Dahulunya, dalam setiap perkara kita perlu berpandukan buku manual dan ianya tidak interaktif. Untuk mempelajari sesuatu skill kini semakin mudah dengan adanya YouTube.

Minggu lalu, Google Malaysia menerusi pentas panel Generation YouTube (#GenYTMY) telah menjemput 5 orang YouTuber untuk berkongsikan pengalaman mereka sepanjang menjadi pencipta kandungan untuk YouTube. Mereka adalah chef terkenal Ili Sulaiman aka ‘Dish by Ili’, pengajar memandu Jerry Wong, pencipta kraftangan Ng Wai Yee aka SkyMagenta Craft, penasihat kewangan Spark Liang dan penasihat hartanah Sean Tan dari Iherng.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Walaupun kandungan rancangan setiap individu ini berbeza, tetapi mereka berkongsi satu matlamat yang sama; membantu para penonton menerusi kandungan yang mereka hasilkan di YouTube dengan ilmu yang mereka ada.

1. Ili Sulaiman (Dish by Ili)

Menurut Chef selebriti ceria, Ili Sulaiman percaya bahawa populariti YouTube telah membolehkannya untuk mempamerkan kepada para penonton antarabangsa masakan-masakan terbaik yang boleh didapati di Malaysia.

“YouTube telah memberikan saya peluang untuk berhubung bersama para peminat saya yang mungkin pernah melihat saya di kaca TV, terutamanya para penonton dari Eropah, Amerika dan Asia,” kata Ili. “Saya gemar berkongsi keunikan makanan Malaysia yang memang menarik buat mereka di luar negara.”

2. Jerry Wong

Bagi pengajar memandu Jerry Wong yang berasal dari Sabah, saluran YouTube beliau tidak mungkin wujud kalau bukan kerana galakan para pelajarnya. “Pada tahun 2016 ketika saya sedang mengajar salah seorang dari pelajar saya, dia telah mencadangkan agar saya menghasilkan sebuah video yang menunjukkan cara-cara untuk memeriksa sebuah kenderaan ketika dalam ujian dan kongsikannya di YouTube,” kata Jerry.

3. Sean Tan (Iherng)

Perjalanan YouTube bagi penasihat dan pakar hartanah Sean Tan bermula dengan sebuah detik yang datang secara tiba-tiba. Ketika sedang berunding pelanggan hartanahnya yang ke-15, beliau pelajari bahawa masih terdapat pemilik rumah yang tidak mampu membayar sewa bulanan. Sean lantas memutuskan untuk menggunakan ilmu pengetahuannya bagi kebaikan semua.

“Jurang maklumat wujud bukan sahaja berkenaan modal kewangan, tetapi juga pengetahuan hartanah yang sekian lamanya eksklusif kepada golongan tertentu,” kata Sean. “Saya mencipta saluran saya untuk merapatkan jurang maklumat tersebut dengan memastikan agar maklumat hartanah boleh diakses secara percuma oleh sesiapa sahaja, dan untuk mengubah cara orang ramai melabur dalam hartanah pada masa akan datang.”

4. Ng Wai Yee (SkyMagenta Craft)

Minat terhadap hasil kraftangan yang sangat mendalam merupakan pendorong untuk Ng Wai Yee – yang lebih dikenali kepada para peminatnya sebagai SkyMagenta Craft – untuk berkongsi hasil ciptaannya di saluran beliau. Beliau mempercayai bahawa platform tersebut merupakan cara yang bagus untuk berkongsi minatnya bersama para peminat kraftangan yang lain.

“YouTube merupakan sebuah platform perkongsian video yang hebat untuk saya berkongsi minat bersama para penonton yang memiliki minat yang sama,” kata Wai Yee. “Platform tersebut juga merupakan cara untuk saya berhubung dengan para peminat lain dari serata dunia kerana kebanyakkan penonton saya berada dari luar Malaysia.”

5. Spark Liang

Saluran bagi pakar kewangan peribadi Spark Liang adalah seumpama perpustakaan pengetahuan kewangan bagi para penontonnya. Bagi perancang kewangan ini, beliau memutuskan untuk memulakan sebuah saluran YouTube disebabkan oleh perlunya untuk pengetahuan tersebut diakses secara mudah oleh para penonton yang memerlukannya pada bila-bila masa.

“Pada mulanya, saya membuat video YouTube kerana saya kerap mengulangi penerangan mengenai konsep-konsep kewangan yang sama kepada rakan-rakan saya,” kata Spark.

“Saya fikirkan yang ia lebih mudah untuk menerangkannya dalam bentuk video supaya saya tidak perlu mengulangi perkara yang sama. Ia juga membantu orang ramai bagi pelbagai perkara berkaitan kewangan, termasuklah cara-cara membahagikan gaji, peratusan yang perlu ditetapkan bagi setiap kategori, dan cara-cara untuk membayar semula pinjaman PTPTN.”

Dengan latar belakang yang berlainan, para pencipta kemahiran hidup seperti mereka seringkali lebih mudah untuk didekati berbanding para influencer konvensional. Lebih daripada 77% para pelanggan pencipta YouTube mempercayai bahawa para YouTuber adalah lebih tulen dan boleh dipercayai.

“Kami dapati bahawa lebih ramai dari generasi milenium yang mempercayai para pencipta kandungan berbanding selebriti tradisional kerana para YouTuber mendengar dan berinteraksi bersama para penonton mereka, lantas menghasilkan sebuah persahabatan yang tulen dan bukan hanya sebagai peminat,” kata Zeffri Yusof, Ketua Komunikasi dan Hubungan Awam di Google Malaysia.

Generation YouTube merupakan inisiatif YouTube Malaysia untuk mengetengahkan para pencipta kandungan tempatan yang sedang menempa nama, terpilih berdasarkan impak yang diwujudkan mereka. Panel-panel sebelumnya telah mengetengahkan para pencipta fesyen dan kecantikan, para pencipta Malaysia Timur, para YouTuber komedi, dan juga para vlogger influencer generasi milenium.

Anda juga boleh menjadi pencipta kandungan di YouTube dan jadi seperti Ili, Jerry, Ng Wai Yee, Spark dan Sean. Bagaimana hendak mula? Daftar sahaja akaun di YouTube dan muat naik kandungan anda pula. Jika anda mahu dikenali dan mempunyai pengikut dari serata dunia, mula hasilkan kandungan anda sekarang.