Azizul the pocketrocketman – kami bukan melihat beliau bermula hari ini saat beliau dikalung pingat gangsa. Kami juga bukan melihat Azizul saat beliau menjadi satu-satunya wakil Asia yang berdiri ‘sama tinggi’ dengan jejaka Britain dan Belanda di podium Sukan Olimpik Rio 2016.

Tapi kami mula melihat Azizul daripada saat gambarnya mula terpampang di dinding-dinding dan banting-banting Yayasan Sime Darby sekitar 5-7 tahun yang lalu lagi. Kami mula melihat Azizul daripada beliau masih ada rambut sehinggalah sekarang sudah tiada rambut.

Tahniah Sime Darby kerana mengenal potensi sebutir permata saat tiada siapa pun mengenal siapa itu Mohammad Azizul Hasni bin Awang. Tahniah YSD kerana menaja untuk kempen pingat emas di Sukan Olimpik sejak tahun 2009 lagi.

Tahniah juga untuk penajaan biasiswa YSD bagi membiayai pengajian Azizul di peringkat ijazahnya di Victoria University, Melbourne. November tahun lalu, Azizul menjadi pelajar luar negara pertama yang dianugerahkan Full Blue Award oleh universiti berkenaan, atas pencapaiannya dalam sukan.

Dan hari ini, tahniah YSD untuk ganjaran RM100,000 selepas kejayaan Azizul membawa pulang pingat gangsa di Sukan Olimpik Rio 2016.

Tahniah Mohammad Azizul Hasni Awang! Tahniah Sime Darby!

Ya Azizul anda buktikan, size doesn’t matter! Banyak yang dapat kita pelajari dari atlet dunia bertubuh kecil berjiwa besar ini.

1. Fokus

Meskipun diuji dengan anak yang sedang sakit demam panas, beliau membuktikan itu bukan alasan melarikan fokus untuk memungut pingat di Rio.

Ini bukan sekali, Azizul pernah mencuri tumpuan dunia selepas menunjukkan sikap tidak mengaku kalah apabila meneruskan kayuhan meskipun betisnya tertusuk serpihan kayu trek sepanjang 20cm ketika bertanding acara keirin pada Siri Piala Dunia Klasik UCI di Manchester, England pada Februari 2011.

Azizul berjaya menamatkan perlumbaan itu di tempat ketiga.

2. Berani

Keberanian Azizul bukan sekadar ucap terima kasih sinis buat MB Terengganu. Tapi 25 Julai 2014 membuktikan beliau benar-benar berani di mata dunia apabila mengenakan sarung tangan bertulis ‘Save Gaza’ semasa Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, UK. Ia tanda solidariti Azizul buat rakyat Gaza selepas pembunuhan melebihi 5000 rakyat Palestin pada bulan Ramadhan.

3. Optimis

Dalam temuramah selepas kemenangan beliau, Azizul sangat optimis dan bersemangat untuk berikan yang lebih baik untuk Sukan SEA 2017 dan Olimpik Tokyo 2020. Begitulah sikap optimis yang ada pada Azizul sedari bangku sekolah.

Meskipun menerima tiga tawaran dari MRSM dan Sekolah Sains, beliau mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil kerana minat beliau dalam berbasikal. Tahu apa yang dia mahu dan hari ini membuahkan hasilnya.

4. Sentiasa berterima kasih

Tiap kali ditemuramah, tiap kali itu juga tidak putus-putus ucapan terima kasih beliau kepada Jurulatih John Beasley, YSD, KBS, MSN, penyokong, famili, ibuayah dan isteri. Itu sekarang.

Dulu-dulu, beliau juga merakam ucapan terima kasih kepada arwah bapanya yang memberinya basikal terpakai sebagai ganjaran selepas dia mendapat 7A 1B dalam PMR. Pelaburan sebuah basikal terpakai daripada seorang bapa yang hari ini berbalas pingat Gangsa untuk Malaysia!

Ada eloknya kita belajar melihat mereka yang berjaya dan menyedut bersama semangat juang mereka. Sesungguhnya Malaysia sedang melahirkan atlet Dunia yang bukan biasa-biasa. Banyak yang boleh kita belajar daripada mereka.

Terima kasih Azizul the ‪#‎PocketRocketMan‬. Sebutir gangsa untuk hadiah di bulan Kemerdekaan Malaysia!

NHMN. Biar badan kecil asal jiwa besar.