikal dengan seimbang dan terkawal seperti berkeupayaan menangkap bola, dan lompat tali dengan mudah.

Kanak-kanak pada usia ini juga boleh melukis tubuh badan dengan sekurang-kurangnya lapan anggota badan, mampu tiru dan salin semula pelbagai jenis bentuk dan suka mereka bentuk, boleh tulis nama sendiri, dan pakai baju sendiri cuma mungkin perlu bantuan sedikit untuk kancingkan butang.

Ciri-ciri tambahan yang sewajarnya dicapai oleh anak yang sudah menjangkau umur 6 tahun setelah diajar dan diberi pendedahan berkenaannya adalah:

1. Suka lakukan pelbagai aktiviti dan menyibukkan diri.
2. Suka mewarna dan melukis.
3. Melatih diri dengan pelbagai kemahiran untuk menjadi cekap.
4. Menunggang basikal.
5. Boleh beritahu pukul berapa.
6. Boleh membaca buku atau bahan yang sesuai dengan usia.
7. Faham tentang waktu siang dan malam, perbezaan antara tangan kiri dan kanan.

Antara kelakuan yang biasa dilakukan oleh anak berusia 6 tahun:

1. Boleh tiru bentuk yang kompleks seperti ‘diamond’.
2. Penglihatan sudah tajam dan jelas seperti orang dewasa.
3. Boleh faham arahan dengan tiga arahan berasingan.
4. Boleh terangkan objek beserta kegunaannya.
5. Boleh bekerjasama dan berkongsi.
6. Mula cemburu dengan orang lain atau adik-beradik.
7. Suka meniru perbuatan orang dewasa.
8. Suka main sendirian, tetapi lama-lama kawan akan jadi penting dalam hidup mereka.

Anda juga digalakkan berkomunikasi dengan penjaga dan guru tadika anak untuk mengetahui lebih lanjut tentang tingkah laku dan pergaulan anak ketika bersosial dan berinteraksi dengan rakan sebaya dan orang dewasa.

Masa anak umur 6 tahun sebegini ia jadi begitu berharga buat ibu bapa kerana anak akan semakin cepat besar dan semakin banyak dia akan belajar tentang kehidupan. Sewajarnya tidak patut dilepaskan peluang untuk mengharungi fasa ini bersama anak meskipun sibuk bekerja.

Tahun depan anak sudah melangkah ke alam sekolah rendah pula. Satu lagi fasa yang mengujakan buat anda dan anak!

Anda boleh baca segmen Vocket Parenting di sini.