Tersontot emas atau ditipu gara-gara program pelaburan emas telah memberi tamparan hebat kepada ramai orang pada tahun lepas. Ia adalah satu pengalaman getir apabila melibatkan sejumlah nilai wang yang besar – ratusan ribu hingga jutaan ringgit Malaysia. Ramai kecundang dengan impian jadi kaya. Lebih tragik, mereka disaluti hutang dan dihantui tekanan hidup.

Dalam ramai-ramai tersontot emas itu, Muhammad Mamzah atau nama penanya di internet, Brado Kapak tampil berkongsi pengalaman bagaimana dia bangkit menyelesaikan hutang RM1.8 juta dalam masa setahun di sesi santai Borak Bisnes yang baru berlangsung kelmarin.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Perkongsian ini telah ditulis dan dihantar kepada Vocket oleh salah seorang tim Borak Bisnes dan saya hanya melakukan proofreading dan copyediting.

emas 1

Sebelum memulakan bicara perkongsian tersebut, ini adalah antara info menarik tentang Brado Kapak:

  • Seorang blogger sepenuh masa. Aktif menulis dalam laman blog beliau sendiri www.bradokapak.com dan juga blog dramaraja.blogspot.com.
  • Banyak menulis isu-isu berat, provokatif dan kritikal dalam bidang ekonomi, politik dan agama sama ada dalam negara dan antarabangsa.
  • Artikel beliau diterbitkan dalam akhbar-akhbar online, dan dikongsikan oleh ribuan orang.
  • Misteri kehilangan MH370 dan rahsia di sebalik tragedi MH17 antara topik yang paling banyak dikupas oleh beliau dan mendapat perhatian ramai.
  • Mendapat perhatian di media sosial sehingga diikuti lebih 100 ribu follower di Facebook.
  • Prinsip dalam penulisan – menulislah dengan sudut pandang yang berbeza daripada orang lain.

Pengalaman perit ketika ‘era kegelapan’ dunia emas sekitar penghujung 2014 cukup berat untuk diingat kembali oleh beliau. Menurutnya, ribuan orang Melayu telah tertipu dengan program pelaburan emas membabitkan nilai kerugian mencecah RM7 billion, atau mengikut nilaian emas lebih kurang 20 tan emas. Beliau menganggap tragedi tersebut sebagai ‘kejatuhan teragung’ dalam bisnes emas di negara ini.

Detik Kejatuhan Tersontot Emas

Peristiwa hitam itu bermula apabila satu program pelaburan emas kelolaan sebuah syarikat emas yang terkenal ketika itu telah dihentikan secara tiba-tiba.

Sebelum itu, keuntungan yang diterima olehnya pernah mencecah RM1.2 juta dalam masa seminggu hasil daripada urusniaga emas pada siang dan malam. Urusniaga beliau melibatkan ratusan kenalan yang menyertai program emas di bawah kendaliannya.

Insiden itu menyebabkan dirinya yang merupakan antara penggiat utama (key player) menanggung beban hutang berjumlah lebih kurang RM1.8 juta dengan sekelip mata. Saat itu, fikirannya sudah mula terbayangkan wajah-wajah ahli keluarga, rakan-rakan niaga, dan ratusan pelanggan yang akan datang menuntut modal daripadanya.

Walau apapun berlaku, dia tetap berpegang dengan prinsip: Hutang tetap hutang. Dan setiap hutang mesti dituntut. Beliau nekad memilih jalan untuk berniaga bagi menyelesaikan segala hutangnya dan membersihkan namanya yang terpalit teruk.

Berniaga Jalan Kebangkitan

Atas cadangan spontan seorang stafnya, mereka sepakat untuk memulakan bisnes menjual cecair perisa vape. Ketika itu, trend ‘vape’ masih baharu dan sedang meningkat naik. ‘Vape’ belum lagi dilanda kontroversi hingga diharamkan di beberapa buah negeri.

Brado Kapak memilih untuk mencabar diri untuk mencuba bisnes yang bersifat trend ini. Kronologi bisnes bagi misi melangsaikan hutang RM1.8 juta pun bermula:

  • Beliau mengumpulkan rakan-rakan terdekat yang berpotensi. Perbincangan bermula di kedai makan sehingga jam 4 pagi.
  • Agak melucukan pada awalnya kerana semua ‘kosong’ tentang pengetahuan produk yang ingin dihasilkan. Hanya seorang sahaja di kalangan mereka yang menggunakan vape.
  • Seorang staf beliau dipertanggungjawabkan untuk belajar dan mengkaji proses membuat cecair perisa melalui laman Youtube.
  • Bermodalkan RM320 di tangan, Brado Kapak kemudiannya membeli bahan mentah yang ditempah dari Langkawi.
  • Selepas beberapa kali mencuba, projek ‘lean startup’ mereka berjaya menghasilkan produk dan sedia untuk dijual.
  • Cubaan pertama sebanyak 30 botol dengan dua perisa – Mocha dan Tiramisu.
  • Setelah buntu mencari saluran untuk menjual, produk tersebut diletakkan di sebuah kedai menjual barangan vape di Uptown Danau secara consignment.
  • Dijual dengan harga RM25 sebotol, semua botol perisa yang diletakkan di kedai tersebut habis terjual kurang daripada seminggu.
  • Hasil keuntungan pertama sebanyak RM600 kemudian digunakan sebagai modal pusingan untuk membeli lagi bahan mentah bagi menambah lagi kuantiti stok.
  • Beliau memberanikan diri menjadi pembekal di kedai-kedai pengedar vape di GM Klang. Menyediakan 26 sampel produk berlainan perisa kepada pemborong di sana bagi menyakinkan mereka untuk menjual produk tersebut.
  • Beliau fokus untuk mengembangkan perniagaannya dengan lebih agresif. Cecair perisa ‘Sparkling Water’ antara produk beliau yang paling mendapat sambutan menggalakkan.
  • Pada November 2015, hasil keuntungan perniagaan 100% telah berjaya melangsaikan segala hutang Brado Kapak. Tiada lagi tunggakan hutang pelanggan-pelanggan yang terlibat dalam program emas kelolaan beliau.

Menariknya, bukan sekadar modal yang dikembalikan. Dia juga memberi pulangan keuntungan seperti mana yang pernah dijanjikan kepada sebahagian peserta. Dengan baki RM100 ribu keuntungan bisnes, sebahagian akan digunakan untuk pergi melancong mengelilingi Asia. Sebahagian lagi untuk pembangunan bisnes baharu – bisnes tudung, bisnes travel dan bisnes buku.

Kunci Sebenar Bebas Hutang

Walaupun tidak mengecap nikmat keuntungan bisnes sepanjang proses ‘pembersihan’ hutang, Brado Kapak belajar satu rahsia penting untuk bebas hutang iaitu ZAKAT dan SEDEKAH.

Apa yang beliau fahami tentang zakat dan sedekah:

  • Beliau mengeluarkan zakat setiap bulan, bukannya setahun sekali.
  • Jika nilai pengeluaran 2.5 peratus itu besar, jumlah tersebut akan dipecahkan dan diagihkan kepada ramai penerima zakat.
  • Berikan kepada asnaf yang paling utama, iaitu golongan fakir.
    • Berpegang kepada hadis – “kefakiran dekat kepada kekufuran”. Membantu golongan fakir dapat menjauhkan umat Islam daripada kekufuran.
  • Setiap kali mendapat pendapatan daripada bisnes, bersyukur. Berpegang kepada ayat al-Quran: “Jika kamu bersyukur, maka akan ditambah kenikmatan kepada kamu”.
  • Satu bahagian pendapatan wajib diperuntukkan untuk sedekah.
  • Sedekah paling utama adalah kepada ahli keluarga sendiri.
  • Jika ingin bersedekah, cari orang yang ingin membangunkan agama, bukan yang menjual agama.

Ini pula 6 nasihat penting daripada Brado Kapak berdasarkan pengalaman ditipu oleh program emas:

1. Guna saluran perundangan yang betul

Jangan semberono mengikut hati dan emosi. Langkah pertama beliau adalah memastikan dirinya ada alasan kukuh untuk mengambil tindakan undang-undang.

Beliau berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan peguam terbaik bagi membantu membuat tuntutan sivil terhadap syarikat pengelola tersebut. Usahanya berhasil walaupun hanya mendapat sebahagian daripada modal daripada syarikat tersebut.

2. Berani mempertahankan hak

Tidak semua orang berani untuk mempertahankan hak. Apatah lagi untuk pergi menuntut hak yang dicuri dan ditipu.

Beliau hairan melihat ramai rakan yang senasib dengannya memilih untuk berdiam diri, sebaliknya membiarkan sahaja tanpa sebarang pembelaan. Lebih teruk, ada yang terus menghilangkan diri sampai sekarang.

3. Dalam menyelesaikan hutang, utamakan keluarga dan rakan terdekat

Tetapkan keutamaan siapa yang paling patut menerima pemulangan modal. Dahulukan ahli keluarga, kawan rapat dan para pelanggan yang berpengaruh dan mempunyai nama besar termasuk di kalangan Datuk-datuk.

Kenapa? Sebab mereka inilah yang berpotensi besar ‘membunuh’ nama, karier dan kredibiliti jika sengaja mengabaikan mereka.

4. Jangan ambil benda yang kita tidak tuntut

Fokus kepada apa yang kita perlu dapat. Jangan mudah menerima sesuatu yang bukan hak kita. Boleh jadi, perkara kecil akan menjadi besar dan serius di kemudian hari.

5. Segera selesaikan masalah

Jangan buang masa lama-lama. Masalah bukan untuk dibiarkan.

6. Fahami ‘cycle’ dan ‘time-frame’

Dalam setiap trend program pelaburan berunsurkan money game, ia mempunyai ‘cycle’ dan ‘time-frame’ yang hampir sama.

Bermula dengan:

BINA KEPERCAYAAN >> MULAKAN SKIM/PROGRAM >> KEMUNCAK >> PELERAIAN.

Selepas fasa Peleraian, hampir semua orang akan lupakan apa yang telah berlaku.

Ikuti perkongsian santai tentang bisnes dalam program Borak Bisnes setiap minggu yang dianjurkan oleh Virus Marketing Sdn Bhd. WhatsApp ‘Borak Bisnes’ ditalian +60132466253 untuk tempahan seat peserta.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram