Satu kajian terbaru yang diterbitkan dalam jurnal Reproduction menyatakan bahawa gejala jangkitan COVID-19 yang teruk boleh mengganggu kualiti sperma lelaki, sehingga mempengaruhi tahap kesuburan, lapor CNN.

“Laporan ini memberikan bukti bahawa COVID-19 dapat merosakkan kualiti sperma dan berpotensi mengganggu pembiakan lelaki,” tulis para penyelidik dalam kajian terbaharu.

Dalam kajian itu, para penyelidik membandingkan 105 lelaki subur tanpa COVID-19 dengan 84 lelaki yang dijangkiti dengan wabak COVID-19. Di dalam kes ini, apa yang dijadikan tumpuan adalah kualiti cecair sperma lelaki ini.

Hasil akhir kajian membawa kepada penemuan bahawa lelaki yang dijangkiti wabak COVID-19 mengalami keradangan dan tekanan oksidatif pada sel sperma mereka. Tambahnya lagi, kepekatan sperma, mobiliti dan bentuk juga dipengaruhi oleh wabak ini.

Semakin parah gejala yang dialami pesakit, semakin mudah mereka mengalami gangguan sperma, kata para penyelidik.

“Kesan ini pada sel sperma dikaitkan dengan kualiti sperma yang lebih rendah dan penurunan potensi kesuburan. Walaupun kesan ini cenderung meningkat dari masa ke masa, kesannya tetap tinggi dan tidak normal pada pesakit COVID-19, dan kesan besar perubahan ini juga ada kaitan dengan keparahan penyakit, “kata Behzad Hajizedah Maleki, penyelidik utama dan pelajar kedoktoran di Justus Liebig University Giessen, Hesse, Jerman dalam kajiannya.

Para penyelidik juga mendapati bahawa lelaki yang dijangkiti COVID-19 mempunyai tahap aktiviti enzimatik ACE2 yang jauh lebih tinggi daripada mereka yang tidak dijangkiti. ACE2 atau Angiotensin-converting Enzyme 2 adalah protein yang merupakan pintu masuk virus korona dan menjangkiti sel manusia.

“Tidak menghairankan bahawa COVID-19 boleh mempengaruhi sistem pembiakan lelaki kerana reseptor ACE2 juga terdapat di testis,” kata Allan Pacey, profesor andrologi di The University of Sheffield di South Yorkshire, England.

Komen daripada pakar lain

Walau bagaimanapun, sebilangan pakar yang tidak terlibat dalam penyelidikan ini secara langsung mengkritik kajian ini. Mereka memberi amaran kepada para penyelidik untuk berhati-hati dalam menyimpulkan kajian. Sebahagian pakar mengatakan bahawa kajian itu tidak menemui hubungan antara COVID-19 dan tahap kesuburan lelaki.

Channa Jayasena, seorang perunding endokrinologi pembiakan dan andrologi di Imperial College London, mengatakan bahawa sukar untuk menentukan kesan COVID-19 dengan kualiti sperma, kerana orang yang dijangkiti dengan wabak yang biasa juga akan mengalami penurunan jumlah sperma.

“Menghidap virus seperti selesema dapat menurunkan buat sementara jumlah sperma seseorang (kadang-kadang menjadi sifar) selama beberapa minggu atau bulan. Ini sukar untuk mengetahui berapa banyak pengurangan yang diperhatikan dalam kajian ini khusus untuk COVID-19 daripada sekadar penyakit,” katanya.

Sementara itu, menurut Alison Murdoch, ketua Newcastle Fertility Center di International Center for Life, Newcastle University, UK, setakat ini tidak ada bukti COVID-19 dalam air mani dan tidak ada bukti bahawa coronavirus dapat ditularkan dari air mani.

Terdahulu, saintis di China beri amaran bahawa pandemik tahun ini bakal lebih teruk daripada tahun lalu. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Saintis Di China Beri Amaran, Pandemik Tahun Ini Diramal Lebih Buruk Daripada Tahun 2020

Penyelidik Dakwa Ganja Mampu Rawat Pesakit COVID-19, Minta Kajian Lebih Mendalam Dilakukan

COVID-19 Di Malaysia Dijangka Berakhir Awal Mei Menurut Kajian Universiti Dari Singapura