Setiap hari, scam atau penipuan berlaku di mana-mana dan dalam pelbagai bentuk modus operandinya. Tak kira siapa anda, anda juga berpotensi untuk terjatuh ke dalam lubang kecelakaan yang dicipta oleh manusia durjana-durjana ini.

Saya juga turut tidak terlepas dari diuji dengan kecelakaan ini. Ini adalah kali kedua saya menziarahi Istanbul, Turki. Atas tuntutan ukhwah dan kerja di sini, kali ini saya menetap selama 6 hari di Istanbul.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Studio yang saya sewa hanya 2 minit / 200 meter sahaja dari pintu masuk Blue Mosque / Masjid Sultan Ahmet.

Jika anda Hussein Bolt mungkin anda hanya perlukan sekitar 20-30 saat sahaja untuk ke masjid. Nak di jadikan kisah pada malam terakhir (sepatutnya) saya di sini, iaitu 25 December 2017, hari Krismas!

Pada malam itu saya perlu menghadiri satu meeting di Haseki dan meeting saya habis agak lewat. Dalam pukul 11.30 baru saya sampai ke stesen tramway Sultan Ahmet. Seharian saya kepenatan. Non stop aktiviti.

Ditegur 2 pelancong

Tibanya saya di Sultan Ahmet, saya terpana seketika dengan pemandangan Blue Mosque pada malam hari. Di mana tiada lagi orang ramai membanjiri kawasan ini.

Saya yang keletihan bersetuju dengan diri untuk duduk seketika dan melayan panorama indah ini. Cukup untuk meregangkan segala urat sahaja dan meneruskan perjalanan sekitar 2-3 minit untuk pulang ke studio saya.

Tiba-tiba saat saya sedang berehat dan mengambil satu dua gambar, ada dua orang foreigners lalu berdekatan.

Ok, dari sini cuba anda perhatikan, modus operandinya adalah sangat biasa berlaku di Istanbul. Tapi sebijak-bijak saya, manusia tidaklah sentiasa bijak.

1. Mereka offer untuk ambilkan gambar. Kerana saya seorang dan mereka berdua.
2. Lepas itu mereka ajak bersembang. Mereka perkenalkan diri. Seorang dari Dubai dan seorang lagi kawannya, local.
3. Mereka Muslim dan juga tourist.
4. Dari sini tourist talk sahaja yang berlaku antara kami.
5. 5 minit, saya nak balik studio.
6. Tapi mereka ajak minum dulu kerana mereka pun dalam perjalanan ke tempat minum. Dekat sahaja kata mereka.

Saya telah katakan tidak kepada mereka hampir 10 kali. Malangnya laluan saya ke studio ‘kononnya’ sehaluan dengan mereka untuk ke kedai minum juga.

scam-di-istanbul-1
Meeting sampai lewat malam.
scam-di-istanbul-3
Selepas berpisah seminit dengan Saufi Nasir di stesen Sultanahmet, saya berhenti ambil gambar. Lawa betul view. Prince Of Dubai tolong ambilkan. Kahkahkah.

Ajak minum saja

Sepanjang saya berjalan saya menolak pelawaan mereka. Sehinggalah saya tinggal 50 meter sahaja dari studio saya, saya kata 15 minit sahaja saya boleh minum dan mereka cakap ok cantik! Tempat minum dekat sahaja dengan sini. Kita jalan kaki.

Seminit jalan kaki, mereka kata ayuhlah kita naik teksi untuk menjimatkan lagi masa kita yang suntuk ini. Jalan 5-10 minit, teksi lagi cepat.

Maka terbawalah saya pergi entah kemana. Memang tidak jauh. Perjalanan teksi hanya dalam 5 minit sahaja.

Tapi mereka akan mengambil perhatian saya sehabis mungkin di dalam teksi dengan bersembang agar saya tidak berapa aware dengan pemandangan sekeliling dan tidak berapa cam dibawa ke mana.

Nak dipendekkan cerita, selepas bersembang dan minum di Cafe yang kononnya mereka juga pertama kali datang dan atas cadangan pihak hotel, tibalah masa untuk membayar bill.

Oh ya, sepanjang minum dan sembang, merekalah yang tolong orderkan semuanya. So, saya pun suka la sebab rasa macam Prince of Dubai sedang payung teruk. Kahkah.

Tersedar kena scam

Bila tiba masa nak bayar bill, si Prince of Dubai kata kita akan bayar bill 50-50. Kawannya yang seorang lagi tak perlu bayar la kot kerana beliau yang bawa kita yang tourist ke tempat yang best ini. Bagus punya sahabat.

Dan macam biasalah, waktu inilah mereka kapak. Bil yang kami kena 9600 Turkish Lira. Jadi saya punya bahagian adalah 4800. Watafish!

Masa ini barulah saya tersedar saya kena scam.

Celaka Prince of Dubai kedekut. Dah ajak minum, minta bayar 50-50 pula. Kalau saya Prince of Dubai, kedai tu saya beli. Lepas saya habis minum, saya wakafkan terus kedai. Kahhh.

Tapi mereka silap. Kenapa? Sebab saya ni bukan Prince of Malaysia. Saya mana ada duit. Hahahaha.

Beliau suruh bawa keluar semua kad bank yang saya ada dan minta cuba untuk gunanya.

Syukur kerana saya tidak bawa kad saya pada malam itu. Yang ada pada saya 3 kad tapi semuanya kad lama dan saya jarang guna. Jadi saya pun tak tau ada berapa duit dalam tu. Yang pasti tak banyak la. Kalau banyak mesti saya tahu. Haha.

Mangsa-mangsa lain kebiasaannya tidak dapat mengelak situasi sebegini kerana kebanyakkannya menggunakan kad kredit.

Mereka pun dengan gigih mencuba semua kad saya. Gagal dan gagal. Semakin beranglah Prince of Dubai ni. Pokai la dia kena bayar semua. Hahaha.

Saya cuba berdiplomasi dan berbincang sehabis mungkin dengan beliau. Saya tidak mahu mencipta apa-apa adegan gila di dalam tempat tertutup yang saya pun tak tahu di mana.

Maka saya pun di heret ke ATM. Saya nak bawa sweater dan bag saya, mereka larang dan minta saya tinggalkan di kedai. Ok.

Kami pun pergi ke ATM.

Aku dah kata aku student tak ada duit. Memang ke atm, semua kad tak berfungsi juga la. Cucuk keluar angin boleh la. Kentut pun keluar banyak lagi anginnya. Kihkih.

Maka bertambah berang lagilah beliau. Saya diiring oleh beliau dan juga salah seorang bonzer tempat itu.

Bila semua kad gagal, akhirnya beliau katakan nak bawa saya jumpa isteri saya dan minta duit dari beliau.

Woi fuk*mark! Jangan babitkan isteri aku. Dengan isteri saya tengah sarat mengandung lagi, ini betul-betul trigger kewarasan saya.

Lari sekuat hati selamatkan diri

Ketika melangkah balik ke teksi dari mesin ATM, jarak antara saya dan mereka berdua 2 meter, dalam split second saya tekad. Tekad buat apa?

Apa lagi. Lariiiiiiiiiii. Run for my life and my wife’s life.

Gila sebenarnya. Korang janganlah tiru aksi ini. Kalau kena tangkap, nescaya akibatnya lagi teruk berbanding kehilangan duit 4800 Turkish Lira itu.

Tapi apa saya boleh buat, saya lari sepantas Hussein Bolt, dalam 2 minit saya lari tanpa toleh belakang zigzag masuk ke sana sini lorong. Saya cuba toleh belakang dan mereka sudah tiada tapi saya teruskan berlari dalam beberapa jauh lagi. Sehingga kudrat hilang, saya masuk ke celah pintu kedai-kedai yang sedikit tersorok.

Sambil menyorok saya mengambil balik segala nafas yang lupa ditarik sepanjang pecutan tadi.

Kemudian saya buka phone saya dan cuba locate diri saya. Namun saya pun tak tahu saya di mana. Tapi saya dapat gambaran kasar kawasannya di mana. Jauh juga dari studio saya.

Waktu ini menggigilnya hanya Allah yang tahu. Menggigil ketakutan, kepenatan dan kesejukan. Saya lari tengah malam di musim sejuk hanya pakai tshirt. Nasib darah pendekar saya boleh dipanaskan bila perlu. Cewah.

Jadi saya tunggu dalam seminit dua sambil mengintai ke jalan besar, adakah ada gerangan yang sedang tercari-cari sesuatu. Saya ambil keputusan untuk ambil teksi sahaja. Sangat bahaya untuk berjalan.

Nampak sahaja teksi saya lompat keluar ke jalan besar dan terus tahan. Dalam keadaan masih mengah, pemandu teksi pun kebingungan.

Problem?

Saya menggeleng. Saya kata saya jogging tengah malam. Hihi. Untuk saya pulang semula ke studio saya pun saya melalui jalan yang agak tricky agar tidak terserempak dengan mereka. Kerana mereka tau studio saya di kawasan mana.

Dan barulah saya ingat kepada sweater dan bag saya yang masih tertinggal di kedai. Saya cuba ingat apa yang ada di dalam bag, malangnya passport saya juga ada bersama dengan bag dan sweater saya itu. Cis!

Keesokan harinya saya menghantar isteri saya ke Airport untuk pulang ke Kaherah. Keselamatan beliau adalah segala-galanya buat saya. Biarkan saya seorang di sini, selesaikan masalah ini.

Baca: Bagaimana Aku Kena ‘Scam’ Di Istanbul Hingga Hilang 140 Euro

scam-di-istanbul-4
2 jam berjalan di lorong-lorong istanbul. Dari Sultanahmet ke Aksaray dan patah balik. Layan angin tepi laut. Ini terserempak dengan AirBnB yang saya duduk dengan isteri saya pada bulan 2 lepas.
scam-di-istanbul-5
Terima kasih tumpangkan rumah kepada pelarian tanpa passport.

Buat laporan polis

6-8 petang 26 December.

Saya berjalan kaki seorang diri sejauh hampir 15km pergi dan balik. Melalui celah-celah lorong. Cuba mengingati balik setiap tragedi yang berlaku semalam.

Namun selepas 2 jam, saya gagal kesan semula di mana kedai tersebut. Hampir putus asa. Bukan apa, kalau saya tahu kedai di mana lagi mudah.

Akhirnya saya ke balai polis tourism berwarna oren di depan Hagia Sophia. Rupanya, pada malam yang sama ramai lagi yang kena kes sama macam saya.

Mereka habis dalam 5000-10000 lira seorang. Ada dari German, Pakistan, Bosnia, Swiss dll. Bila saya kata passport saya hilang, mereka ingatkan kes saya lain dari mereka ini, rupanya sama sahaja.

Cuma saya tak bayar apa-apa, tapi passport tertinggal di sana. Jadi saya pun berbincang baik dengan polis-polis ini. Bincang punya bincang, Pukul 11 malam kita ada misi.

Misi cari passport

Pada pukul 11 malam, selepas saya dan polis cuba sama-sama untuk kenal pasti kawasan kedai tersebut, kami pun bertolak ke kedai itu.

Saya sangat berharap, kedai ini adalah kedai yang sama dengan semalam. Saya hanya boleh gambarkan keadaan kedai dan kawasannya berdasarkan map dan last location saya malam itu sahaja.

Adakah di Aksaray atau Taksim? Saya yakin Aksaray cuma kedai yang mana satu?

Kebetulan dua orang mangsa yang ada sekali di pondok polis ketika itu, turut sama menceritakan keadaan kedai yang sama macam yang saya pergi. Jika betul pun kami pergi ke kedai yang sama, adakah barang-barang saya masih lagi ada di sana?

Saya hanya boleh berserah kepada Dia. Pergilah saya ke kedai tersebut dengan dua orang abang polis muda yang hensem dan sado.

Alhamdulillah! Yang pertama selesai. Kedai yang betul!

“Just follow me.”

Kami pun masuk ke kedai tersebut. Ketika ingin masuk itu, seorang staff seperti supervisor kedai itu sudah kelihatan gelisah. Beliau ikut kami dari luar kedai dan persoalkan siapa saya yang dibawa oleh abang-abang polis ini.

Aku nak raid ni woi!

Beliau ikut sehingga sampai ke tingkat atas. Masuk sahaja ke dalam kedai, abang polis A terus suruh segala muzik ditutup.

Tutup segala lampu warna warni, nyalakan semua lampu putih. Maka terang berderanglah kedai tersebut. Ketika itu ada juga beberapa meja yang kelihatan diduduki oleh pelanggan lain.

Hadir lagi seorang yang kelihatan lebih berusia dari supervisor tadi. Mungkin manager kot. Abang polis sado A pun terus henyak kaw-kaw. Semua staff kedai dipanggil. Beratur depan saya.

“Tell me, anyone you recognize.”

Saya apa lagi, petik terus seorang brader waiter ni. Seingat saya beliaulah yang menguruskan kad-kad debit saya semalam.

Dia hanya menggeleng-geleng konon innocent. Acah pelik kenapa dia kena panggil.

Beberapa minit awal, semua tidak mahu mengaku. Kami datang hanya ingin mengambil semula bag dan sweater saya. Sehinggalah kami ingin memeriksa CCTV.

Tiba-tiba saya terdetik untuk cuba mengintai di belakang sofa yang saya duduk semalam. Ada sweater saya!

Selang seketika, tiba-tiba ada seorang pekerja dari dapur belakang menghulurkan satu beg kepada abang polis sado A. Dan, itu adalah beg saya!

Alhamdulillah Allahuakbar!

Abang polis minta saya periksa beg saya. Dia suruh buka dan periksa semua barang. Ada yang hilang tak. Passport ada ke tidak.

Seluruh ummat manusia dan jin yang berada di situ hanya perhatikan gelagat saya di tengah-tengah kedai. Dan sekali lagi Alhamdulillah, satu pun barang saya tidak terusik.

Yang paling penting passport saya ada! “Tamam, tamam.”

Tergelak polis dengar saya cakap tamam. Dah jadi orang Turki pula katanya. Haha.

Tanpa cakap banyak, kami terus chow. Apalah agaknya yang mereka fikir? Adakah mereka masih ingat saya dari semalam?

scam-di-istanbul-6
Boleh balik dah.
scam-di-istanbul-7
Reschedule semula flight yang saya terlepas semalam. Alhamdulillah tak kena kapak sangat. Dan Alhamdulillah saya sudah selamat sampai rumah di Hayyu Sabik. Esok masuk opis macam biasa. Eh esok pergi kelas.

Pengajaran kepada diri

Saya takut sebenarnya nak datang balik kerana saya tak bayar satu sen pun malam sebelumnya. Secara teorinya saya berhutang dengan kedai itu.

Bila abang polis tanya saya adakah saya bayar apa-apa kepada kedai itu, saya kata tidak dan mereka kata itu sangat bagus!  Memang akhirnya, Prince of Dubai tersebut “terpaksa” belanja 100% bill malam itu. Terima kasih bos! Kihkih.

Dan selesailah misi gerak-gerak khas saya bersama dengan abang-abang polis Turki pada tengah malam di tengah-tengah kota Istanbul.

Mereka pun tanya, saya nak balik ke mana. Dan mereka terus hantar saya pulang ke Pazartekke, rumah sahabat saya. Alhamdulillah selesai dan dipermudahkan.

Tidak perlulah saya ke Ankara untuk buat passport sementara dan pulang ke Malaysia untuk buat passport baru. Dan baru boleh pulang semula ke Kaherah.

Pengalaman yang cukup berharga buat saya. Banyak sungguh perkara yang Dia ingin tunjukkan kepada saya. Kehancuran umat manusia.

Jadi bagaimana anda nak elak dari kena scam macam ni jika anda ingin ke Istanbul nanti?

“Make your own plan and follow the plan.” Hanya itu.

Jangan buat plan lain. Nak balik rumah? Balik terus. Nak pergi minum di A, jangan pula pergi B. Lagi-lagi jika itu adalah plan orang lain.

Mohonlah pertolongan dan perlindungan dari Dia yang berkuasa. Mengenai sindiket scam ini, amat payah untuk dirungkai.

Ini adalah sindiket terancang yang terdiri bukan sahaja di kalangan orang tempatan. Sindiket ini termasuk foreigners. Kepala bana sungguh datang Istanbul memang nak kerja scam.

Dari teksi driver, kedai, dan semuanya adalah disusun. Berdasarkan apa yang saya sembang dengan mangsa-mangsa lain, skrip yang digunapakai adalah sama.

Jika duit anda telah diambil, memang kebiasaannya tidak dapatlah semula duitnya. Kenapa kedai itu masih ada dan tidak ditutup?

Carilah jawapan sendiri. Sama sahaja di mana-mana negara pun. Nampak tak? Cuma berhati-hatilah agar tidak menjadi mangsa.

Saya katakan kepada abang polis, saya akan datang lagi İstanbul berkali-kali. Dia kata next time jangan kena scam lagi. Kahhhh.

Ada sesiapa yang berminat nak kongsi pengalaman yang sebegini? Kebiasaannya kita yang kena scam ni malu nak cerita kat orang.

Jadi orang lain yang tidak tahu pada masa akan datang turut sama terjatuh kedalam lubang yang sama.

Saya kongsikan ini, dan berharap agar tidak ada lagi rakyat kita dan juga sesiapa pun yang terkena benda yang sama. Segala puji hanya kepada Allah.

Baca lagi: 100 Tip ‘Survival’ Sewaktu Travel Sendiri Di Turki Berdasarkan Pengalaman Saya