Sate merupakan antara makanan kegemaran rakyat Malaysia yang menjadi pilihan tidak kira lapisan umur. Apabila sebut sahaja sate, pasti anda akan teringat Kajang yang boleh dikatakan syurga sate.

Terdapat banyak kedai yang menjual sate di Kajang iaitu Sate Kajang Hj Samuri, Rono, Putera, Willy dan banyak lagi. Pasti ada segelintir yang tidak mengetahui akan sejarah bagaimana sate boleh mula bertapak di Kajang.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Adakah anda tahu bahawa sate Haji Tasmin merupakan sate yang terkenal satu ketika dahulu di Kajang? Boleh dikatakan bahawa sate Haji Tasmin adalah pelopor hidangan sate di Kajang. Kemudian, barulah Sate Kajang Hj Samuri mula terkenal dan bandar Kajang mula dikenali sebagai bandar sate.

https://www.instagram.com/p/BnJBxUhDImp/

Untuk pengetahuan anda, sate Haji Tasmin ini memiliki resipi yang enak dan sate Haji Samuri boleh dikatakan berkait rapat dengan sate Haji Tasmin. Kenapa kami katakan begitu? Pada tahun 1917, Hj. Tasmin telah memulakan perniagaan satenya dan dibantu oleh adiknya Rono secara sambilan.

Pada permulaanya, perniagaan sate Hj. Tasmin tidaklah dijual seperti jenama sate yang ada di mana memiliki kedai tetapi ianya dijual secara berkandar. Malah, kuah kacang diletakkan dalam mangkuk besar untuk dikongsi bersama. Selepas beberapa tahun, perniagaan mula berkembang dan mula menggunakan kereta tolak untuk berniaga.

Bercakap tentang bagaimana sate Haji Tasmin dan Haji Samuri boleh berkait, ini ceritanya. Sebenarnya, Haji Samuri Bin Juraimi telah membantu Haji Tasmin dalam perniagaan satenya dan tentu telah belajar resipi daripada Haji Tasmin sendiri ketika di bangku sekolah lagi. Kemudian, beliau juga telah berkahwin dengan cucu Haji Tasmin iaitu Puan Jani.

Haji Samuri telah meneruskan legasi perniagaan Haji Tasmin setelah kematian Haji Tasmin atas permintaan anak-anak Haji Tasmin. Akan tetapi, ramai orang yang kecewa dan keliru apabila perniagaan sate Haji Tasmin diambil alih oleh Haji Samuri.

Berikutan itu, Haji Samuri telah membuka perniagaan satenya sendiri untuk mengelakkan dari dikaitkan dengan Haji Tasmin dan menamakan perniagaannya sate Haji Samuri. Pastinya sate Haji Samuri ini memberi kesan kepada rakyat Malaysia sendiri kerana sate beliau bukan sahaja terkenal di Malaysia tetapi hingga ke luar negara.

Setakat hari ini, terdapat 20 cawangan Sate Kajang Hj Samuri telah dibuka. Kini, perniagaan tersebut diuruskan oleh pewaris Haji Samuri setelah beliau meninggal dunia pada 2 September 2017.

Malah, Sate Kajang Hj Samuri juga merupakan pembekal sate utama kepada beberapa rangkaian hotel dan kafe terkemuka di Kuala Lumpur. Sate Kajang Hj Samuri merupakan simbol kepada sate kajang itu sendiri yang memiliki rasa asli sate turun temurun.

Penjenamaan semula Sate Kajang Hj Samuri menjadikan pekan Kajang lebih dikenali. Malah, ia menjadi simbol perpaduan masyarakat di Malaysia di mana semua kaum dapat menikmati hidangan ini justeru menjadikan ia antara hidangan pilihan rakyat Malaysia.

Setelah Sate Kajang Hj Samuri ini menjadi perhatian, ia menjadi contoh dan membuka ruang untuk perniagaan-perniagaan sate yang berada di sekitar Kajang untuk lebih dikenali. Disebabkan penjenamaan nama perniagaan Sate Kajang Hj Samuri, Kajang menjadi identiti kepada pekan sate.

Jika anda berkunjung ke Kajang, terdapat pelbagai pilihan kedai yang menjual sate. Ini menunjukkan ekonomi yang masyarakat setempat usahakan banyak tertumpu pada perniagaan sate. Mungkin banyak gerai sate yang muncul bak cendawan di Kajang, dan berada di sekitar anda, tetapi kita tidak dapat menafikan sumbangan sate Haji Samuri yang membuatkan Kajang terkenal dengan sate.