Biasa kita lihat travel adalah satu aktiviti menyeronokkan. Ditambah dengan gambar-gambar menarik yang dikongsi oleh rakan-rakan di media sosial. Pasti hati turut meronta rasa teringin nak pergi ke tempat yang sama.

Tapi bagaimana jika perancangan travel tergendala dan terpaksa ditukar sewaktu sudah berada di dalam trip? Bagaimana jika anda tiba-tiba jatuh sakit hingga perlu ditahan di wad, dan seterusnya perlu menunda tarikh balik ke Malaysia? Inilah yang ingin saya kongsikan hari ini.

Mahu dikenali dengan nama samaran Budak Kechik (BK) sahaja, beliau sudah lama berimpian mahu travel ke Russia. Katanya nak cari ‘si mata biru’ yang cantik menawan di sana. Maka pada pertengahan Nov 2016, BK berangkat untuk mengembara secara solo dengan menaiki keretapi Trans Siberia.

Route beliau bermula di Beijing, dengan menjadikan Moscow sebagai destinasi terakhir. Sebelum tiba di Moscow beliau berhenti di beberapa lokasi di sepanjang route Trans Siberia termasuk di Kazan untuk beberapa hari.

“Saya bertolak dari Kazan dengan suhu -5°c dan tiba awal pagi di Moscow dengan suhu -19°c. Hari pertama saya masih dapat berjalan di sekitar hostel untuk mencari peta. Masuk hari kedua dan ketiga di Moscow, saya hanya terbaring di katil kerana demam panas.”

Risau melihat keadaan BK yang hanya terbaring, pekerja hostel bernama Natalie telah menelefon ambulan. BK kemudiannya dibawa ke hospital terdekat untuk pemeriksaan lanjut. “Kerana kondisi saya agak tidak stabil, saya dihantar ke hospital lain. Saya tidak ingat nama hospital kerana hanya terlantar di dalam ambulan.

Ribut kuat masa tunggu keretapi di Kazan.

Dihantar ke 3 hospital berbeza

Selesai pemeriksaan di hospital ke 2, BK dihantar kembali ke hospital pertama. Tetapi setelah tiba di sana, BK dimaklumkan oleh pihak hospital beliau perlu dihantar ke ‘Infection Hospital’  yang berjarak sejauh 1 jam perjalanan daripada hospital pertama.

“Mereka syak saya mungkin dijangkiti atau menjadi pembawa sebarang virus (disebabkan saya berpindah daripada satu bandar ke bandar lain) dan hospital pertama hanyalah untuk merawat penyakit biasa.

Di hospital ke 2 pula kaki saya di-scan sebab saya beritahu kaki terasa sakit mungkin kerana banyak berjalan. Jadi mereka hantar untuk body scan dan x-ray.
Hospital terakhir (hospital ke 3) pula mereka hantar sebab hospital ini khusus untuk rawatan penyakit berjangkit dan virus.”

Ujar BK lagi, di hospital ke 3 inilah beliau ditahan selama 4 malam. Sebelum dimasukkan ke hospital terakhir, BK dibawa ke 3 hospital dengan 4 ambulan berbeza. Bermula daripada dibawa keluar dari hostel pada jam 12 tengahari, dan akhirnya dimasukkan ke wad hospital pada jam 9.30 malam di hari yang sama.

Nama hospital: инфекционная клиническая больница No1 @ Infektsionnaya klinicheskaya Bolnista No1.
Pintu masuk wad a.k.a pintu belakang. Jangan tanya macam mana rupa pintu depan sebab saya pun tak pernah tengok.

Punca jatuh sakit

Menurut BK, beliau jatuh sakit berpunca daripada perubahan suhu yang mendadak. Ditambah pada hari terakhir di Kazan dan sebelum berangkat ke Moscow beliau terkena ribut salji sewaktu menunggu di stesen keretapi.

Malahan pada hari pertama selepas tiba di Moscow BK masih lagi boleh keluar berjalan dan membeli barang makanan dan keperluan. “Rasa tak larat bermula bila saya nak bangun solat subuh keesokannya. Badan rasa sejuk semacam walaupan dalam hostel ada pemanas.

Saya ada bawa ubat-ubat ringkas tapi saya tak makan sebab ingatkan hanya demam biasa.”

Satu-satunya pemandangan yang saya tengok setiap hari melalui tingkap.
Sarapan. Bubur yang seakan-akan kacang pulut dan susu curd, roti dan mentega, Teh O.
Makan tengahari: sup lobak, hati lembu rebus dengan cream sos, ubi kentang rebus, roti, jus jambu batu.
Malan malam: samolina, orange chees cake, roti, buah oren, yogurt.

Perasaan sewaktu ditahan di wad

Bila jatuh sakit sewaktu travel, ia bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi bila perlu berhadapan dengan mereka yang tidak boleh berbahasa Inggeris. Namun bagi BK beliau bernasib baik kerana telah dibantu oleh pelajar Malaysia yang berada di Moscow sewaktu dalam proses kemasukan ke hospital.

Tentang perasaan BK sendiri pula bila perancangan travel beliau kini terganggu, ujar BK, “mulanya saya teruja sebab dah bayangkan wad dan nurse macam kat hospital swasta di Malaysia. Tapi kemudiannya saya hampa. Mungkin imaginasi saya terlalu tinggi.

Keadaan wad dan staff memang terlalu jauh dari bayangan saya. Berkenaan bill hospital pula saya tidak terlalu risau disebabkan saya ada bawa kad kredit extra. Lagipun saya tahu kos kemasukan ke wad akan ditanggung oleh travel insurance.

Tapi yang menariknya bila saya bertanya tentang bil, doktor beritahu tidak perlu risau kerana kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Russia. Saya ingatkan doktor hanya bergurau tapi jawapan yang sama turut diberikan oleh doktor lain bila saya tanya soalan tentang bil.”

Berkenaan suasana di hospital pula, menurut BK keadaan di dalam wad tak jauh berbeza berbanding wad di HKL. Tapi dari segi layanan ada sedikit perbezaan. Menurut BK beliau menerima 3 suntikan setiap hari.

“Setiap kali nurse datang, mereka akan pusing badan saya dan terus cucuk tanpa memberi salam. Masuk hari kedua saya sudah faham dan tanpa dipinta saya terus baring dan merelakan diri saya dicucuk.

Nurse di sana cuba untuk menjadi peramah tetapi disebabkan kekangan bahasa, kami hanya berkomunikasi dengan isyarat mata. Mereka gembira bila setiap kali saya mengucapkan ‘spasibo’ (terima kasih) dalam bahasa ibunda mereka.

Makan tengahari: kentang hancur, ikan rebus, ubi bit, roti, jus.
Makan malam: sup ubi bit, kacang peas, lentil, roti, jus.
Makan tengahari: sup sayur, pasta kosong, ayam rebus, roti, jus.

Tiada selera makan

Selain kerana tidak sihat, perbezaan makanan dan hidangan di hospital turut mempengaruhi selera makan BK. Ujar BK, “jujur saya tak pernah menghabiskan makanan yang dihidangkan kerana rasanya yang agak pelik.”

Beliau hanya mampu menelan sedikit makanan saja bagi mendapatkan tenaga. “Boleh bayangkan sendiri rasa makanan kalau garam pun kena bawa sendiri sebab langsung tiada rasa. Selain dari itu, makanan yang disediakan juga tidak halal tapi saya dalam keadaan darurat yang memerlukan saya untuk terus bernyawa, jadi kenalah saya makan juga sedikit.”

Dari segi perkara best sewaktu ditahan di hospital, menurut BK, beliau sering teruja bila tiba waktu makan. “Tapi bila makanan sampai, bak kata Mashur Al-Buaya “garam takde, putus selera.”

Nurse Russia selalunya berwajah garang tetapi ,elayan pesakit dengan baik. Sewaktu di dalam wad selama 4 hari, kerja beliau hanya kana dan tidur saja. Air panas turut disediakan oleh hospital 24 jam.

Dari segi perkara yang kurang menyeronokkan pula, menurut BK kuota internet beliau habis pada hari ke-2 di wad. Jadi hari-hari berikutnya beliau kebosanan kerana tidak dapat chatting dengan si ‘mata biru’.

Uniform yang disediakan oleh pihak hospital juga salah saiz. Seluar yang diberikan senteng sementara baju pula tidak cukup butang. Dan agak sadis bila beliau diminta discharge (keluar dari hospital) di waktu malam. Di ketika itu Moscow sedang dilanda ribut salji yang lebat.

Ditambah pula beliau tersalah naik bas di arah bertentangan sewaktu hendak balik ke hostel. Akibatnya perjalanan yang sepatutnya cuma setengah jam menjadi 2 jam.

Makan tengahari: kobis jeruk rebus, meatball, roti
Sarapan: Oat + susu, curd, slice of lemon, roti, mentega, teh O.

Beli tiket penerbangan lain untuk balik ke Malaysia

Disebabkan sudah terlepas untuk tarikh penerbangan balik, BK terpaksa membeli tiket baru. “Harga tiket sehala sama mahal dengan tiket pergi balik saya ke Moscow. Saya beli sendiri dengan bantuan staf hostel. Mereka benarkan saya pinjam komputer di hostel untuk buat tempahan tiket kapal terbang.”

Dari segi travel insurance pula, bagi BK beliau bernasib baik kerana ada ramai kawan-kawan yang sedia membantu. “Mereka tolong maklumkan kepada syarikat insurans tentang apa yang telah terjadi kepada saya. Pekerja syarikat insurans menghubungi saya setiap hari untuk mendapatkan update terkini tentang keadaan saya. Saya hantar tuntutan insurans seminggu selepas saya balik dan sekarang masih menunggu jawapan.”

Baca: Pengalaman Saya Buat Tuntutan Daripada Travel Insurans Selepas Kemalangan Di Luar Negara

Kalau nak hilangkan berat badan dengan cepat, sila masuk wad di hospital Russia. Saya hilang berat 4kg sepanjang ditahan 4 hari di sana. Dan sila bersedia dari segi mental sebab tandas di hospitak sana tiada pintu dan agak menakutkan.”

Tidak serik ke Russia

Sebelum mengakhiri kisah beliau, saya sempat bertanya kepada BK adakah beliau sudah serik untuk travel ke Russia lagi? Jawab BK, “saya tidak pernah serik. Saya ada banyak lagi tempat yang belum dijelajahi. Saya tak kisah pun jika kena tidur di mana-mana sebab tu semua pengalaman baru bagi saya. I believe all the experience are awesome, depends on how we enjoy it.”

Bagi misi mencari si mata biru pula, menurut BK misi beliau belum berakhir. “Saya sudah punya beberapa calon yang menanti untuk di senarai pendek tapi saya merancang untuk ke Russia lagi kerana masih banyak tempat dan budaya negara ini yang belum saya lihat. Dan sebenarnya ada orang tengah tunggu cheq kat sana. Hehe.”

BK juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu sepanjang beliau berada di Moscow. “Jasa baik kalian hanya Allah yang dapat membalas.”

Baca lagi: 4 Risiko Besar Yang Ramai Traveller Pandang Remeh Sewaktu Mengembara Dan Mengapa Pentingnya Ada Travel Insurans