Belakang parang jika diasah pasti akan tajam jua, begitu juga budak kelas belakang. Budak kelas belakang merujuk kepada mereka yang dipandang sebelah mata dan seperti orang yang tidak mempunyai masa depan. Pendek kata orang “gagal”.

“Boleh ker engkau berjaya?”
“Kau ni budak bodoh.”
“Kau ni kelas bawah jer.”

Dan bermacam-macam lagi kata-kata diberikan. Kadang-kala, pandangan sinis mereka membuatkan jiwa cukup pedih untuk menerima. Saya faham kerana saya juga budak kelas belakang.

gagal-menjadikan-kau-berjaya-2

Bagi saya samada anda budak kelas depan atau budak kelas belakang ia tidak menjanjikan anda kejayaan luar biasa, melainkan anda ada sikap yang bagus untuk sanggup langkah panjang melakukan sesuatu yang luar dari biasa.

Langkah panjang ini bermaksud anda mampu melakukan sesuatu yang luar biasa. Tetapi ia tidaklah mudah, banyak pengorbanan dan kepahitan yang perlu anda telan untuk mencapai kejayaan yang luar biasa. Sanggup atau tidak itu yang menjadi persoalan.

Zaman sekolah saya bermula di kelas belakang, kelas paling hujung sekali, kelas buruk, dan ada kesan lubang-lubang di dinding. Kerja sekolah selalu tak siap, sebab saya tak faham. Anda faham sajalah apabila pergi sekolah tanpa kerja siap mahunya kena libas dengan rotan.

Budak zaman sekarang mungkin tak merasa. Tapi budak zaman 80-an dan 90-an memang selalu kena. Jadi saya fikir daripada pergi sekolah kena rotan lebih baiklah “fly”. Saya buat hal sendiri.

Lama-kelamaan saya sedar kesilapan ini. Dengan buat hal yang tak bermanfaat, tidak akan membuat diri saya bahagia, apatah lagi membahagiakan mak ayah. Mereka syurga saya, pastilah saya nak buat mereka bangga. Dari situlah saya mula ubah sikap.

Sedikit demi sedikit saya ubah diri menjadi lebih baik. Daripada markah selalu merah kepada warna biru dan akhirnya saya ditempatkan di kelas depan.

Dalam perniagaan pun sama, saya banyak belajar dari kegagalan. Saya mula belajar berniaga menjual buah potong di depan rumah allahyarhamah nenek. Kemudian pernah juga menjual insuran takaful, saya berdepan dengan banyak rejection, malah saya pernah buka kedai makan sendiri namun terpaksa tutup tidak lama selepas itu.

Jujur katakan ujian yang saya terima bukan mudah, lebih-lebih lagi perjalanan sebagai seorang usahawan. Rasa nak menangis pun ada, kadang sampai saya sendiri terdetik untuk ragui janji tuhan. Mesti anda pun pernah lalui.

gagal-menjadikan-kau-berjaya-1

Masa itu kita kena cepat-cepat istighfar dan memohon keampunan. Kerana mungkin kerana dosa rezeki kita tersekat-sekat. Kena muhasabah selalu. Kerana Allah mengikut sangkaan hambaNya.

Kemudian, melihat pula kawan-kawan rapat saya sudah berkahwin, sudah menjadi pegawai tinggi, sudah memiliki rumah, kereta, dan sudah melancong jauh. Saat itu aku mula berkata dalam diri: “Silapkah langkah yang aku ambil?”, “Mengapa aku tidak memiliki seperti mereka?”

Cemburu itu memang ada. Tapi kita kena pandai jadikan cemburu kita sebagai benchmark untuk langkah panjang. Tak usahlah kita lihat hidup ini sebagai satu perlumbaan untuk kita membuat perbandingan. Nanti diri kita yang sakit. Masing-masing ada rezeki masing-masing.

Bagi saya, tidak kiralah anda pangkat besar atau pangkat kecil, yang membuat anfa berjaya dan dihormati orang nanti adalah disebabkan sikap dan jasa anda.

Masa diuji itulah Allah nak lihat reaksi kita pada ujian adakah kita sabar atau kita melatah? Apabila kita sabar hati mula rasa lapang, ibadah mula terasa manis, pedih di hati membasahi pipi. Saat itu pengharapan terasa tinggi, infaq terasa manis dan semangat engkau kian pulih kembali.

Dekat sini saya belajar bagaimana sikap kita berdepan dengan kegagalan boleh mengubah hidup kita. Jika kita melihat ujian itu sebagai sesuatu yang positif, indahlah natijahnya. Jika kita melihat ujian itu sebagai sesuatu yang negatif, buruklah terasanya.

Sikap yang positif membantu kita menukar kegagalan menjadi kejayaan. Sama ada anda kelas depan atau belakang yang paling penting adalah sikap anda untuk capai kejayaan.

Walaupun 10 kali berusaha namun gagal, anda pastikan diri mampu bangkit berusaha lagi kali yang ke-11. Kerana kejayaan hadir sejengkal dari kegagalan.

“Sikap yang bagus akan kuatkan kau untuk hadapi ujian.”
“Sikap yang bagus akan membantu kau bina kejayaan.”

gagal-menjadikan-kau-berjaya-3

Kini saya mampu bangkit dari kegagalan-kegagalan sebelum ini dan saya mulakan langkah untuk mencapai matlamat. Kegagalan itu pasti ada. Tapi saya sedar, walaupun saya jatuh, saya tidak pernah undur. Alhamdulillah sekarang saya dalam perniagaan membuat rumah unik mampu milik dan saya berjaya menerbitkan 2 buah buku.

Apa yang saya capai bukanlah untuk dibandingkan dengan orang lain. Tetapi adalah untuk memberi inspirasi pada diri untuk “jalan terus”.

Bagi saya kejayaan itu adalah: “Walaupun engkau jatuh, tapi engkau tidak pernah undur sehingga impian engkau tercapai”. Inilah resepi untuk langkah panjang.