Dalam kisah Nabi Musa as, Allah SWT mengisahkan tentang bagaimana kekuatan orang yang merasa dirinya bertuhan bila mana berdepan dengan masalah.

Dan ini menjadi iktibar kepada kita sebagai seorang yang beriman bertuhankan Allah SWT, untuk tidak bersandar kecuali kepada Allah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dalam apa sahaja permasalahan. Walaupun semua makhluk tidak mampu nak ‘settle’ kan.

Nabi Musa as ketika membawa bani Israil untuk diselamatkan daripada seksaan & penindasan Firaun, ketika sampai di tepi lautan, Firaun yang menyedari kalau Nabi Musa sudah keluar dengan Bani Israil, mempersiapkan satu kekuatan tentera yang begitu hebat, dengan kekuatan senjata yang lengkap, mengejar Nabi Musa dan Bani Israil.

Apa kata Bani Israil ketika itu?

“Kita tidak ada tempat dah. Depan laut, belakang firaun. Kita sudah ditangkap. Kita sudah tidak boleh lari.”

Maju mati, mundur pun mati. Mengikut mentaliti logik.

Tetapi mentaliti orang beriman bila mana berdepan dengan masalah, tidak mengedepankan logik. Tidak mengedepankan akal. Tetapi mengedepankan Tuhan yang menciptakan akal.

Apa kata Nabi Musa as selepas itu?

“Bersama dengan saya Tuhan saya. Yang berkuasa untuk berbuat apa saja kepada lautan, berkuasa berbuat apa saja kepada Firaun dan tenteranya.”

Ini bahasa iman. Kepada orang yang merasa jiwanya bertuhan, maka sentiasa dia akan mengedepankan kekuatan Tuhan berbanding kekuatan bukan dirinya sahaja, hatta seluruh makhluk.

Berapa banyak zahir daripada kemenangan yang diberikan dan ditunjukkan oleh Allah kepada kaum Muslimin? Bukan kerana kekuatan mereka, tetapi kerana kekuatan yang diberikan oleh Allah SWT.

Allah SWT memerintahkan kepada Nabi Musa as untuk memukul lautan dengan tongkatnya, maka terbelahlah lautan menjadi dua, umpama gunung yang tinggi.

Berapa banyak Allah SWT tunjukkan dalam al-Quran mengenai terbatalnya hukum logik, tetapi ramai manusia yang masih mempertahankan hukum logik dalam segala hal, hukum akal dalam segala hal.

Tidak masuk di akal kita belum tentu mustahil, belum tentu tidak wujud (kerana tiada yang mustahil bagi Allah SWT).

Orang yang bertuhan berbeza dengan orang yang tidak bertuhan. Yang bertuhan sentiasa akan mengembalikan segala permasalahan kepada Tuhan.

Orang yang tidak bertuhan akan mengembalikan segalanya kepada dirinya sendiri, terutama kalau sudah tidak boleh menghadapi masalah maka dia akan mengambil tindakan syaitan.

Ini adalah petikan kata-kata dari ceramah Al-Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.