Sudah menjadi tugas hakiki sebuah tech startup menyelesaikan masalah orang ramai melalui teknologi. Salah satu daripadanya adalah dengan penyediaan aplikasi bagi memudahkan orang ramai. Antara aplikasi yang berjaya menembus pasaran serta dikenali ramai ketika ini antaranya adalah Uber, Slack dan Tinder.

Menggunakan kaedah yang sama, pembangunan dari Indonesia ini ternyata mempunyai idea yang sedikit berbeza dalam menawarkan aplikasi cari jodoh khusus buat mereka yang ingin berpoligami. Aplikasi yang kami maksudkan adalah AyoPoligami.

Screen_Shot_2017-10-02_at_5_05_43_PM

Menggunakan konsep seakan Tinder, aplikasi ini difokuskan buat mereka yang sedang mencari jodoh sama ada bersama janda,duda atau mungkin para suami yang ingin menambah bilangan isteri. Lebih menarik, aplikasi ini sudah terbukti berjaya menemukan jodoh selepas terdapat pasangan di Indonesia berkahwin selepas berkenalan melalui aplikasi ini.

Mungkin idea ini dilihat sedikit aneh, namun memperlihatkan komuniti Rakyat Indonesia yang majoritinya adalah Orang Islam, pembangun aplikasi ini berpendapat terdapat sesuatu yang boleh diubah dalam membolehkan para suami yang ingin berpoligami mencari jodoh dengan lebih mudah.

Setakat ini aplikasi ini cuma ditawarkan di Indonesia dan sedia untuk digunakan semula bermula 5 Oktober berikutan penyelenggaraan yang dibuat. Pada pendapat anda, adakah aplikasi ini mampu berjaya sekiranya mula diperkenalkan buat Warga Malaysia?