2019 sudah hampir melabuhkan tirainya. Penduduk Selangor kini berdebar menantikan intipati Belanjawan Selangor 2020 yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari Jumaat ini.

Belanjawan Selangor 2020 dilihat akan memberi impak positif kepada penduduk dari semua lapisan masyarakat di Selangor. Justeru itu, kerajaan negeri sudah pun merangka rancangan terperinci dalam Belanjawan Selangor 2020 yang akan diumumkan kelak.

Terdapat lima teras yang akan ditekankan dalam Belanjawan Selangor 2020 iaitu pemberdayaan ekonomi, pendidikan, keselamatan, kesihatan serta aspek sosial. Segala teras ini adalah hasil dapatan dari kaji selidik yang dibuat kerajaan negeri kepada rakyat negeri Selangor.

Jadi, apa yang penduduk Selangor boleh jangkakan untuk Belanjawan Selangor 2020? Difahamkan ini adalah beberapa perkara utama yang akan ditekankan dalam Belanjawan Selangor 2020.

1. Smart Selangor

Bajet 2020 Pic 1
Kredti gambar: REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kerajaan melihat 2020 sebagai masa yang terbaik untuk melaksanakan inisiatif kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor negeri pintar pada tahun 2025. Sebanyak 13 inisiatif menerusi program Smart Selangor akan diperkenalkan tahun hadapan bagi memastikan negeri ini lebih produktif.

Kemudahan infra seperti Wi-Fi percuma dijangka akan diperluaskan ke lebih banyak kawasan bagi kemudahan penduduk Selangor. Smart Selangor Parking adalah salah satu contoh inisiatif pendigitalan kerajaan negeri yang berjaya ketika ini.

2. Pendidikan

Bajet 2020 Pic 2

Dalam Belanjawan Selangor 2019 yang lalu, kerajaan Selangor memperuntukkan RM87.64 juta bagi memperkasakan sektor pendidikan dan dijangka peruntukan tersebut akan meningkat tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) berteraskan hubungan internet semakin menjadi perhatian dunia menerusi penggunaan aplikasi seharian.

“Kerangka pendidikan adalah akar penting yang akan kita tekankan dalam belanjawan akan datang. Tiada guna kalau kemajuan dikecapi tidak mampu digalas dan dikembangkan oleh anak-anak yang kita didik,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Apresiasi Dato’ Menteri Besar Bersama Majlis Guru Besar Selangor di Dewan Megawati 4 October yang lalu.

Untuk gambaran, allocation untuk sektor pendidikan adalah di kadar 6.8% bagi keseluruhan Belanjawan 2019, antara yang tertinggi diberi perhatian Kerajaan Selangor.

3. Keselamatan

Keselamatan

Berdasarkan statistik jenayah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2017, nisbah indeks jenayah bagi 100,000 penduduk di Malaysia pada 2017 bertambah baik kepada 408.6 kes.

Namun, kerajaan Selangor berikrar untuk meningkatkan lagi keselamatan bagi semua kawasan ‘hot spot’ di Selangor dengan memperkenalkan sistem keselamatan canggih yang akan diumumkan kelak sewaktu Belanjawan Selangor 2020.

4. Skim Peduli Sihat

Inisiatif Peduli Sihat (IPR) yang menjadi keunikan negeri Selangor turut akan diberi perhatian lebih dalam Belanjawan Selangor 2020. IPR tahun hadapan akan memfokuskan golongan sasar yang memerlukan dan tidak diberi secara purata. Jadi, tiada golongan B40 akan tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.

Peduli Sihat merupakan satu inisiatif Kerajaan Selangor yang telah dijadikan rujukan untuk Peka B40 yang baharu diperkenalkan oleh kerajaan pusat. Kad Peduli Sihat juga sangat berkesan sebagai saringan kesihatan untuk Non Communicable Disease (NCD). Untuk pengetahuan, contoh penyakit dalam kelompok ini adalah diabetes, strok, Parkinson dan lain-lain.

5. Inisiatif Kasih Ibu Smart Selangor

kISS

Kerajaan negeri Selangor mengiktiraf peranan penting kaum ibu dan bagi menghargai pengorbanan kaum ibu, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) diperkenalkan.

KISS merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam membantu wanita terutamanya golongan ibu dari segi bantuan kewangan. Buat para ibu yang selama ini bekerja dari rumah, inisiatif ini juga dapat membantu wanita menjana pendapatan bagi jenis pekerjaan ‘Work From Home’. Untuk maklumat lanjut inisiatif ini, boleh rujuk di sini.

6. Perumahan

Projek murni kerajaan Selangor, Rumah Idaman Selangor dan Rumah Selangorku akan diteruskan lagi untuk tahun hadapan. April lalu, Amirudin Shari telah merasmikan perumahan Idaman Solusi Pemilikan Kediaman Terunggul untuk memenuhi kehendak permintaan tinggi masyarakat untuk rumah mampu milik.

Rumah Idaman Selangor adalah kediaman lengkap dengan fasiliti beserta pembiayaan kewangan. Projek Perumahan Idaman akan dijual dengan harga RM250,000 (bergantung kepada jenis rumah dan lokasi). Kediaman ini nanti akan lengkap dengan dua parkir kenderaan, penghawa dingin, pemanas air serta almari pakaian.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari akan membentangkan Belanjawan Selangor 2020 pada hari Jumaat, 1 November pada jam 3 petang di Dewan Negeri Selangor.

Buat anda yang menetap di Selangor atau luar Selangor yang mahu menonton sesi pembentangan ini secara atas talian, boleh ke laman rasmi Menteri besar Selangor, amirudinshari.com. Yang, pasti Selangor bakal jadi lokasi hebat untuk semua tidak lama lagi.

Berikut merupakan artikel khas mengenai sistem parkir Smart Selangor yang sudah diguna pakai ketika ini. Anda boleh baca lebih lanjut pada artikel di bawah.

Dua Aplikasi Ini Sangat Membantu Anda Membayar ‘Parking’ Di Kuala Lumpur Dan Selangor

5 Homestay Dengan Pemandangan Sawah Padi Yang Indah Di Selangor