Anda boleh jual minyak masak terpakai. Namun pastikan ia beri kebaikan kepada alam dan manusia. Jika anda sudah baca artikel Bahaya Minyak Masak Terpakai sebelum ini, anda pasti faham dengan maksud saya.

Jadi, bagaimana nak buat duit dengan minyak masak? Pasti itu yang bermain di fikiran anda sekarang. Baiklah, cara yang akan diberitahu ini bukanlah perkara baru. Ia hanya satu refresh buat masyarakat dan anda.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pada 2012, Jabatan Perkhidmatan Pembentungan membeli minyak masak terpakai daripada orang ramai dengan harga RM1 per satu liter minyak untuk dikitar semula menjadi produk lain. Begitu juga dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Melaka yang turut melakukan hal yang sama.

Pada 2015, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) menganjurkan program kitar semula minyak masak terpakai kepada boidiesel. Setiap satu liter minyak yang dihantar akan mendapat RM1. MPKJ ambil inisiatif ini selepas mendapati kebanyakan minyak masak dibuang ke dalam longkang sehingga berlakunya pencemaran.

Terbaru, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama CIMB Foundation menganjurkan Kempen Pengumpulan Minyak Masak Terpakai dengan harga RM1 untuk satu kilogram minyak masak terpakai. Minyak masak yang dikumpulkan ini akan diproses menjadi biodiesel bagi kegunaan kenderaan berat dan mesin.

Apa Itu Biodiesel?

Biodiesel ialah bahan api alternatif berasaskan minyak sayuran atau lemak haiwan. Minyak masak terpakai jadi bahan utama untuk menghasilkannya. Kemudian 20% biodiesel dicampurkan dengan 80% diesel tulen tanpa perlu pengubahsuaian ke atas enjin diesel.

Justeru itu, tindakan ini dapat mengurangkan kesan pemanasan global dan pelepasan gas ke atas alam sekitar apabila biodiesel digunakan sebagai sumber tenaga kenderaan berat dan mesin. Malah, penggunaannya turut membantu mengurangkan pencemaran alam akibat minyak masak terpakai yang dibuang sesuka hati sebelum ini ke dalam longkang.

Bagaimana Biodiesel Dihasilkan

Minyak masak terpakai perlu melalui proses tranesterifikasi bagi menukarkannya menjadi biodiesel. Dalam proses tersebut, minyak masak terpakai akan dicampur bahan kimia lain, seperti methanol, dan pemangkin (catalyst). Ia akan diproses selama enam jam bagi menghasilkan 100 liter biodiesel.

Di Kompleks Biorefinery UPM, proses tranesterifikasi ini dijalankan seminggu sekali berikutan sukar dapat bekalan minyak masak terpakai kerana kurang kesedaran di kalangan pengguna berkaitan kitar semula dan peluang buat duit dengan minyak masak terpakai ini. Ia menyebabkan banyak minyak masak dibuang begitu sahaja.

Bagaimana Cara Pengumpulannya

Jika anda berminat kumpul minyak masak terpakai untuk ditukar dengan duit, anda perlu lakukan langkah dibawah ini.

1. Pastikan minyak masak itu tidak melebihi 3 kali penggunaannya.
2. Sejukkan minyak masak terpakai terlebih dahulu.
3. Tapis minyak masak.
4. Setelah itu masukkan ia ke dalam botol atau bekas yang sesuai.
5. Hantar ke pusat pengumpulan minyak masak terpakai yang menawarkan duit sebagai tukarannya.

Done! Anda dapat RM1 bagi setiap 1 kg atau 1 liter minyak masak terpakai. Konsep ‘waste to wealth’ ini boleh membantu orang ramai mendapat duit sampingan jika tahu mengambil peluang ini.

Bagi penduduk Kuala Lumpur dan Selangor, anda boleh hantar minyak masak terpakai ke tiga pusat peungumpulan UPM iaitu Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB) dan Loji Pandu Biokompos di Kompleks Biorefinery.