Dalam mendapatkan sebuah komputer riba, pasti seseorang pengguna mahukan sebuah komputer riba yang serba lengkap serta memenuhi ciri yang diperlukan. Buat golongan profesional, sudah pastinya komputer riba yang versatil, mudah untuk dibawa, ringan serta memenuhi segala keperluan antara yang diperlukan dalam memudahkan untuk menyelesaikan sesebuah tugas tanpa mengira tempat.

Walau bagaimanapun, lambakan model dan peranti di pasaran pada ketika ini nyata memberi kesukaran buat para pengguna untuk mendapatkan sebuah model yang lengkap dalam satu.

Mengetahui masalah yang berlaku di kalangan pengguna, ASUS baru-baru ini tampil dengan sebuah model yang versatil dan serba lengkap dalam pelbagai sudut menerusi model ASUS Zenbook 14X OLED.

Malah, tidak keterlaluan untuk kami katakan model ini merupakan antara model komputer riba paling unik dalam pasaran pada ketika ini. Mengapa kami label model ini sebagai model hampir sempurna? Ayuh kita ketahui lebih lanjut mengenai model terbaru ASUS ini.

Rekaan yang kompak dan premium

Antara keunikan utama serta membuatkan ASUS Zenbook 14X OLED menjadi pilihan adalah saiznya yang nipis dan ringan. Model ini sekadar hadir dengan berat serendah 1.5kg dan mempunyai ketebalan sekadar 16.9mm sahaja.

Menariknya menerusi rekaan ASUS Zenbook 14X OLED pada kali ini, model ini berjaya menawarkan sebuah rekaan yang nipis dan juga premium dalam masa yang sama menawarkan keunikan menerusi pengguna kemasan ceramic PEO menerusi model berwarna Sandstone Beige.

Untuk pengetahuan, dalam usaha untuk menghasilkan sebuah komputer riba yang lebih utuh dan lasak untuk kegunaan harian, komputer riba ini telah berjaya mengharungi sebanyak 26 prosedur ujian untuk diiktiraf dengan ketahanan bertaraf ketenteraan. Kemasan ceramic PEO ini juga kalis cap jari dan juga mempunyai kekerasan 8H yang membuatkan material ini lebih lasak dan kuat.

Dilengkapi spesifikasi yang hebat

Berbincang mengenai spesifikasi, ASUS Zenbook 14X OLED berjaya menawarkan apa yang dimahukan sejumlah besar pengguna khususnya golongan profesional. Model ini hadir dengan penggunaan beberapa model processor Intel generasi ke-13 di mana model tertinggi dikuasakan oleh processor Intel Core i9-13900H.

Dari segi skrin, pengguna bakal menikamti paparan 2.8K OLED beserta refresh rate sehingga 120Hz menerusi skrin 14.5-inci. Sokongan 100% DCI-P3 color gamut bakal menawarkan antara paparan yang pengguna boleh nikmati pada sebuah komputer riba.

Nak tahu apa yang lebih menarik? Model ini turut ditawarkan bersama kad grafik GeForce RTX 3050 yang sekaligus membantu pengguna untuk mengakses aplikasi-aplikasi yang memerlukan pemprosesan yang tunggu dan juga sokongan game terbaru di pasaran.

Sokongan RAM sehingga 32GB menjamin prestasi yang optimum untuk tugas-tugas berat atau multitasking. Teknologi ASUS IceCool pula memastikan suhu yang rendah untuk penggunaan yang senyap. Penawaran ruang storan sehingga 1TB antara yang tersedia bagi model ASUS Zenbook 14X OLED.

Sokongan pengecasan pantas

Mengulas mengenai peranti yang kerap digunakan secara on the go, sudah pastinya ketahanan bateri antara yang menjadi isu utama. Selain itu, sokongan pengecasan pantas antara yang didambakan dalam memudahkan pengguna.

Menerusi model ASUS Zenbook 14X OLED, pengguna berpeluang menikmati masa penggunaan yang panjang untuk satu pengecasan penuh menerusi bateri 70Wh.

Lebih memudahkan pengguna, model ini turut menyertakan port pengecasan USB-C yang sekaligus memudahkan komputer riba ini dicas menerusi seleksi palam pengecas 5-20V tanpa sebarang masalah. Kami yakin, pastinya tiada lagi isu melibatkan ketahanan bateri dan pengecasan pantas menerusi model ini.

Harga

Mengulas dari segi harga, ASUS Zenbook 14X OLED sedia ditawarkan dengan harga bermula daripada RM4,999 untuk model yang menggunakan processor Intel Core i5-13500H.

Bagi model yang menggunakan cip Intel Core i7-13700H pula ditawarkan pada harga RM5,999. Sebanyak dua warna premium ditawarkan bagi model ini iaitu Inkwell Gray dan Sandstone Beige.

ASUS Zenbook 14X OLED yang dikuasakan oleh cip Intel Core i9-13900H dan kad grafik GeForce RTX 3050 pula ditawarkan pada harga RM6,999.

Sememangnya sebuah komputer riba OLED yang premium, ringan dan nipis yang terbaik khususnya buat golongan profesional yang sering bekerja secara on-the-go. Anda boleh ketahui lebih lanjut mengenai model serba berbaloi ini dengan layari laman rasmi ASUS.