Kita pernah mencatat kes COVID-19 di angka ‘telur ayam’ suatu masa dahulu. Untuk menewaskan musuh yang tak nampak, kita sangka itulah kemenangan buat Malaysia. Namun setahun berlalu, sejarah pun dilupakan dan kini yang tinggal hanya kes COVID-19 yang naik, tiada menampakkan tanda-tanda bahawa ia akan berhenti.

Semalam juga kita membaca laporan dari Bloomberg Opinion, dikatakan oleh media barat bahawa Malaysia kini sedang menuju ke ‘failed states’. Ungkapan ini, kalau dilihat maksudnya adalah sebuah negara yang sistem politik atau ekonominya jatuh ke tahap yang lemah sehingga pemerintah tidak lagi berkuasa.  Bagi penganalisis politik pula, ungkapan ini mempunyai maksud yang lebih besar dari itu, ia bukan berkisar dengan politik atau ekonomi sahaja. Ia lebih luas dari itu.

Tetapi sebagai rakyat marhaen yang mengaji tidaklah setinggi mana. Ungkapan itu jelas menusuk ke dalam. Seolah-olah ‘kiamat’ untuk Malaysia sudah begitu hampir dan dekat. Rasa takut mula menyelubungi. Pelbagai soalan mula singgah, manakala jawapannya tidak pernah kunjung datang. Di mana silap kita?

Dengan sistem kesihatan kita yang sudah mula menampakkan tanda-tanda bahawa ia bakal lumpuh. Sehingga ada pesakit yang terpaksa dipindahkan ke hospital yang jauh dari tempat asal mereka. Jadi adakah benar kita kini sedang menuju ke sebuah negara yang gagal mengawal wabak COVID-19 sehingga ia memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat Malaysia.

Dan semalam, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan kes COVID-19 yang naik mendadak. Setelah hampir dua bulan dikenakan perintah kawalan pergerakan, kita mencatatkan angka 9,180 kes pada 9 Julai 2021. Situasi ini jelas sukar difahami, kebanyakan rakyat Malaysia sudah tetap berada di rumah. Tetapi kes terus menerus naik dan tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa ia akan berhenti.

Di ruangan Facebook, ramai rakyat Malaysia yang meluahkan rasa kecewa dengan situasi sekarang. Sebahagian daripada mereka menyatakan bahawa jika keadaan ini terus sampai ke tahap yang tidak terkawal. Boleh jadi apa yang dikatakan Bloomberg itu benar dan kita Malaysia sudah terkena sumpahan. Sebahagian yang lain pula sudah mula berputus asa. Mereka bercerita bagaimana COVID-19 yang tidak terkawal telah memberi kesan kepada kehidupan mereka. Punca pendapatan hilang, ada yang jatuh muflis dan sebahagian pula sudah memilih untuk mengambil nyawa sendiri.

“Dah tiada perasaan nak luahkan. Anggap [ini] ujian dari Tuhan. Sabar sahajalah. Doa semoga semua yang sakit cepat sembuh dan kuatkan semangat kepada barisan hadapan untuk menolong semua pesakit yang sedang tenat di hospital. Moga dengan doa dari semua pihak tak kira bangsa dan agama akan memulihkan keadaan,” kata salah seorang warganet.

“Dah tak tahu nak cakap macam mana, aku ni duduk berkurung dengan anak-anak start pkp haritu, sebulan lebih terperuk saja. Lepas itu tengok ramai orang langgar sop raya sakan, dengan pak menteri langgar sop sama, kita yang patuh sop ini mcm orang bodoh dibuatnya. Sebulan lebih dalam rumah, anak-anak aku membesar dalam rumah je sebab pkp yang tak ada ke sudah, sakit hati semua ada,” kata warganet yang lain.

“Aku dah tak hiraukan lagi numbers dah. Aku buat apa aku boleh buat untuk survive. Bukak payung, jual goreng pisang, keledek, ayam singgit. Jual dekat kawasan setempat. InsyaAllah, alhamdulillah ada juga rezekinya. Sambil itu jaga diri sendiri dan keluarga juga. Keluar bila perlu saja. Jaga kebersihan. Makan makanan yang baik, kurangkan fast food dan junk food. Take care of our body. We need to survive, no room for error,” tulis warganet yang lain di ruangan komen.

a78717a3b59873ed2de78b7995effd25
Aznael Ishak | Malaysiakini

“Apa guna kita dikurung dalam rumah tetapi tiada kesan? Semasa kita dikurung, apa yang anda buat untuk selesaikan masalah ini? Ini bukan perkara main-main, bukan kegagalan biasa. PKP dan perintah berkurung yang dilaksanakan ini menyebabkan ramai yang hilang kerja, ramai yang terpaksa gulung tikar. Banyak nyawa yang terkorban akibat tekanan, ramai yang bercerai-berai, ramai yang tersiksa dan depression akibat lama tidak bertemua ibu bapa dan keluarga,” soal seorang warganet.

“Bukan je rakyat ada masalah kesihatan Fizikal, malah ramai orang mengalami masalah Psikologi dan masalah Mental. Dan ini FAKTA. Moga kita diberi kesihatan mental dan fizikal yang baikkkk,” kata warganet di ruang komen.

Membaca luahan perasaan oleh sebahagian pembaca Vocket di ruangan Facebook adalah satu pengalaman yang menyedihkan. Rata-rata yang memberi komen seolah-olah sudah redha dengan apa yang terjadi dan hanya berserah kepada takdir untuk menunjukkan kalau-kalau ada jalan lain. Seolah-olah sudah habis harapan mereka. Tiada apa lagi yang boleh mereka harapkan, baik dari pemerintah, orang sekeliling atau pun diri sendiri.

Entahlah, di mana silapnya. Nak kata sudah duduk di rumah, hampir sebahagian rakyat Malaysia sudah berkurung sejak akhir tahun lalu lagi – sewaktu kes naik mendadak selepas PRU Sabah. Nak kata ada yang tak dengar cakap, saman dah dikuatkuasakan dengan harga RM10,000. Boleh jadi ini dosa orang-orang yang berebut kuasa atau boleh jadi ini balasan untuk mereka yang meletakkan kepentingan di tempat yang salah. Entahlah, mungkin benar pepatah anak-anak millenial sekarang, “COVID-19 didn’t break the system, COVID-19 exposed the broken system.

Hari ini dalam sejarah, 1 Julai tahun lalu Malaysia berjaya catat kosong kes COVID-19. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Hari Ini Dalam Sejarah, 1 Julai Tahun Lalu Malaysia Berjaya Catat Kosong Kes COVID-19