Kebanyakkan rakyat Malaysia sekarang tergila-gilakan minuman ‘teh boba’ ataupun ‘bubble tea’ yang mudah didapati di mana-mana sahaja. Kedai yang menyajikan minuman teh boba ini seperti Tealive, Chatime, The Alley, Daboba dan banyak lagi jenama lain tumbuh bak cendawan yang sentiasa dikunjungi pelanggan tidak kira masa.

Akan tetapi, pasti anda tertanya-tanya asal usul teh boba ini dan bagaimana ia boleh terkenal seperti hari ini. Sebenarnya teh boba ini sudah wujud dari tahun 80-an lagi di Taiwan.

Terdapat sedikit perbalahan siapa sebenarnya pengasas teh boba ini di mana terdapat dua syarikat di Taiwan yang mengaku mereka adalah pengasas kepada trend teh boba ini. Syarikat tersebut adalah Hanlin Tea Room dan Chun Shui Tang.

hanlin
Sumber: Google

Menurut pengasas Hanlin Tea Room iaitu Tu Tsung-he, dia mendapat inspirasi menghasilkan teh boba apabila dia ke pasar dan membeli bebola ubi kayu berwarna putih. Lalu, dia memasaknya di rumah dan mencampurkannya dengan susu yang ingin diminumnya. Berikutan kombinasi rasanya yang unik antara minuman tersebut dan bebola itu, dia menjual minuman tersebut dan menamakannya ‘pearl milk tea’.

Chunshuitang-7
Sumber: DanielFoodDiary

Berlainan pula dengan cerita Chun Shui Tang. Menurutnya, syarikat tersebut mula menghasilkan teh boba berdasarkan resipi salah seorang pekerjanya, Lin Hsiu-hui yang telah menghasilkannya sejak dari kecil. Resipi Lin Hsiu-hui yang meletakkan bebola ubi kayu dalam minuman diperkenalkan oleh syarikat Chun Shui Tang secara rasmi.

Kenapa terdapat dua versi berbeza tentang teh boba ini? Ini kerana kedua-dua syarikat ini tidak dapat membuktikan siapa pengasas sebenar di mahkamah dan kini resipi teh boba ini bebas digunakan oleh ramai pihak tanpa perlu membayar royalti kepada mana-mana pihak.

Setakat hari ini terdapat lebih kurang 250 jenama teh boba yang terdapat di Taiwan dan top 5 jenama yang terkenal di Taiwan adalah Chen San Ding Black Sugar Bubble Tea, Tiger Sugar, Chun Shui Tang, 50 Lan dan Xing Fu Tang.

Itulah kisah serba sedikit tentang asal usul teh boba yang sedang hit dan menjadi kegilaan ramai orang di Malaysia. Hanya dengan bebola ubi kayu, sudah dapat tarik minat ramai untuk beratur panjang setiap hari. Cumanya minum secara berhemah kerana kandungan gula dalam setiap teh boba memang sangat tinggi.