Hari ini masuk 16 bulan kerajaan Pakatan Harapan memegang kemudi pemerintahan negara. Ada banyak perubahan yang berlaku, ada yang setuju, ada yang tidak, ada yang mahu beri masa dan ada yang tak sabar-sabar nak tukar kembali ke pemerintahan sebelum ini atau memberi laluan kepada PAS yang masih belum diuji untuk menduduki takhta teratas pemerintahan negara kita.

Saya antara yang jarang memberi komen, lebih suka membaca dan memerhati sahaja. Oleh kerana tak pandai dalam dunia politik dan sepak terajang mereka, saya banyak mengundurkan diri.

Namun ada satu benda yang sangat menarik perhatian saya sekarang, iaitu kempen besar-besaran yang sedang giat dilakukan oleh hampir semua kawan-kawan dan saudara mara saya. Ianya adalah mengajak dan mempromosikan produk Muslim.

Selepas ada pihak cuba bermain api dengan membawa sentimen bangsa kepada negara kita ini, kali ini kita bergabung sama-sama untuk merealisasikan impian untuk membawa produk Muslim kepada yang lebih tinggi dengan menggunakan kempen ini.

Saya melihat komen Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang mengatakan kempen ini adalah tidak patut dan tidak wajar. Beliau memberi kata begitu atas dasar seorang pemimpin yang melihat kuasa ekonomi salah satunya datang dari pembeli.

Sekiranya kempen ini berjaya dilakukan, maka akan ada kerosakan dalam bentuk ekonomi negara, kerana sumber komoditi negara hari ini dikuasai oleh bukan Muslim walaupun negara kita ini negara Islam.

Dan saya yakin sesiapapun yang berada di kerusi itu akan beri komen yang sama, DS Najib, Tun Abdullah atau sesiapa sahaja, akan beri komen ianya tak perlu kerana menjaga ekonomi negara. Ia bukan faktor bangsa atau agama, ia adalah tentang ekonomi negara. Skopnya besar.

Beras, roti, gula, garam, susu, lampin, bot nelayan, ladang, dusun, kebun, hartanah serta banyaknya hal memang dikuasai oleh mereka dan ini menjadikan ekonomi negara berkembang dengan sangat pesat dan penggunanya ialah orang Islam secara majoriti.

Letak tanda halal, semua boleh dibeli di mana-mana.

Sejak beberapa minggu lepas, kempen ini sudah memberi getarannya. Dari diejek-ejek melalui media oleh beberapa orang Menteri, hinggalah hari ini ia semakin hampir berjaya menumbangkan ego ramainya orang.

Minyak masak diturunkan harga, roti dibeli hanya yang dimiliki oleh orang Islam, beras serta berbagai lagi barangan juga begitu dan buat kali pertama saya tersenyum puas melihat suasana begini.

Ia bukan kerana kempen tentang produk, ia adalah kerana bagusnya kita bersatu dalam hal begini.

Ada banyak benda kita dapat belajar dari kempen begini.

1. Pemilik bisnes Islam perlu jaga kualiti perniagaan.

QUAL-QHAG-blog
Sumber: etfwatch.com.au

Rata-rata orang Melayu Islam sebelum ini tidak membeli atau pergi ke perkhidmatan yang diberikan oleh orang Melayu Islam adalah kerana teruknya layanan, kebersihan tidak dijaga, barang yang terlalu mahal dan sering kita jumpa pekedai atau pemilik yang sombong nak mati.

Ia memual dan menjelekkan. Berbeza dengan kedai bangsa lain, agama lain, yang sering menganjurkan perkhidmatan yang baik, selesa, harga yang berpatutan dan mempunyai skill PR yang sangat tenang dan kemas.

Ini bisnes orang Melayu Islam wajib ada mulai hari ini.

2. Belajar cara pemasaran yang betul.

Sumber: tomo360.com

Kebanyakan dari kita juga sangat suka berbisnes dengan berbuat pemasaran gimik tak tentu hala. Dan ini menyebabkan kita semua naik menyampah dengan produk dan perkhidmatan orang kita. Ia bukan tentang produk sangat, namun tentang pemilik. Kita lebih sanggup pakai produk luar hanya kerana menyampah, bukan kerana rendah kualiti dan sebagainya.

3. Terima feedback daripada pelanggan.

feedback
Sumber: fadmagazine.com

Sudah sampai masa orang Melayu Islam belajar menerima rungutan daripada pelanggan. Ini antara kelemahan terbesar orang kita. Terima rungutan (complain) kita akan melompat bawa parang. Sedangkan bangsa lain, agama lain, akan dokumenkan segala rungutan, bawa dalam mesyuarat, baiki dan esok buat baru segalanya. Menjadikan bisnes mereka semakin baik dan terus maju beratus tahun lagi.

4. Belajar berdisiplin dalam perniagaan.

Sumber: studentlifemasti.com

Belajar disiplin mereka. Mereka ini masuk ke negara kita dan mengkaji apa kita makan, apa kita minum, apa kita suka, dan semua itu datang dari disiplin kerja yang cukup gagah. Dan kita melayan semua itu dengan cukup sempurna. Sedangkan kita juga kena ada disiplin tinggi supaya kita menghasilkan produk yang lebih kurang sama dengan mereka.

Penghasilan produk makanan adalah yang paling berguna dan berhasil dalam menaikkan ekonomi dalam mana-mana negara pun. Dan jika disiplin tentang itu tiada, maka kempen ini akan berakhir lagi beberapa bulan sahaja.

Disiplin belajar dan mengkaji ini sangat kecil dalam masyarakat kita. Dan itu antara kekurangan paling besar yang kita kena tolong.

5. Pengurusan kewangan sangat penting dalam bisnes.

Sumber: bisnessinar.com

Belajar berniaga dengan mengurus kewangan, mengurus syarikat, mengurus orang serta mengurus keluarga secara paling baik. masalah paling besar perniagaan orang kita ialah dengki dan hasad. Ianya datang dari persaingan yang tak sihat, suka perli dalam tak sedar, suka bercakap besar dan memualkan orang, suka sembang kencang, suka sana sini namun bab pengurusan, kelaut.

6. Jangan terlalu hype dalam membina perniagaan.

Sumber: zodab.com

Berhenti overclaim dan mula buat produk berkualiti. Ini masalah besar orang kita, bab meninggikan produk dengan kuasa perkataan atau cakap besar adalah benda biasa yang kita dengar. Banyak-banyak belajar tentang dunia pemasaran global. Ianya menguntungkan dalam bentuk branding serta menaikkan nama produk tanpa perlunya overclaim.

Kemudian menyalahkan sihir serta banyaknya benda yang tak bagus masuk hanya kerana tak pandai berniaga.

Kawan-kawan,

Kempen ini saya sokong. Saya sendiri menukar beberapa produk yang saya biasa beli dan mula membeli produk kita sendiri. Namun, dalam waktu berkempen, jika sesama kita tak mahu berubah, maka saya rasa kempen ini akan berakhir tidak lama lagi.

Semua orang perlu bersatu hati, pelanggan sudah bersama, maka bola sekarang dipegang oleh peniaga pula. Sekiranya kalian tidak mahu bergabung dengan apa yang ada dalam pemikiran kami, maka pelanggan akan perlahan-lahan pergi secara sembunyi-sembunyi ke produk yang biasa mereka guna.

Hanya kerana kalian tidak layan pelanggan, tidak pandai mengambil rungutan, jual mahal-mahal, suka bergaduh, suka perli suka menyakitkan hati pelanggan, kempen ini boleh gagal. Sungguh.

Terus beli produk Muslim. Saya sokong sepenuh hati.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,
Sampai sekarang masih kuat nak berkongsi ilmu Content kepada semua peniaga produk Muslim, namun tak semua mahu ambil peluang, yang tahu depa perli dan perang. Huhu.

Khairul Hakimin juga pernah berkongsi beberapa artikel menarik dan memberi impak positif di Vocket sebelum ini.

Mengapa Tekanan Buat Anak-Anak Bukan Cara Terbaik Untuk Mendidik

Pengalaman Saya Menonton Konsert ‘Sold Out’ Hebat Siti Nurhaliza Di Axiata Arena

Bagaimana Pasangan Mat Salleh Ini Jana RM65,000 Sebulan Tanpa ‘Begpacking’