Perdana Menteri India, Narendra Modi mengumumkan pada hari Selasa bahawa perintah ‘lockdown’ akan dikuatkuasakan di seluruh India selama 21 hari bermula tengah malam semalam.

Kerajaan India juga telah memberi amaran kepada rakyatnya bahawa mereka perlu lupakan rasa kebebasan buat sementara waktu.

Pada masa ini, jumlah kes coronavirus yang disahkan di negara ini telah melebihi 500 kes. Situasi ini telah memaksa Modi mengarahkan 32 negeri dan wilayah kesatuan untuk mengenakan perintah berkurung bagi tujuan memutuskan rantaian COVID-19 yang menular di negara tersebut.

Sikap Degil Rakyat India

Bagi kebanyakan orang, wabak COVID-19 bermakna mereka perlu mencuci tangan dengan kerap. Manakala ada sesetengah orang yang menganggap bahawa wabak ini hanya ‘satu penyakit yang biasa’ dan ada juga yang mengambil sikap ‘redha dengan apa pun yang terjadi’.

Telah banyak usaha yang dilakukan di India bagi memastikan bahawa ‘sosial distancing’ berjaya dilakukan, namun masih terdapat sebahagian daripada rakyat mereka yang menganggap situasi ini adalah seperti hari-hari biasa.

Kebanyakkan pendapat yang tular di media sosial sekitar India adalah sikap beberapa orang dewasa dan orang tua yang tidak terancam dengan beberapa amaran yang dibuat oleh kerajaan.

Times of India melaporkan pada 22 Mac yang lalu bahawa terdapat gerakan oleh orang muda di sana untuk cuba menakutkan ibu bapa mereka, manakala ada juga yang bercakap mengenai ibu bapanya yang terlalu percaya dengan apa yang diberitakan di dalam aplikasi Whatsapp mereka.

Ribuan anak muda di India mula menyerah kalah dengan sikap orang tua mereka dan ada juga yang mempersoal, adakah mereka perlu terus tinggal dengan orang tua mereka yang degil dan tidak mendengar kata?

Syed Taahir, seorang anak muda dari Karnataka memberitahu Times of India bagaimana beliau rasa kalah dengan situasi ayahnya yang tidak mendengar arahan.

“Ayah saya tidak hiraukan arahan, dia masih keluar untuk berdoa di kuil dan ibu saya masih keluar untuk melakukan kerjanya walaupun dia tahu yang dia mampu dijangkiti dengan wabak ini,” katanya.

Bagi Priya Kathiravan pula, beliau berjaya meyakinkan bapanya berusia 68 tahun dan ibunya berusia 60 tahun untuk tidak kerap keluar dari rumah. Namun beliau menghadapi cabaran baharu apabila kedua-duanya degil untuk mengenakan topeng mulut dan sanitiser ketika mereka keluar mendapatkan barang makanan.

“Mereka keluar untuk mendapatkan barang harian seperti susu atau bahan makanan. Oleh itu, saya meminta mereka untuk sekurang-kurangnya menggunakan topeng dan sanitiser untuk melindungi diri mereka, tetapi mereka hanya ketawakan saya,” katanya.

Reaksi Rakyat India Selepas Perintah ‘Lockdown’ Dikuatkuasa

Sebaik sahaja berita ini mula tersebar, media sosial mula dibanjiri dengan reaksi dari rakyat India. Ada sesetengah yang memuji langkah kerajaan India. Namun ada juga yang mempersoalkan tindakan mereka yang dilakukan dalam masa terlalu terhad.

Ada juga beberapa pakar yang mempersoal tindakan ini kerana tidak memberi ruang kepada rakyat mereka untuk membeli beberapa barang keperluan bagi memastikan mereka masih mampu bernafas dalam masa 21 hari dikunci, lapor News18.

Kebanyakkan rakyat India risau bahawa mereka tidak dapat menjalani perintah ‘lockdown’ jika beberapa perkhidmatan penting tidak disediakan. Namun ia telah dinyatakan oleh PM Modi bahawa farmasi, kedai runci, bahan makanan dan perkhidmatan penting yang lain akan tetap berfungsi seperti biasa.

Perintah ini juga telah mencetuskan panik di kalangan mereka yang jauh dari keluarga – seperti pelajar. Mereka dilaporkan terkandas tanpa bekalan yang mencukupi dan tidak dapat pulang ke rumah kerana semua penerbangan domestik juga telah dibatalkan.

Menyuarakan keprihatinan yang sama, Kiran Mazumdar Shaw, pengerusi dan pengarah urusan Biocon Limited, sebuah syarikat bioteknologi memberitahu CNBC bahawa kerajaan India perlu mengenalkan satu sistem supaya semua perkhidmatan penting mampu berjalan seperti biasa.

Beliau di dalam wawancaranya turut menyokong tindakan kerajaan India mengenakan perintah ‘lockdown’ disebabkan kedegilan rakyat India yang tidak mengikut perintah berkurung sebelum ini.

Situasi sama turut berlaku di Malaysia ketika ini dengan beberapa reaksi degil telah ditunjukkan oleh rakyat Malaysia. Sikap tidak mahu mematuhi arahan telah menyukarkan pihak berkuasa untuk menangani penularan wabak ini.

Untuk bacaan lanjut mengenai COVID-19, klik pautan di bawah untuk membaca. 

Ketua Pengarah WHO Guna Analogi Bola Sepak Untuk ‘Melawan’ Pandemik COVID-19

Selepas COVID-19, Lelaki Maut Kerana Hantavirus Cetus Panik Di China

Orang Ramai Cetus Kesesakan Di Jambatan Pulau Pinang, Tidak Hirau Perintah RMO

Anda Mungkin Suka