Hari ini ada lebih kurang 45 orang pelajar dari Jepun melawat ke sekolah saya. Saya ditugaskan untuk menjaga seksyen tulisan dan demontrasi kaligrafi khat jawi.

Jadi untuk demontrasi khat saya ajar mereka untuk menulis nama ‘Muhammad’. Saya terangkan kepada mereka bahawa ‘Muhammad’ adalah ‘one of most influential people in the world’. Kemudian saya sarankan mereka search semula nama ‘Muhammad’ ini bila free.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Mereka nampak berminat dan bersungguh nak tahu walaupun bidang kaligrafi ini agak asing bagi mereka. Sikap bersungguh-sungguh seperti ini seharusnya menjadi ikutan pelajar-pelajar kita.

Sekolah saya mengambil pendekatan untuk memperkenalkan tulisan jawi kepada pelajar-pelajar Jepun tersebut. Mengapa kami mengambil pendekatan ini?

Ini kerana tulisan jawi pernah memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam semua urusan satu ketika dahulu, tapi itulah sekarang ini tulisan jawi kian terpinggir ditelan arus kemodenan.

Jadi, sekolah kami ingin memperkenalkan sub-budaya yang semakin hilang tersebut kepada pelajar Jepun dan apa yang menariknya mereka nampak teruja dengan seni halus budaya kita ini.

‘Wow’ dan ‘amazing’ terpacul secara spontan daripada salah seorang murid Jepun bila mereka melihat contoh tulisan khat jawi yang kami pamerkan. Dan kami juga menjemput mereka untuk sama-sama menulis nama mereka dalam tulisan jawi.

Sebahagian pelajar Jepun ni tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Hanya sebilangan mereka yang mampu bertutur secara ‘fluent English’.

Walaupun tidak fasih bertutur bahasa Inggeris namun teknologi Jepun jauh meninggalkan negara kita, mungkin 10 tahun terkehadapan. Kita perlu sedar bahawa bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya bahasa yang digunakan untuk subjek sains dan teknologi.

Banyak penemuan saintifik seperti Teori Relativiti Einstein ditemui dan diterbitkan dalam Bahasa Jerman dan bukannya bahasa Inggeris.

Baru-baru ini pemenang Anugerah Puskas 2016, Faiz Subri dikritik nitizen kerana tidak fasih berbahasa inggeris sedangkan Faiz Subri mendapat pujian daripada ikon-ikon bolasepak dunia kerana bakat beliau.

Apa yang menariknya tentang pelajar Jepun ini ialah mereka tetap mencuba untuk memahami dan bertutur dengan cara komunikasi bahasa isyarat yang mereka faham dan saya faham. Cukup sekadar memperagakan ‘bahasa tubuh’ pun mampu untuk membuatkan saya faham apa yang mereka cuba sampaikan. Tak perlu nak fluent-fluent English sangat.

Orang Jepun terkenal dengan adab dan kesopanan yang tinggi. Contohnya masa saya suruh mereka sain buku pelawat, elok je mereka beratus ikut siapa sampai dahulu. Mereka juga tidak pernah putus dengan senyuman. Budaya positif ini sewajarnya diikuti oleh pelajar-pelajar kita.

Masa pelajar-pelajar Jepun ini naik tangga menuju ke tempat saya, salah seorang pelajar Jepun tersebut mengutip plastik kuning (yang terbang entah dari mana) dan memasukkannya ke dalam tong sampah.

Tahukah anda negara Jepun sangat terkenal dengan kebersihannya. Sesiapa yang pernah pergi ke Jepun pasti kagum dengan disiplin rakyatnya berbanding dengan sikap dan perangai pengotor sesetengah daripada masyarakat kita.

Mereka juga amat menghormati guru dan orang yang lebih tua. ‘First impression’ bila mereka berjumpa saya, mereka menundukkan kepala sambil mengucapkan hai pada saya. Kualiti ini sebenarnya semakin terhakis daripada pelajar kita kat Malaysia. Kadang-kadang pelajar kita ni jumpa cikgu kat ‘shopping complex’ pun buat tak tau je.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri cukup kagum dengan kejayaan Jepun yang bangkit daripada Perang Dunia Kedua, sehingga menjadi salah sebuah kuasa ekonomi dunia setanding dengan Amerika, Rusia dan Jerman.

Tun pernah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur yang menjadikan negara Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh dalam etika bekerja dan ia memberikan impak positif kepada masyarakat kita sebenarnya.

Kedatangan pelajar Jepun ini mengingatkan saya kepada novel Naratif Ogonshoto karya Sasterawan Negara Dato Anwar Ridhwan yang menjadi teks Kesusasteraan Melayu Elektif (KME) bermula tahun 2015.

Novel ini adalah teks wajib baca bagi setiap pelajar mahupun rakyat Malaysia. Ia menceritakan tentang hubungan budaya masyarakat Malaysia-Jepun. Pergilah cari novel Sasterawan Negara ini dan hadam.