Semalam kami berkongsi kisah suka duka Nur Asyikin binti Rahmat, pemilik syarikat Asyikin Exclusive dan suami Ishak Tang, di awal perkahwinan, serta perniagaan pertama mereka .

Betapa sukarnya menjalani kehidupan suami isteri setelah berkahwin pada usia muda, ditambah lagi dengan perbezaan bahasa dan budaya memberi cabaran yang bukan sedikit.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Anda boleh baca kisah sebelum ini di: Bagaimana Wanita Ini Membina Empayar Fesyen Yang Mengagumkan

Pada kali ini, kami ingin berkongsi bagaimana jenama Asyikin Exclusive bermula, dan perancangan mereka mengembangkan empayar fesyen muslimah yang menepati syarak ke China.

Peluang di Tesco

Dalam bahagian pertama, kami menceritakan tentang Nur Asyikin dan suami bekerja di Bukit Bintang dalam sebuah kedai bingkai gambar.

Setelah 3 bulan bekerja di sana, Nur Asyikin dan suami mendapat berita Tesco akan dibuka di Melaka.

asyikin-exclusive
Akad nikah Via Instagram @nurasyikinbintirahmat

Dengan gaji bersama sebanyak RM900 sebulan, bekerja selama 3 bulan, pasangan ini berjaya berjimat cermat untuk mengumpul dana sebanyak RM1500.

Nur Asyikin dan Ishak mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan kembali ke Melaka. Mereka sangat berminat memulakan perniagaan baru mereka di Tesco. Sangkaan mereka, wang sebanyak RM1500 cukup sebagai modal membuka perniagaan baru mereka di sana.

Hampir pitam apabila pasangan ini bertemu dengan pengurus pasaraya, lalu mendengar bahawa sewa dan deposit tapak sahaja sudah mencecah RM6000. Itu belum termasuk modal membeli barang niaga!

"Saya merayu kepada pengurus agar diberikan peluang. Saya berjanji akan membayar deposit secara ansuran. Setiap hari saya berjumpa dengan pengurus. Akhirnya dia benarkan, dan beri kios nun jauh ke belakang.

Saya minta suami jumpa kawan untuk dahulukan barang niaga. Kawan kesian dan kami dapat barang niaga untuk dijual. Alas meja, pembalut kotak tisu dan cadar adalah di antara barangan yang dijual.

Tiga hari berniaga, Alhamdulillah jualan mencapai RM6000. Walaupun kios itu orang susah nak jumpa, tetapi akhirnya, berjaya juga menjual.

Dalam keseronokan, pengurus datang balik beritahu kena bayar sewa tapak dan deposit secara penuh. Kalau tidak, kedai akan diberi pada orang lain.

Berita ini buat saya termenung panjang."

Mahu tidak mahu, Nur Asyikin dan Ishak Tang nekad menggunakan wang jualan yang ada untuk membayar sewa dan deposit tapak.

"Selepas bayar semua pada Tesco, saya pening. Barang sudah habis, bagaimana mahu meniaga? Saya pujuk suami supaya minta pinjaman barang lagi daripada kawan dia."

"Kami berterus terang, barang memang habis dijual tetapi kena bayar duit kios.
Kalau tak bayar, kami hilang peluang meniaga. Masa tu di Melaka, memang Tesco yang paling ramai dikunjungi orang," jelas Nur Asyikin.

asyikin-exclusive
Via Instagram @nurasyikinbintirahmat

Mujurlah rakan Ishak adalah peniaga juga.

Diberinya barang-barang berharga RM8000 untuk dijual.

Nur Asyikin terkejut dan takut barang tidak habis dijual.

Mujurlah akhirnya, barang yang diberi habis terjual.

Bisnes Lebih Besar

Bertitik tolak daripada peristiwa itu, perniagaan pasangan suami isteri ini bertambah maju.

Mengamalkan bisnes tunai, Nur Asyikin dan pasangannya tidak pernah mengambil pinjaman bank untuk berniaga.

"Bapa saya berniaga tak pernah ada akaun bank. Jadi saya belajar daripada pengalaman itu. Bagi saya, itu rugi."

asyikin-exclusive
Via Instagram @nurasyikinbintirahmat

"Tentang bayar cukai, kita selalu marah pada kerajaan. Tetapi bayar cukai adalah satu perkara penting. Lebih banyak bayar cukai, lebih banyak pulangannya. Macam sekarang ini, hari-hari bank telefon. 'Nak pinjam tak? Nak pinjam tak? Berapa nak pinjam?'. Bank asyik tanya-tanya."

"Konsep saya berniaga pula, saya berniaga apa yang ada.

Daripada RM5000 jadikan RM10,000.

Daripada RM10,000 jadikan RM20,000.

Daripada RM20,000 jadikan RM40,000.

Jangan pinjam dahulu. Siang-siang sudah letak beban pada tempat (perniagaan) kita.

Perniagaan saya tiada satu pun ada hutang bank," kata beliau.

Atas usaha mengikut kapasiti perniagaan dibina, Nur Asyikin dan suaminya mengembangkan bisnes mereka berdua. Lama-kelamaan mereka mula memborong sendiri dari China.

Hakikat suaminya berasal dari China, memudahkan urusniaga mereka. Pasangan ini mendapat sumber terbaik daripada China.

Malahan, adik ipar beliau yang menetap di China boleh membuat pemeriksaan kualiti sebelum tekstil yang dibeli, dihantar ke Malaysia.

Memulakan Asyikin Exclusive

Pada mulanya, saya menyangka pasangan ini memulakan bisnes berskala besar melalui syarikat pemborong tekstil mereka, Baba Nyonya Shop.

Lalu ini mendorong saya bertanya, "Sejak bilakah memulakan Asyikin Exclusive dan sejak bila berminat dalam bidang fesyen?"

asyikin-exclusive
Ketika diwawancara oleh Astro Awani Via Instagram @nurasyikinbintirahmat

Rupa-rupanya, Asyikin menjawab kedua-dua syarikat ini dibuka serentak. Suami isteri ini memiliki minat berbeza pada perkara yang sama (tekstil).

Suaminya lebih berminat kepada bisnes borong tekstil. Manakala, beliau lebih berminat kepada perniagaan jenis butik.

Ini menyebabkan dua bisnes dibuka.

Menguji Pasaran di China

Berniaga barangan muslimah ke China nampak pelik.

Hakikatnya, populasi warganegara China daripada keturunan beragama Islam (23.3 juta pada 2010) hampir menyamai seluruh populasi Malaysia (29.72 juta pada 2015).

Antara bangsa yang sudah asalnya beragama Islam di China adalah seperti bangsa Hui di Lanzhou dan Uyghurs di Xinjiang. Selain dua tempat ini, Shanghai juga memiliki populasi rakyat beragama Islam yang tinggi.

asyikin-exclusive
Ketika melawat keluarga abang ipar di China Via Instagram @nurasyikinbintirahmat

Sejak 10 tahun dahulu, ekonomi seluruh China, termasuk warganegara beragama Islam naik dengan mendadak. Kalau dahulu, rakyat Malaysia pergi ke China untuk membeli belah, tetapi sekarang, warga China datang ke Malaysia untuk membeli belah.

Nur Asyikin membuka cerita, semasa mengunjungi butik Louis Vuitton di KLIA, rakan suaminya yang berasal dari China memilih 3 rekaan beg tangan yang tidak disukainya, lalu memborong semua rekaan yang lain.

Nur Asyikin membuka cerita lagi, semasa pergi ke China, beliau menguji pasaran China dengan membawa tudung bawal yang berharga RM10 sehelai di Malaysia. Beliau membawa 300 helai yang berjumlah RM3000, dan menjualnya semula di China pada harga RM100 sehelai.

Hasilnya, beliau membawa pulang RM10,000.

Cukup untuk menampung tiket penerbangan sekeluarga untuk pulang ke kampung suami di China.

Kuasa Membeli Warga China

Muslim China memang sukakan tudung bawal.

Sebagai contoh, bawal eksklusif sekarang boleh dijual mencecah RM1,500 sehelai disebabkan Muslim China yang memborong.

Saya menduga sekiranya kerongsang juga boleh dijual.

Nur Asyikin menjawab, walaupun warga negara China menjual kerongsang, tetapi mereka tidak menggunakannya. Sebaliknya, mereka hanya menggunakan klip kertas untuk memakai tudung.

asyikin-exclusive
Ketika promosi Baba Nyonya Shop Via Instagram @nurasyikinbintirahmat

Kami beramai-ramai terdiam, kemudian ketawa besar.

"Beli tudung RM1500, tetapi kalau lihat di tengkuk, mereka hanya pakai klip kertas 20 sen!" kata Nur Asyikin.

Rupa-rupanya begitu sayangnya mereka kepada tudung, sehinggakan tidak mahu ia rosak atau berlubang disebabkan ketajaman jarum kerongsang.

"Kalau kita pernah baca hadis, antara tanda-tanda akhir zaman, Allah kata penggembala kambing berlumba-lumba nak menjadi orang kaya. Orang-orang yang dulu duduk di kampung-kampung, hujung tanjung, berlumba-lumba membuat bangunan tinggi-tinggi. Akhir zaman, bangunan tinggi-tinggi lagi banyak mencakar langit .

Tetapi, benda ini saya sudah nampak di kampung suami. Kalau orang gembala kambing di kampung suami sudah kaya dari dulu. Bukan setakat penggembala, mereka yang bekerja sebagai tukang sembelih kambing pun sekarang sudah buat bangunan tinggi-tinggi. 40 tingkat, 50 tingkat. Semua orang Islam.

Kalau di Malaysia, mereka yang memiliki 20 buah rumah sudah kaya. Tetapi mereka di sana, memiliki 20 buah bangunan dianggap kaya," jelas Nur Asyikin panjang lebar.

Saya bertanya, "Bagaimana orang China ini boleh jadi kaya raya?"

Nur Asyikin menjawab, salah satu daripadanya adalah melalui batu jed. Orang Islam merupakan pelombong dan pengeluar batu jed terbesar.

Kebanyakan orang Islam di sana juga terlibat dengan pembinaan jalan kereta api. Kereta api adalah pengangkutan utama di China. Kereta api biasa, sederhana, dan laju. Terbaru adalah kereta api bullet, yang mampu bergerak pada kelajuan 400 km sejam. Orang Islam terlibat dengan pembinaan jalan-jalan kereta api ini.

asyikin-exclusive
Via Instagram @nurasyikinbintirahmat

Selain itu, ramai juga terlibat dengan aktiviti perlombongan emas.

Setelah mendapat kekayaan daripada 3 hasil ini, ramai pula terlibat dengan bisnes pemaju bangunan.

Ketika zaman komunis, rakyat China tidak boleh berbelanja. Selepas ekonomi China dibuka, the new money menonjolkan diri pada skala gergasi.

Ekonomi Kuat, Sedekah Besar

Kerajaan komunis tidak bantu penganut agama Islam untuk membina masjid mahupun sekolah. Masyarakat tempatan harus cari duit sendiri untuk membuka kemudahan-kemudahan seperti ini.

Disebabkan itu, masyarakat tempatan bekerjasama memajukan prasarana kawasan mereka sendiri.

"Untuk derma buka masjid, orang akan pandang pelik kalau derma RMB 10,000 (RM6666). Orang lain keluar sehingga RMB 5 juta (RM 3 juta+). Ramai yang derma juta-juta," jelas Nur Asyikin tentang kekuatan ekonomi umat Islam di sana.

Mereka ada papan hitam yang tulis nama penderma, menderma ke mana dan nilai sumbangan. Pada mulanya saya rasa, 'Tak bolehlah buat begini.Kalau banyak, riak. Kalau sedikit, malu pula'.

Tetapi bagi mereka ini adalah semangat. Semangat, semangat, semangat.

Bila sudah ada dalam senarai itu, semangat. Mindset kita dan mereka tak sama.

Malulah, menunjuklah – kena ubah, kena ubah. Kalau benda yang baik tak apa. Tapi dengan niatlah.

Kalau ikut Islam, memanglah lebih baik tangan kanan beri, tangan kiri tak tahu. Tapi apa salahnya untuk menambah semangat orang lain.

Sebabnya harta yang ada hari ini bukan harta kita. Yang masuk tekak sahaja rezeki kita.

Yang lain-lain, orang lain punya.

Belum tentu lagi (jadi harta kita).

Disebabkan kuatnya konsep wakaf dan bekerjasama di antara orang Islam di sana, kekayaan dikongsi bersama dan seluruh masyarakat menerima manfaat.

Ekonomi, pendidikan, sosial, sivik, semuanya meningkat naik.

Ramai generasi sekarang belajar hanya sehingga darjah 1 atau 2. Banyaknya tidak tahu berbahasa Inggeris. Malah ada sebahagian, tidak tahu menulis dalam bahasa Mandarin. Akan tetapi sudah terlihat, generasi baru kini mampu bertutur dalam bahasa Inggeris standard.

asyikin-exclusive
Bersama Puteri Sarah Via Instagram @nurasyikinbintirahmat

Tandas awam yang dahulunya dipenuhi najis, kini sudah mula setanding dengan tandas KLIA. Bersih.

Kampung Ishak Tang, suami Nur Asyikin yang dahulunya berlecak, kini sudah berturap, satu demi satu.

Membuka Butik Di China

Apabila Nur Asyikin menceritakan hasrat beliau untuk membuka butik di China, ramai rakyat tempatan China beragama Islam memberi sokongan dan berasa tidak sabar menunggu pembukaan butik beliau.

asyikin-exclusive
Dress Belinda oleh Asyikin Exclusive Shop Via Instagram @asyikin_exclusive

Sambutan dan permintaan menggalakkan ini menguatkan lagi keyakinan Nur Asyikin untuk meneruskan cita-citanya.

Nur Asyikin bercerita, pada ketika ini, selendang kosong dengan satu baris manik boleh mencecah harga RM350.

Jubah dan dress ringkas mencecah harga RM1500, walaupun tanpa jenama.

asyikin-exclusive
Via Instagram @asyikin_exclusive

Harganya, "wow", tetapi orang Islam di sana tetap membeli disebabkan tiada pilihan.

Nur Asyikin memilih bisnes butik demi memastikan jenama Asyikin Exclusive melekat di hati rakyat Malaysia dan China.

Pembukaan Asyikin Exclusive Di China

Asyikin Exclusive bakal dibuka pada pertengahan tahun ini di Gansu, China sempena musim panas. Asyikin dan suaminya sudah mendapat tapak bersesuaian dan masih berunding terma dan syarat.

"Kami merancang masuk ke China menggunakan media-media tempatan.

Saya nak sangat bekerjasama dengan Shila Amzah. Kami sudah menyuarakan hasrat kepada beliau, tetapi disebabkan jadual masing-masing yang sibuk, kami belum sempat bertemu.

Shila Amzah sangat terkenal di China. Di China, beliau sangat hebat. Dengan jumlah rakyat seramai berbilion orang, Shila Amzah terkenal sehingga ke ceruk-ceruk kampung.

Kalau saya jumpa dia nanti, saya ingin ucapkan terima kasih kepada beliau kerana membawa nama baik Malaysia. Sebelum ini, ramai yang tidak mengenali Malaysia. Beliau membuka mata orang China terhadap Malaysia.

Koleksi Asyikin Exclusive

Koleksi Asyikin Exclusive di China akan menampilkan rekaan seperti di Malaysia. Perbezaannya, mereka akan menggunakan fabrik berbeza mengikut musim.

asyikin-exclusive
Via Instagram @asyikin_exclusive

Pada tahun 2016, Asyikin Exclusive menampilkan koleksi bercorak bunga-bungaan segar seperti lili, orkid dan bunga raya daripada fabrik satin krip.

Dress Muslimah inspirasi Turki seperti Akasia dan Belinda, shawl dengan hiasan batu dan manik dan palazzo bercorak bunga dipadankan dengan baju potongan tunik serta jubah polos juga menjadi pilihan ramai di Asyikin Exclusive.

Perancangan Masa Hadapan

Apabila ditanya tentang perancangan seterusnya, Nur Asyikin menjawab beliau bercita-cita untuk menambahkan cawangan ke seluruh Malaysia.

Menurutnya, syarikat beliau memperuntukkan RM 2 juta bagi lokasi butik terbaru sama ada di Bangi, Selangor atau Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Beliau juga sedang berusaha mengukuhkan jenama agar menjadi sebutan di bibir rakyat Malaysia dan China.

Perkongsian Terakhir

Terdapat beberapa perkongsian yang Nur Asyikin titipkan:

asyikin-exclusive
Koleksi Asyikin Exclusive Shop Via Instagram @asyikin_exclusive
  • Buat sesiapa yang minat berniaga pakaian, boleh hubungi Baba Nyonya Shop yang menyediakan tekstil terbaik harga rendah. Baba Nyonya Shop juga menyediakan perkhidmatan menempah kain dan menjahit.

  • Fokus betul-betul pada apa yang kita buat. Yakin dengan apa yang kita usahakan. Kalau jadi cikgu, jadilah cikgu yang berdedikasi. Kalau meniaga, meniagalah betul-betul. Jatuh itu perkara biasa. Usaha dalam bidang yang diusahakan sehingga berjaya.

  • Kegagalan memberi kenangan manis. Apabila dapat minum air berharga RM10, akan lebih terasa nikmatnya, kerana dahulu mahu minum air RM1 pun tiada duit.

  • Jangan berhutang memeningkan kepala. Kita hidup tak mahu memeningkan kepala. Ikut kemampuan.

  • Apabila stress meniaga, motivasikan diri sendiri. Pandang dan cermin muka sendiri. Tanya apa aku cari hari ini. Meniaga untuk menyenangkan, bukan menyusahkan.

  • Berjimat, jangan boros.

  • Harta yang kita sumbang pada agama itulah harta kita yang sebenarnya.

  • Agama juga mengajar, "Orang yang baik ada tunggangan yang baik". Sedang-sedang dalam berbelanja dan bersederhanalah.

Apabila ditanya, "Umur baru 33 tahun, sudah 15 tahun berkahwin, tak rasa lama berkahwin?"

Asyikin menjawab, setiap kali anniversary, jangka masa perhubungan semakin pendek. Tidak boleh kesali. Kena lebih hargai masa yang ada.

Semakin lama usia perkahwinan, semakin pendek masa untuk kita bersama dengan suami.

asyikin-exclusive
Penulis bersama Nur Asyikin Via FB Syantinur

Nur Asyikin berkongsi lagi, apabila bercerita tentang kehidupan, pada usia 33 tahun, beliau tidak percaya apa yang beliau sudah lalui.

Apabila duduk seorang diri terkenangkan 15 tahun dahulu ketika baru berkahwin, beliau tersedar rupa-rupanya beliau sendiri yang menghadapi saat-saat sukar. Makanan tiada, susu anak tiada.

Dahulu, kasut di Vincci yang berharga RM49 pun terasa sangat mahal, rasa bagai menjejakkan kaki di Jimmy Choo.

"Syukur Alhamdulillah. Apa lagi kita mahu," kata Nur Asyikin, menutup perbualan.


Anda boleh mengikuti perkembangan lanjut dan mendapatkan rekaan Asyikin Exclusive di Facebook atau Instagram.

Anda juga boleh mengikuti perkembangan Nur Asyikin binti Rahmat di Instagram beliau.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram