Empat tahun lalu, syarikat penerbangan kebangsaan negara, Malaysia Airlines ditimpa musibah apabila sebuah penerbangan laluan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014. Kejadian tersebut terjadi ketika pesawat tersebut melintasi ruang udara Ukraine dan akhirnya meragut nyawa kesemua 283 penumpang dan 15 krew.

Disebalik kejayaan membawa balik bahan bukti dari tempat kejadian, terdapat sekumpulan unsung hero yang sanggup bergadai nyawa demi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan oleh negara.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sebuah post yang dikongsikan di laman Majlis Keselamatan Negara Jabatan Perdana Menteri di Facebook menceritakan satu persatu proses untuk mendapatkan bahan bukti tersebut. Berikut kami kongsikan detik-detik mendebarkan bagi kumpulan tersebut.

MH17

Beberapa hari selepas insiden tersebut berlaku, satu pasukan khas perunding yang dikenali sebagai ‘The Dozen Person’ dihantar ke Ukraine untuk berunding dengan pasukan penentang yang menguasai lokasi kejadian.

Antara kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh pasukan ini ialah memasuki zon perang dengan ‘tangan kosong’, tanpa sebarang senjata api bagi melindungi keselamatan diri.

capture-20190713-134653

Kolonel Mohd Sakri Hussin yang mengetuai The Dozen Person menyebut situasi tersebut merupakan pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

Menurut beliau, operasi tersebut merupakan yang paling mencabar kerana wujud banyak pihak berkepentingan yang berkehendakkan bahan bukti berkenaan. Tambah beliau lagi, dugaan yang perlu dihadap bukan calang-calang, lebih-lebih ketika berada di zon perang.

Pengalaman ini lebih ‘hebat’ dari penugasan beliau pada era insurgensi, begitu juga operasi pengaman yang pernah disertai bersama Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), misi kemanusiaan atau bencana lain.

ukrainemh17

Terdapat 10 checkpoint terpaksa ditempuhi sepanjang perjalanan ke Donetsk (Timur Ukraine), dengan setiap checkpoint ada pelbagai karenahnya, selain pergerakan mereka diekori. Lebih mencabar kerana sepanjang operasi ini, mereka sendiri tidak tahu siapa kawan, siapa musuh, yang memerlukan kita berwaspada sepanjang masa.

ukrainearmy

Sepanjang proses yang rumit itu, beliau sentiasa mengingatkan 11 anggotanya supaya terus berpuasa dan tidak berhenti berdoa supaya dilindungi Allah. Proses yang memerlukan dedikasi dan getir itu mengagumkan seluruh dunia lebih-lebih lagi dengan kecekalan dan keberanian The Dozen Person di sepanjang perjalanan ke wilayah bergolak yang dikuasai Kumpulan Pemisah Donetsk (DSG).

Lebih mencabar lagi, dalam perjalanan keluar dari ground zero, beliau dan 11 orang anggotanya turut berdepan dengan pelbagai insiden menggerunkan, termasuk cubaan melarikan bahan bukti itu.

Berkat kesabaran, dedikasi dan doa dari seluruh anggota yang terlibat, proses rundingan dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, tiga hari selepas pesawat itu ditembak jatuh.

ukrainemh17-1

Malah, rundingan diselesaikan tanpa sebarang syarat ditetapkan oleh pemimpin pemisah, Alexander Borodai, yang mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri Republik Rakyat Donetsk (DPR) mengagumkan masyarakat antarabangsa.

mh17ukraine

Antara pasukan sokongan yang menyertai misi tersebut ialah pakar komunikasi, doktor perubatan, pakar patologi dan pengecaman mangsa bencana (DVI), jurubahasa tentera, pegawai Pasukan Khas Penyelamat dan Bencana Malaysia (SMART) serta anggota komando sebagai langkah keselamatan. Berikut merupakan senarai penuh pasukan The Dozen Person:

1. Kolonel Mohd Sakri Hussin (Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) – Ketua Perunding)
2. Brigedier Jeneral Datuk Dr Mohd Ilham Haron (Angkatan Tentera Malaysia – Perubatan)
3. Dr Mohd Shah Mahmood (Hospital Kuala Lumpur – Patologi dan DVI)
4. Mejar Nazri Musman (Angkatan Tentera Malaysia)
5. Mejar Dr Mohd Hafizi Abdullah (Angkatan Tentera Malaysia – Perubatan)
6. Mejar Muhammad Mustafa Omar (Pasukan Khas TUDM (PASKAU))
7. Kapten Dr Mohd Zainizam Zainal (Angkatan Tentera Malaysia -Jurubahasa)
8. Inspektor Abd Rahim Abd Aziz (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia(SMART))
9. Sarjan Shahrizal Abu Bakar (Pasukan Khas TUDM (PASKAU))
10. Koperal Rosli Mustafa (Pasukan Khas TUDM (PASKAU))
11. Laskar Udara Kanan Mohd Afendy Ahmad Zaini (Pasukan Khas TUDM (PASKAU))
12. Rosli Shaari (SAPURA Technologies – Pakar Komunikasi)