Seperti semua sedia tahu, Frito-Lay merupakan syarikat pengeluar makanan ringan terkemuka dunia. Salah satu produknya yang popular sudah semestinya kerepek Lays, Doritos dan Cheetos. Di sebalik kejayaan semestinya ada halangan terlebih dahulu. Namun, tahukah anda akan kisah suka dan duka Richard Montanez, 62, timbalan pengarah bagi syarikat Frito-Lay?

Richard Montanez yang pada awalnya hanya mula bekerja sebagai pekerja pembersihan di Frito-Lay dan kini menjadi timbalan pengarah bagi syarikat tersebut.

Tinggal bersama 14 orang ahli keluarga di dalam satu pondok kecil

Richard bersama 10 orang lagi adik-beradiknya dibesarkan di kem pekerja asing di Cucamonga Valley, Selatan California pada tahun 1960. Dimaklumkan bahawa datuk, ibu serta ayahnya merupakan warganegara Mexico yang berhijrah ke Amerika Syarikat. Paling memilukan, kehidupan Richard sekeluarga sangat daif dan mereka terpaksa berkongsi kediaman di dalam satu pondok kecil berdindingkan batu.

Khabarnya, seluruh ahli keluarga termasuk datuknya bekerja sebagai pemetik buah di sebuah ladang anggur di Los Angeles sebagai punca pendapatan keluarga. Sesusah mana sekalipun, pelajaran Richard tidak pernah diabaikan oleh ibunya.

“Pada waktu itu, ibu telah daftarkan saya ke sekolah. Saya menangis dan takut untuk ke sekolah gara-gara saya masih lagi tidak boleh berbahasa Inggeris,” ujar Richard semasa ditemu ramah oleh wartawan majalah Lowrider.

Berhenti sekolah pada darjah 4

Walau bagaimanapun, Richard tidak ada pilihan dan akur dengan permintaan keluarganya itu supaya pergi ke sekolah demi mengubah nasib keluarga. Setiap hari ke sekolah, Richard merasakan seperti tiada arah tuju untuk dia berjaya dalam pelajaran.

“Pernah sekali cikgu bertanya soal cita-cita di dalam kelas. Ramai murid yang menjawab ingin menjadi angkasawan dan doktor cuma saya sahaja yang menjawab tiada impian yang boleh saya capai,” ujar Richard lagi.

Richard akur bahawa tiada tempat untuk dia berjaya dalam pelajaran. Dia mengambil keputusan untuk berhenti sekolah di tahun 4 dan bekerja lebih masa sebagai penyembelih di kilang ayam, pencuci kereta dan pemetik daun ganja. Disebabkan tidak berkelulusan pelajaran tinggi, Richard sukar untuk mencari pekerjaan tetap.

Cuba nasib bekerja sebagai tukang pembersihan di Frito-Lay

frito-lay
Sumber: ABC News

Pada 1976, Richard (pada ketika itu Richard berusia 18 tahun) diberitahu oleh jirannya bahawa ada jawatan kosong sebagai tukang pembersihan di kilang Frito-Lay. ‘Tuah rezeki’ dia diterima bekerja di situ.

“Saya seorang buta huruf. Borang permohonan bagi pekerjaan itu isteri saya, Judy yang tolong isikan. Berkat tulisan tangannya, saya diterima bekerja di situ dengan gaji $4 USD (kini RM16) sejam,” ujar Richard lagi.

“Pada hari pertama saya bekerja, mendiang datuk saya pernah berkata; Pastikan semua lantai sentiasa berkilat dan beritahu semua orang bahawa lantai itu keluarga Montañez yang mop. Kata-kata datuk saya itu membuatkan saya bekerja keras untuk menjadi tukang pembersihan terbaik di kilang Frito-Lay,” ujar Richard.

Mempelajari selok-belok kawalan mesin di Frito-Lay

Sambil menyelam minum air. Bukan sahaja menjadi tukang pembersihan, khabarnya juga Richard mengambil peluang ini untuk menimba pengetahuan mengenai cara mengawal mesin pemprosesan produk makanan ringan Frito-Lay. Richard belajar sendiri dengan memerhatikan gerak kerja mesin-mesin yang menghasilkan snek sebaik waktu kerjanya tamat.

Pada pertengahan tahun 1980, anak syarikat PepsiCo ini diancam muflis. Berikutan itu, CEO PepsiCo, Roger Enrico tampil membuat pengumuman dan menjemput 300,000 orang pekerja Frito-Lay untuk berkongsi pendapat serta idea kreatif bagi membangunkan semula perusahaan makanan ringan itu.

Berkongsi idea untuk memajukan Frito-Lay

Mendengar pengumuman tersebut, Richard (pada ketika itu 26 tahun) tampil untuk meluahkan idea pemasarannya bagi syarikat Frito-Lay. Kemudian, Richard menelefon CEO Roger Enrico berkenaan hasratnya itu. Dia dijemput hadir ke satu perjumpaan. Dua minggu lepas itu, Richard bersedia untuk membentangkan hasil ideanya di hadapan pegawai-pegawai syarikat.

“Saya perhatikan tiada satu pun produk Frito-Lay iaitu Lays, Frittos, Ruffles, Cheetos yang mencerminkan identiti makanan Latinos iaitu makanan pedas dan berempah.

“Secara tidak sengaja, saya pernah nampak seorang pekerja lelaki ini menghasilkan keropok jagung Cheetos dengan campuran butter dan cheese. Bagi saya ianya rasa kosong.

“Cadangan saya, apa kata kita tambah sedikit rasa cili pada Cheetos,” imbas Richard semasa perjumpaan tersebut.

Richard kemudiannya mengambil kerepek Cheetos di hadapannya lalu menaburkan sedikit campuran rempah Mexico mengikut resepi rahsianya. Katanya, resepi Cheetos yang terbaharu ini diinspirasikan daripada makanan Mexico iaitu elote. Untuk pengetahuan anda, elote merupakan jagung bakar yang disaluti dengan serbuk cili, perahan limau, keju cotija dan krim fresca.

Memperkenalkan pembungkus keropok baru

Richard-Montañez-and-his-wife-Judy
Sumber: Famous People Today

Bukan sahaja mencipta resipi kerepek yang lazat bahkan Richard juga memperkenalkan pek pembungkusan kerepek yang baharu. Dia mengambil 100 helai beg plastik lalu seal menggunakan sterika baju bagi menutup pembungkusan kerepek tersebut. Kemudian, satu logo dilukis sendiri Richard pada beg plastik berkenaan.

“Mulai sekarang mop awak letak tepi. Awak dinaikkan pangkat,” ujar CEO setelah melihat aksi kehebatan Richard semasa membentangkan ideanya.

Kesemua pegawai syarikat pada itu terkedu diam setelah melihat bakat pembentangan idea Richard. Betul kata orang kejayaan suami juga bergantung kepada isterinya. Richard tidak berjaya jika tiadanya berkat bantuan isterinya dalam menyiapkan proposal dan menemani dia mengulang kaji buku pemasaran di perpustakaan awam setempat.

Flamin Hot Cheetos bawa tuah kepada Richard

Idea hebat beliau itu telah mengubah nasib syarikat Frito-Lay dan secara tidak langsung menjadikan Flamin’ Hot Cheetos sebagai salah satu produk keropok terhebat pernah dihasilkan Frito-Lay.

Richard kini bergelar sebagai timbalan pengarah Frito-Lay dan berjaya meraih kekayaan berjumlah USD20 juta USD (RM82 juta). Tambah menarik, Richard juga turut berkongsi idea dalam membantu strategi pemasaran serta promosi syarikat Taco Bell dan KFC.

Bukan sahaja menjadi usahawan berjaya malahan Richard juga sering diundang sebagai pakar motivasi bagi seminar perniagaan. Tambah teruja, Richard juga berjaya menerbitkan buku mengenai kisah hidupnya bertajuk A Boy, A Burito and A Cookie: From Janitor to Executive (2013).

Kini dia bersama isterinya Judy kini masih lagi menetap di Rancho Cucamonga. Hampir empat dekad berkahwin, pasangan tersebut dikurniakan 3 orang anak lelaki dan 4 orang cucu. Iktibar daripada kisah Richard ini; tidak semestinya berpelajaran tinggi, seseorang itu kekal akan berjaya dalam kehidupan jika mempunyai idea yang hebat.

Dahulunya gelandangan, kini Chris Gardner akhirnya bergelar jutawan. Klik pautan dibawah untuk membacanya.

Kisah Chris Gardner, Seorang Gelandangan Yang Akhirnya Jadi Jutawan

Lelaki Ini Kongsi Kisah Sebak Di Sebalik Gambar Pak Cik Berdoa Di Luar Masjid