Apple membuat kejutan pada malam ini apabila secara mengejut telah melancarkan dua produk mereka terdiri daripada Apple Mac Mini dan Apple MacBook Pro dengan penggunaan cip terbaru.

Apple Mac Mini ditawarkan dengan dua pilihan cip iaitu Apple M2 dan juga Apple M2 Pro. Pengurangan harga bagi Apple Mac Mini kepada serendah RM2,499 antara yang membuatkan model ini mungkin menjadi pilihan ramai kelak.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sebuah lagi produk yang mendapat perhatian ramai adalah Apple MacBook Pro 14-inci dan 16-inci yang ditawarkan dengan cip Apple M2 Pro dan Apple M2 Max yang sekaligus menawarkan prestasi serta ketahanan bateri yang terbaik dalam sejarah Mac.

Apple menjanjikan model terbaru Apple MacBook Pro yang dilancarkan pada kali ini menawarkan peningkatan prestasi sehingga 6 kali ganda berbanding model Macbook Pro yang menggunakan cip Intel. Selain itu, model ini turut menyokong RAM sehingga 96GB. Mengulas mengenai ketahanan bateri, Apple menjanjikan penggunaan selama 22 jam untuk satu pengecasan penuh.

Tidak hanya memfokuskan kepada kemas kini cip, model yang ditawarkan pada kali ini turut menyokong WiFi 6E3 beserta sokongan HDMI yang ditambah-baik untuk paparan 8K pada kadar 60Hz.

Apple Macbook Pro 14-inci dengan cip M2 Pro sedia ditawarkan pada harga RM8,799 manakala MacBook Pro 16-inci hadir dengan harga RM10,799. Model dengan penggunaan cip M2 Max pula bermula daripada RM14,799. Spesifikasi tertinggi bagi model Apple MacBook Pro 16-inci turut ditawarkan dengan harga mencecah RM26,799.