Kerajaan Arab Saudi menghukum mati tiga anggota masyarakat orang asal yang enggan berpindah daripada kawasan tempat tinggal mereka. Difahamkan bahawa kawasan tersebut bakal dibina sebuah bandar futuristik bernama NEOM. Bandar ini merupakan projek kebanggaan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang diharap dapat membantu Arab Saudi menghilangkan kebergantungan kepada hasil minyak.

Menerusi laporan ALQST – sebuah agensi pemantau hak asasi manusia bebas di Arab Saudi – hukuman ini telah dijatuhkan pada 2 Oktober 2022 yang lalu, tetapi berita mengenai hukuman ini tidak disebarkan kepada umum. Tiga banduan hukuman mati itu adalah penduduk Suku Howeitat.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Mereka telah ditahan sejak 2020 kerana mengadakan demonstrasi menentang pengusiran tanah adat mereka untuk dijadikan tanah pembangunan NEOM. Projek bandar futuristik itu dianggarkan menelan belanja AS$500 bilion.

Tanah adat Shadli, Attaullah, dan Ibrahim al-Howeitat terletak di wilayah utara Wilayah Tabuk. Bukan mereka bertiga sahaja yang dihukum berat kerana menolak pengusiran. Pada September 2022, seorang lagi anggota suku Howeiti dijatuhi hukuman 50 tahun penjara oleh Mahkamah Jenayah Saudi. Tuduhan yang dilemparkan kepada mereka juga bertujuan untuk menjerat dengan “tindakan keganasan” dan mengancam kestabilan kerajaan. Menurut ALQST, tuduhan ini sering digunakan untuk menjerat aktivis dan tokoh pembangkang dalam Kerajaan Dolar Petro.

Bukan itu sahaja, seorang lagi lelaki bernama Abdul Rahim al-Howeitat, adik kepada tiga orang yang dijatuhkan hukuman mati, meninggal dunia pada April 2020 kerana ditembak oleh tentera Arab Saudi selepas memuat naik sebuah video di media sosial, mengkritik pembinaan NEOM. Mangsa menggelarkan cara pengusiran kerajaan Saudi sebagai sebuah keganasan. Dia dan saudara-saudaranya dari suku Howeitat menjadi penggerak di sebalik penolakan pengambilan tanah NEOM.