Antara ciri keselamatan yang dilihat sangat berguna menerusi siri iPhone 14 sudah semestinya pengesanan kemalangan. Ciri ini bagaimanapun masih menjadi bualan ramai kerana mahu tahu sejauh mana keberkesanan di dalam situasi sebenar kemalangan.

Terbaharu, seorang wartawan The Wall Street Journal iaitu Joanna Stern berkerjasama dengan seorang penggiat sukan derby pelanggaran di Michigan, Amerika Syarikat bagi menguji ciri keselamatan yang terbina pada siri iPhone 14 dan juga Apple Watch Ultra.

Sebuah iPhone 14 dan seutas Apple Watch Ultra telah diletakkan pada kereta yang dipandu manakala sebuah iPhone 14 Pro diletakkan pada kereta yang dilanggar. Bagaimanapun, keputusan akhir mendapati tidak semua situasi kemalangan yang diuji mampu mengaktifkan ciri tersebut.

Pihak WSJ lantas meminta kenyataan daripada pihak Apple dan mereka memberi respon sebab mengapa ciri crash detection tidak dapat berfungsi pada setiap senario kemalangan. Antara yang dinyatakan adalah keadaan lokasi tersebut yang menyebabkan kesukaran menerima signal untuk mengaktifkan ciri tersebut.

Sumber Gambar: YouTube

Menurut Apple lagi, terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira sebelum boleh mengaktifkan ciri tersebut. Antaranya adalah sensor pergerakan perlu mengesan perubahan gerakan yang drastik. Mikrofon juga boleh mengesan bunyi yang kuat seperti kesan hentaman pelanggaran.

Di samping itu, bacaan GPS mampu mengesan perubahan kelajuan mendadak kenderaan yang bergerak dalam masa yang sama mengesan sama ada  berada di dalam kereta atau bukan. Selain itu, Barometer pula boleh mengesan perubahan tekanan udara apabila beg udara dibuka.

Sumber Gambar: GSMarena

Akhir sekali, CarPlay dan bluetooth boleh mengesahkan sama ada peranti tersebut benar-benar dalam kenderaan pengguna. Dalam kebanyakan kes, peranti-peranti tersebut terlebih dahulu perlu mengesan sama ada berada di dalam kenderaan yang sedang bergerak serta dibantu oleh isyarat-isyarat lain yang dinyatakan di atas.

Apa-apa pun, kita semua perlu sentiasa berhati-hati sewaktu memandu kereta di jalan raya. Ciri ini hanya salah satu iktihar untuk memudahkan anda mendapat bantuan kecemasan sekiranya berlaku kemalangan kelak.