Ramai yang berpendapat harga hartanah yang semakin meningkat saban hari membuatkan ramai yang tidak lagi mampu untuk memiliki hartanah sendiri. Namun sebenarnya dengan adanya ilmu hartanah, semua mampu untuk memiliki hartanah sendiri.

Pada tahun 2015, satu portal dengan nama Hartabumi.com diwujudkan. Portal ini mengandungi senarai hartanah berstatus bumiputera dengan harapan ia akan membantu menyelesaikan masalah lambakan hartanah bumiputera yang tidak terjual.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Ramai pihak yang takut untuk menceburi bidang hartanah dan mengambil risiko memulakan sesuatu yang baru,” kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi.com, Radzi Tajuddin.

“Saya akui memang banyak portal-portal berkaitan dengan hartanah yang wujud sejak kebelakangan ini namun rata-rata hanya fokus untuk bukan bumiputera serta bumiputera yang berpendapatan tinggi sahaja. Golongan ini hanyalah 30% daripada pasaran yang ada di Malaysia,” tambah beliau lagi.

Hartabumi CEO Radzi Tajuddin (left) with COO Nadzri Sazali
CEO Hartabumi, Radzi Tajuddin (kiri) COO Hartabumi, Nadzri-Sazali (kanan)

Radzi yakin kuasa membeli yang sebenar terletak pada baki 70% golongan yang terdiri daripada bumiputera berpendapatan rendah dan sederhana. Sebahagian daripada golongan ini sebenarnya mampu membeli rumah namun mereka tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai hartanah.

Memulakan kerjaya sebagai penyelidik dasar, Radzi merasa hampa kerana gagal mendapatkan data dan maklumat lanjut mengenai isu harta bumiputera yang tidak terjual lantas mendorongnya untuk menghasilkan sebuah portal hartanah khas buat bumiputera. Disebabkan itu Hartabumi.com penting dalam mengumpul data-data ini.

Beliau turut mendedahkan sebab utama yang menarik orang ramai untuk ke portal Hartabumi.com adalah kerana portal ini mempunyai segmen ‘ilmu hartanah’ dimana tim Hartabumi berkongsi mengenai selok belok dunia hartanah kepada pembaca.

DSCF3864
Perbincangan dengan anak muda yang minat menceburi bidang hartanah

Ini sekaligus membuktikan ramai sebenarnya yang dahagakan ilmu hartanah namun tidak tahu dimana untuk mencarinya.

Radzi juga akui walaupun ramai yang berminat untuk menimba ilmu mengenai hartanah namun masih sukar untuk mengubah corak pemikiran sebahagian bumiputera yang berpendapat bahawa ianya sesuatu yang mustahil untuk mereka memiliki rumah sendiri apatah lagi untuk menjana pendapatan melalui bidang hartanah.

Antara cabaran lain yang perlu ditempuhi ialah untuk menyakinkan ejen serta pemaju untuk menyenaraikan hartanah mereka di dalam portal Hartabumi. Pada mula portal ini ditubuhkan, ramai yang masih lagi skeptikal serta was-was namun kini ramai ejen serta pemaju yang mempercayai portal Hartabumi.com.

“Kami akan sentiasa memperbaiki portal Hartabumi.com serta mencari idea serta strategi baru untuk kekal di dalam industri ini,” kata Radzi.

Hartabumi
Carian merangkumi hartanah dari seluruh negara

Beliau berkata kini Hartabumi sedang berkerjasama dengan KPKT untuk membantu bumiputera membeli rumah pertama mereka. Ketua pegawai operasi Hartabumi.com, Nadzri Sazali turut menambah, “Isu terbesar bagi pemilikan rumah bumiputera adalah pada masalah profil kewangan, dan ia perlu diberi lebih perhatian.”

Atas sebab itu, Hartabumi juga sedang berusaha untuk menyediakan medium bagi membantu bumiputera yang pinjaman perumahannya ditolak oleh pihak bank. Profil kredit mereka akan dibaiki bagi meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pinjaman.

Semakin banyak agensi kerajaan, organisasi seperti REHDA serta media yang menyedari kehadiran Hartabumi.com di dalam industri hartanah. Terbaru, Hartabumi juga telah memperoleh portal baru iaitu Rumahsewa.com untuk ceburi pasaran sewa.

Buat anda yang sedang berkira-kira untuk membeli hartanah, boleh cuba ke laman Hartabumi.com untuk mencari hartanah yang anda inginkan. Semoga dipermudahkan segala urusan mencari hartanah anda di sini.