Dua buah novel karya gadis ini telah diadaptasi menjadi drama siri di Astro iaitu Dia Semanis Honey dan Suri Hati Mr. Pilot. Ia satu pencapaian yang membanggakan apabila kedua-dua drama adaptasi tersebut mendapat sambutan hangat di kalangan peminat dan penonton drama Melayu.

Gadis ini bernama Nurfadhilah Azahari atau nama pena Dila Dyna merupakan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makmal Perubatan telah menjadi penulis novel sejak 2012 semasa bergelar mahasiswa.

Ini adalah sebahagian daripada kisah hidupnya menjadi seorang penulis novel popular di usia muda. Moga temubual ini menjadi inspirasi kepada anda yang mahu menulis novel sendiri kelak.

1. Terangkan tentang siapa Dila Dyna.

Dila Dyna ialah seorang gadis biasa berusia 25 tahun yang bersembunyi disebalik nama penanya walaupun orang sekeliling dah ramai yang tahu siapa pemilik nama pena tu.

Tak ada apa yang istimewa, cuma seorang gadis yang suka mencoret kisah-kisah dalam komputer riba dan blog untuk tatapan pembaca.

2. Bagaimanakah Dila menjadi penulis novel?

Semuanya bermula dari minat membaca novel. Dila ingat lagi, novel pertama yang dibeli semasa di tingkatan tiga, iaitu ‘Cinta Pertama’ tulisan Kak Norhayati Ibrahim.

Hampir 5 tahun saya jadi pembaca novel tegar, dalam kepala mula terfikir: “Kalau orang lain boleh tulis novel, kenapa tak aku?”

Persoalan itu berlegar-legar dalam minda, dan kebetulan masa itu tahun 2011, di mana ada sebuah platform e-novel sangat-sangat terkenal dikalangan penulis dan peminat novel.

First step bermula, apabila Dila mula menulis bab 1 novel ‘Bisikan Kata Hati’ yang sudahpun terbit pada tahun 2012 dulu. Pada masa itu, Dila hantar ke laman web Penulisan2u, yang mana laman web itu disediakan untuk mencungkil dan mencari bakat penulis baru.

Alhamdulillah, masa tu e-novel pertama Dila ‘Bisikan Kata Hati’ mendapat sambutan, dan Dila dilamar untuk menyiapkan manuskrip penuh untuk diterbitkan menjadi senaskah novel.

Dari situ bermulanya perjalanan seorang Dila Dyna dalam bidang penulisan, apabila buku pertama Dila diterbitkan dibawah Kaki Novel Enterprise pada tahun 2012.

3. Dila seorang pelajar, jadi bagaimanakah Dila mengagihkan masa untuk menulis sehingga novel siap?

Yup. Dila mula menulis semasa tahun pertama pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Makmal Perubatan, di UiTM pada tahun 2011.

Mengagihkan masa tu sebenarnya tak tahu macam mana nak cakap, tapi style Dila menulis ikut mood. Kadang-kadang idea kering, mood kelaut memang Dila langsung tak menulis. Tapi Dila akan pastikan novel tu siap sebelum deadline yang diberi tiba.

4. Berapa lamakah Dila mengambil masa menyiapkan novel-novel ini?

Berapa lama tu tak tentu. Macam novel pertama Dila ‘Bisikan Kata Hati’ ambil masa hampir 8 bulan untuk siapkan. Itu baru siap, belum que nak tunggu terbit lagi.

Novel kedua ‘Sayangku Sampai Ke Bintang’ terbit pada tahun 2014, satu-satunya novel yang memakan masa paling lama untuk Dila siapkan iaitu hampir 2 tahun untuk disiapkan, sebab cerita tu banyak rombakan yang dibuat dan cerita ‘heavy’ dari segi emosi berbanding buku yang lain.

Novel ketiga ‘Dia Semanis Honey’ tahun 2015, yang ini paling singkat Dila rasa iaitu dalam masa 7 bulan saja. Dan sebenarnya novel keempat Dila ‘Suri Hati Mr.Pilot’ ditulis terlebih dahulu daripada ‘Dia semanis Honey’.

Tapi Dila decide untuk siapkan ‘Dia Semanis Honey’ terlebih dulu sebab masa tu kekeringan idea untuk menyambung ‘Suri Hati Mr.Pilot.

Kemudian baru tiba giliran novel ‘Suri Hati Mr.Pilot’ pula yang terbit iaitu pada bulan April 2016 yang lepas selepas hampir setahun setengah berperang untuk disiapkan.

Berapa jam sehari Dila spend masa untuk menulis tu tak menentu sebenarnya. Apabila idea tengah mencurah, kadang-kadang 3-4 jam pun Dila boleh mengadap laptop untuk menaip sahaja.

5. Apakah Dila lakukan jika melalui fasa writer’s block?

Fasa writer’s block sebenarnya benda yang sangat-sangat ditakuti oleh mana-mana penulis novel. Kadang-kadang sampai berbulan Dila tak menulis hanya sebab benda ni.

Jadi apa yang Dila buat, cuma jalani hidup macam biasa. Apabila keluar tu selalu perhatikan sekeliling berdoa supaya ada idea yang akan terdetik di minda masa tu. Kalau ada, Dila akan cepat-cepat catit dalam phone ataupun kertas.

6. Adakah keluarga menyokong Dila menjadi penulis?

Alhamdulillah. Abah, mak, adik-beradik sangat menyokong Dila daripada waktu terbit novel pertama lagi sampailah sekarang. Dila decide untuk simpan saja sijil Ijazah dan jadi penulis sepenuh masa.

Dila ingat lagi masa buku pertama Dila diterbitkan, Abah cakap dia tak kisah Dila menulis asalkan pelajaran jangan terabai.

7. Apakah bahagian yang paling susah dalam penulisan novel Dila?

Bahagian paling susah dalam penulisan novel adalah penciptaan konflik atau klimaks dalam sesebuah cerita. Sangat mencabar sebab kita sebolehnya sebagai penulis nak mencari kelainan, tak nak dikatakan cerita kita ni cliche.

Tapi kadang-kadang benda ni semua tak dapat dielakkan memandangkan sekarang ni dah terlalu ramai penulis di luar sana yang tumbuh ibarat cendawan lepas hujan.

Kadang-kadang mungkin akan ada sedikit persamaan, mungkin dari segi plot dan sebagainya. Tapi kita sebagai penulis kena pandai menggunakan identiti atau style penulisan kita sendiri yang tak ada pada penulis lain.

Contohnya dari segi pengolahan ayat, nada-nada dialog yang ditulis dan lain-lain. Itu yang menjadikan kita lain daripada penulis yang lain. Kita kena cari style atau trademark penulisan kita sendiri.

8. Apakah perkara-perkara yang anda lakukan sehingga menjadi seorang penulis yang baik?

Teruskan menulis dan menulis selain sentiasa mencari ilmu baru dalam bidang penulisan

9. Adakah Dila belajar dengan penulis lain atau hadiri kursus sebelum mula menulis novel?

Tiada. Dila langsung tak pernah menghadiri apa-apa kursus atau bengkel penulisan sebelum menulis novel, mahupun belajar dengan penulis-penulis lain. Semuanya Dila belajar dengan sendiri berdasarkan pembacaan Dila sebelum ni.

10. Adakah Dila menyimpan apa-apa rahsia di dalam karya Dila di mana hanya beberapa orang sahaja akan mengetahuinya?

Dila rasa benda hanya diketahui oleh beberapa orang saja, yang selalu bertanya macam mana style Dila menulis. Jujur Dila cakap, kesemua cerita yang ditulis tak pernah Dila catatkan sebarang ‘plot’ yang tetap sama ada dalam laptop ataupun kertas.

Ini kerana Dila sendiri tahu, yang Dila bukan jenis penulis yang akan stick pada satu plot sahaja. Kesemua idea dan perjalanan jalan cerita kebiasaannya akan datang secara spontan dalam fikiran Dila tak kira bila-bila masa.

Kalau tiba-tiba rasa nak ubah sesebuah scene dalam cerita tu, Dila akan ubah. Sebab itu kadang-kadang mengambil masa yang agak lama untuk siapkan sesebuah novel tu.

Dan satu lagi rahsia yang ramai tak tahu, Dila menulis suka syok sendiri. Kalau menulis scene sedih, memang Dila akan tulis dan olah sebaik mungkin sampai apabila Dila baca sendiri, air mata boleh meleleh.

Sebab bagi Dila dengan cara tu, Insha Allah emosi cerita tu akan sampai pada pembaca.

11. Apakah pendapat Dila tentang trend TV mengadaptasi novel menjadi versi visual?

Adaptasi sesebuah novel menjadi drama siri/filem/telefilem ni sebenarnya ada pro and cons dia. Salah satu kebaikan dia adalah sales buku akan meningkat.

Tentunya situasi ini menggembirakan penulis itu sendiri apabila novelnya diulang cetak, dan sekaligus dapat menaikkan nama penulis itu sendiri yang mungkin sebelum ni hanya segelintir pembaca tegar novel saja yang mengenali.

Keburukannya pula adalah apabila drama adaptasi tu terlalu jauh terpesong daripada novel, dan jauh lari daripada apa yang digambarkan dalam sesebuah novel yang diadaptasi tu, walhal novel itu sangat bagus dan seronok tapi apabila diadaptasi ke drama, tak seperti yang diharapkan.

12. Apakah pendapat Dila tentang drama siri yang mengadaptasi novel-novel Dila?

a. Dia Semanis Honey

Pertama kali Dila dapat WhatsApp daripada rakan novelis Dila, iaitu adik Aisya Azhar (penulis novel Isteri vs Tunang dan Mr. Boss Miss. Stalker) yang novel ‘Dia Semanis Honey’ akan diadaptasi.

Memang gembira yang teramat, tapi pada masa yang sama agak takut. Kemudian, selepas tahu Siti Nordiana dan Aliff Satar yang akan menerajui watak utama dalam drama ni, ada rasa sedikit skeptikal sebab dapat pelakon yang agak ‘RARE’ iaitu Kak Nana dan Aliff.

Terfikir-fikir, boleh ke mereka berdua bawa watak ni? Lagi pula, watak ‘Hani Safira’ sebenarnya adalah gadis muda, tapi diberikan pada Kak Nana (jgn marah na… kak Nana still muda jugak).

Tapi Alhamdulillah sangat-sangat, drama tu MELETOP sampai hampir kesemua kedai buku, novel ‘Dia Semanis Honey’ sold out, sampai terpaksa reprint banyak kali.

Dari segi penceritaan semua Dila berpuas hati sebab kebanyakannya memang mengikut novel, cuma ada beberapa saja perubahan yang dibuat supaya bersesuaian untuk dijadikan drama buat tatapan umum.

Apa-apa pun Kak Nana dan Aliff punya chemistry memang the best!

b. Suri Hati Mr Pilot

https://www.youtube.com/watch?v=OxKYzARg6hg

Untuk Suri Hati pulak, pertama kali dapat tahu yang Neelofa akan pegang watak sebagai Warda Erina, memang Dila sangat seronok sebab Neelofa sangat cantik dan rasa sangat bertepatan dengan watak Warda yang Dila gambarkan dalam novel.

Untuk Fattah Amin pulak, Dila agak ‘krik krik’ pada mulanya sebab tak berapa minat dengan lakonan dia, sebab Dila sebenarnya teringin sangat kalau Nazim Othman yang memegang watak sebagai Ejaz, tapi doa tak kesampaian. Haha.

Alhamdulillah, drama ni pun sama MELETOP macam ‘Dia Semanis Honey’.

Pada tafsiran awal Dila, ia mungkin sebab ‘spotlight’ drama ini ada pada Neelofa, kerana drama ini adalah comeback dia yang pertama selepas bertahun menyepi dalam bidang lakonan.

Apabila mengikuti drama ini, Dila sangat berpuas hati dengan pembawaan watak yang dibawakan oleh Neelofa dan Fattah, terutama dengan melihat reaksi-reaksi penonton saja, kita sudah boleh tahu yang mereka sudah berjaya membawakan watak-watak utama itu dengan baik.

Dan buat Fattah Amin, tahniah! Anda berjaya buat semua wanita diluar sana tergila-gilakan watak Ejaz Fakhri.

Dila juga berpuas hari sebab jalan cerita mostly mengikut apa yang dah tetulis dalam novel. Cuma ada beberapa watak yang tak dijelaskan pengakhirannya seperti Inara, hilang macam tu saja.

13. Apakah perkara yang paling mengejutkan Dila tentang penulisan novel?

Benda yang paling mengejutkan dalam bidang penulisan novel adalah kes plagiat. Dila dah mendengar banyak cerita tentang kes plagiat sampai ada yang bukunya sudah diterbitkan pun.

Kemudian baru diketahui yang buku itu sebenarnya telah ditiru bulat-bulat daripada novel lama. Originality dan kejujuran tak ada di situ, dan ini juga menyebabkan kerugian pada syarikat penerbitan sendiri.

14. Apakah advice Dila kepada mereka yang mahu jadi penulis novel?

Nasihat Dila pada yang di luar sana yang berminat untuk menjadi penulis novel, adalah cuba cipta identiti penulisan kita sendiri ataupun dalam kata mudah, style kita menulis.

Supaya apabila novel kita keluar, orang dah tahu yang ini adalah novel hasil penulisan kita. Dan buat penulis baru, jangan expect yang novel pertama kita akan terus meletop.

Kadang-kadang kita dah menghasilkan 4-5 buah novel pun belum tentu akan meletop. Jadi banyakkan bersabar, teruskan menulis dan cuba bina fans kita sendiri.

Semua orang boleh menulis tapi tak semua orang boleh jadi penulis.

15. Apakah projek terkini Dila?

Okay, untuk projek terkini, Dila tengah dalam proses untuk siapkan manuskrip ke-5 Dila yang Insha Allah akan terbit pada tahun depan. Tajuknya kita rahsiakan dulu, tapi siapa yang mengikuti blog Dila mesti tahu cerita apa kan?

16. Adakah Dila ada apa-apa yang mahu dikatakan kepada pembaca-pembaca novel Dila?

Buat semua pembaca-pembaca novel Dila yang setia menyokong Dila darpada terbitnya buku pertama lagi tahun 2012 dulu, sampailah sekarang, Dila ucapkan berjuta-juta terima kasih yang tak terhingga.

Yang selalu bertanya bila novel baru nak keluar, yang selalu beri komen-komen positif dalam blog dari dulu sampai sekarang, Dila ucapkan terima kasih yang tak terhingga.

Tanpa anda semua, dah lama penulis Dila Dyna ini terkubur. Tanpa pembaca penulis bukan sesiapa.

Baca: 13 Trivia Suri Hati Mr Pilot Dari Kaca Mata Penulisnya