Dua aset anak syarikat minyak milik Malaysia Petronas di Luxembourg dilaporkan telah dirampas oleh waris kesultanan Sulu.

Rampasan ini dilaporkan sebahagian daripada perintah tuntutan yang dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa di mahkamah arbitrasi di Paris, Perancis pada awal tahun ini yang mengarahkan Malaysia membayar sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris kesultanan sulu.

Menurut laporan Financial Times, dua aset yang dirampas tersebut adalah Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion.

Waris keturunan sultan sulu, Sultan Jamalul Kiram II menuntut jumlah yang besar dari Malaysia dalam proses timbang tara berikutan kegagalan Malaysia memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu sejak 2013.

Bayaran ini dihentikan oleh Malaysia selepas pencerobohan ke Lahad Datu, Sabah oleh kumpulan bersenjata yang mendakwa mempunyai kaitan dengan kesultanan Sulu dari selatan Filipina pada tahun tersebut.

Angka daripada RM5,300 kepada RM62.59 bilion dicapai selepas waris Sultan Sulu didakwa telah meminta tafsiran semula perjanjian 1878 untuk meminda status Sabah sebagai wilayah pajakan dan bukannya wilayah yang diserahkan.

Selain itu, waris Sultan Sulu meminta pelarasan ini untuk mencerminkan nilai hasil minyak dan gas Sabah sejak 1970an.

Bagaimanapun, Putrajaya yang enggan melayan tuntutan waris kesultanan Sulu telah mengisytiharkan timbang tara Sepanyol melanggar kekebalan kedaulatan Malaysia dan mempersoalkan kelayakan penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa untuk mendengar prosiding timbang tara itu.

Selain itu, Malaysia turut berpandangan bahawa pertikaian antara Malaysia dengan pihak yang menuntut bukanlah kontrak komersial dan dengan itu tidak tertakluk kepada timbang tara.

Namun, peguam waris Sulu berhujah, Malaysia merupakan penandatangan Konvensyen Mengenai Pengiktirafan dan penguatkuasaan Anugerah Timbang Tara Asing (Konvensyen New York).

Sehubungan itu, anak guam mereka mempunyai hak untuk merampas aset Malaysia di 167 negara penandatangan jika jumlah yang dituntut tidak dibayar.

Kenyataan Petronas

Petronas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini merasakan bahawa tindakan yang diambil terhadap dua anak syarikatnya sebagai tidak berasas dan bersedia untuk mempertahankan kedudukannya dari segi undang-undang dalam hal berkenaan.

“Kami mengesahkan bahawa kedua-dua anak syarikat dalam laporan tersebut telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai (semalam).

“Petronas ingin menjelaskan bahawa kedua-dua anak syarikat ini, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan kesemua aset di Republik Azerbaijan.

“Hasil daripada pelupusan ini telahpun dipulangkan (repatriated) dengan sewajarnya.

“Petronas menganggap tindakan yang diambil terhadap kami sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan kami dari segi undang-undang dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan Malaysia diarah bayar wang pampasan sebanyak RM62 bilion kepada waris sultan sulu. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Kerajaan Malaysia Diarah Bayar Wang Pampasan Sebanyak RM62 Bilion Kepada Waris Sultan Sulu