Macam mana saya mula dapatkan rawatan penyakit mental saya? Beberapa tahun saya hidup menahan emosi yang bercelaru, tak boleh tidur malam, apabila tidur mimpi menakutkan. Takut nak tidur. Apabila tertidur, mimpi tadi sambung semula!

Apabila waktu siang, tak cukup rehat. Dengar anak menangis, menjerit, melalak, melolong. Rasa nak tampar-tampar je si anak. Bingit! Kalau kurang sabar, sikit lagi nak dera si anak!

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apabila turun lif, rasa macam akan mati terhempas. Apabila bawa kereta, rasa macam bila-bila masa akan mati kemalangan. Apabila bawa anak ke kedai, bila-bila masa rasa anak akan diculik.

Apabila dah mula fikir macam-macam, dada berdenyut kencang, nafas berombak, dahi berpeluh dingin, tangan menggeletar.

Rasa Nak Mati

Ya Allah apa dah jadi dengan aku ini. Tak tahan. Badan penat tapi nak rehat pun tak boleh. Sampai satu tahap rasa nak berhentikan semuanya tapi macam mana nak berhenti?

Dah ambil wuduk, dah solat, dah doa, dah minta ampun suami, dah maafkan semua orang. Sudahlah rasa diri tak guna, tak dihargai, takut. Sekarang rasa risau melampau mula makan diri.

Aku nak mati! Aku cuma nak stop! Tak tahan! Jerit hati. Tapi tak boleh mati, Allah tak terima orang mati bunuh diri.

Saya bergegas ke klinik kesihatan berdekatan. Apabila masuk bilik jumpa doktor. Doktor tanya ya awak sakit apa? Masa itu saya dah tak ambil pusing seorang lagi doktor dan pesakitnya.

“Saya rasa nak mati.”

Pada masa ini saya cerita semua yang saya alami. Doktor lebih banyak diam sambil-sambil menaip di komputer. Tak lama kemudian, keluar salinan surat untuk dirujuk ke hospital.

Saya kemudian ke hospital. Serah surat bahagian psikiatri. Tak lama kemudian doktor pakar panggil masuk.

“Awak seorang?”

Ya pada masa ini suami saya ada komitmen kerja. Saya bawa anak-anak. Doktor tanya kenapa dan saya ulang cerita macam di klinik tadi tapi kali ini air mata saya menitik lebat. Tak ada malu lagi. Saya mahu sihat.

Doktor dengar dengan baik apa yang saya katakan. Sangat melegakan apabila doktor kata:

“Ini adalah satu penyakit dan bukan salah awak.”

Sepatutnya saya perlu ditahan di wad, disebabkan anak kedua saya masih menyusu badan jadi doktor nasihatkan saya berehat di rumah saja.

Saya diberi ubat yang agak kuat buat 2 minggu pertama. Lebih banyak tidur. Kerja rumah semua ke laut. Mujur suami saya balik tengah hari belikan makanan.

2 minggu kemudian saya kembali berjumpa doktor. Kali ini rasa nak mati, risau sudah mula berkurang sedikit. Sebulan kemudian, rasa nak mati itu sudah tiada.

Risau, down masih ada tapi tidak seteruk bulan-bulan sebelumnya. Kemudian jarak appointment bersama pakar berkurang dari 3 bulan dan sekarang 5 bulan untuk temujanji seterusnya.

Ianya tidaklah teruk sangat seperti yang digambarkan oleh stigma masyarakat yang kononnya apabila jumpa pakar sakit jiwa, kita ini GILA.

Bahkan sewaktu saya menunggu giliran untuk berjumpa doktor, ada juga pesakit lain yang berpakaian kemas siap ber-tie lagi.

Perlu Berani

Untuk mula dapatkan rawatan, anda sendiri perlu BERANI untuk berterus-terang dengan doktor.

Sebelum ini, memang saya sudah dapatkan rawatan tapi KESILAPAN saya, saya berhenti makan ubat dan jumpa doktor SERTA-MERTA kerana pada masa itu saya rasa saya macam orang GILA.

Kesannya, apabila default (berhenti dapatkan rawatan) kesan sakit akan jadi lebih teruk dan untuk sembuh, perlu ambil ubat untuk masa yang lebih panjang.

Saya sendiri dijelaskan oleh doktor, untuk turunkan dos ubat bagi rawatan saya, mungkin mengambil masa lebih kurang 2 tahun.

Pengambilan ubat memang akan ada kesan pada hati, pada masa yang sama doktor nasihatkan saya untuk jaga pemakanan dan bersenam.

Kesimpulan

Jangan takut untuk suarakan apa yang anda rasa. Saya sendiri berkali-kali ke klinik. Apabila orang senyum mengejek, persetankan saja.

Kita kena kuat kalau nak sihat. Ini langkah pertama untuk pecahkan tembok ketakutan.

Kalau anda rasa nak cuba rawatan lain, silakan. Tiada masalah. Apa yang saya ceritakan cuma dari pengalaman saya saja.

Pada masa yang sama;

1. Saya amalkan istighfar sepanjang masa. Kebergantungan pada Allah kena kuat.

2. Saya cuba aroma terapi dengan essential oil (EO). Ada masa, walaupun sudah makan ubat tapi saya masih sukar untuk tidur. Jadi saya calitkan saja sedikit EO di bantal.

3. Saya mula kurangkan makan benda yang manis, fast food, cikedis dan lain-lain.

4. Petang-petang riadah dengan anak-anak (lebih kurang bersenam).

5. Mula wujudkan hobi sebagai terapi (sebelum ini hobi pun tak ada sebab terlalu sibuk risau macam-macam).

6. Bergaul dengan orang. Satu tahap saya pernah rasa terlalu takut nak berjumpa dengan orang. Jiran datang ketuk pintu, saya lari masuk bilik.

Pada awal pengalaman ambil job wedding photography, saya kena panic attack sebab macam terkejut ramai sangat orang, muzik kuat. Rasa nak pitam, nak muntah, mata pun dah naik juling, semua ada.

Job-job seterusnya pun saya masih kena panic attack tapi jangan risau, ianya akan berkurang.

7. Akhir sekali, paling penting, UNFOLLOW semua yang bawa perkara negatif. Kita nak positif kena buang semua perkara yang tak baik.

Kalau perlu unfriend, left group, delete account, buat saja. Bukan nak putus silaturahim pun. Jangan sampai dekat luar pun tak tegur.

8. Muka mesti mau senyum.