Bagi peminat Game of Thrones, Azure Window bukanlah sesuatu yang asing. Ia merupakan mercu tanda yang menjadi latar belakang sempurna bagi scene perkahwinan antara Daenerys Targaryen dan Khal Drogo’s di dalam episod pertama siri HBO yang diminati ramai ini.

Gerbang menarik ini terbentuk selepas 2 gua batu kapur runtuh dan membentuk gerbang besar. Azure Window terkenal sebagai salah satu keunikan semulajadi dunia dan menjadi mercu tanda utama yang mesti dilawati bagi mereka yang berkunjung ke Malta. Azure Window juga sering menjadi pilihan dan dipaparkan di dalam TV dan drama.

Namun Azure Window kini hanya tinggal nama dan kesan runtuhannya. Tiada lagi gerbang indah dan unik seperti sebelum ini apabila ia runtuh dirempuh badai sewaktu tiupan angin kencang yang melanda pesisir pantai Pulau Gozo pada Rabu, 8 Mach 2017.

Dikenali sebagai it-Tieqa tad-Dwejra di kalangan penduduk tempatan, kehilangan Azure Window disifatkan sebagai satu tragedi bagi Perdana Menteri Malta, Joseph Muscat seperti mana disiarkan di akaun Twitter beliau.

Kehilangan ini turut dirasai oleh para peminat siri drama popular ini serta para pengembara dan pencinta alam semulajadi.

Azure Window sewaktu air surut.
Azure Window tersergam indah sebelum runtuh di rempuh badai dan ombak kuat.
Tiada lagi gerbang Azure Window.

Hakikatnya gerbang ini runtuh bukan saja kerana rempuhan ombak dan angin kencang, tetapi Azure Window juga telah mengalami proses hakisan sejak sekian lama. Ia adalah proses normal bagi batu-batuan yang terdapat di pinggir pantai, dihakis ombak dan angin.

Yang tinggal kini hanyalah kenangan dan gambar-gambar keindahan Azure Window satu ketika dulu. Setiap yang wujud pasti akan hilang dan pergi satu hari nanti, dan ia bukan hanya terjadi kepada gerbang indah ini tetapi juga kepada kita.

Lokasi Azure Window yang pernah menjadi tarikan dan kunjungan utama di Malta.

Namun bagi mereka yang bijak mengambil peluang, lain pula pandangan dan pemikiran mereka. Business Insider melaporkan seorang pengguna eBay yang memakai user name parma98 telah melelong serpihan batu kapur tersebut di laman lelongan terkenal ini. Jumlah bidaan juga dilaporkan telah meningkat sehingga Euro 10,050.

Antara penerangan yang diberikan oleh penjual yang berada di Pisa, Italy ini adalah:

“The magical Azure Window has collapsed in the night of 08th March 2017. Mother Nature created it and Mother Nature claimed it back. However, not anything has been lost. We kept a stone from the site and thought it was the moment to share a piece of geological history with the world.”

Inilah yang dikatakan point of view berbeza akan memberi hasil yang berbeza terutama kepada mereka yang bijak melihat dan mengambil peluang.