Pernahkah kita tertanya-tanya tentang suasana Ramadan di Masjid al-Aqsa? Bagaimana agaknya suasana iftar (berbuka puasa) di Masjid al-Aqsa?

Wujudkah bazar-bazar Ramadan dengan aneka juadah di sana seperti di Malaysia? Wujudkah peluang untuk rakyat Palestin berkumpul dan berbuka puasa bersama-sama ahli keluarga mereka?

Bagaimanakah suasana solat tarawih di Masjid al-Aqsa? Adakah jemaahnya melimpah-ruah seperti masjid-masjid di Malaysia?

Barangkali terdetik soalan-soalan seperti ini tatkala Masjid al-Aqsa terlintas di ingatan kita di bulan Ramadan yang penuh barakah ini.

Ibadah Ramadan di Masjid al-Aqsa Perlukan Permit

Sepertimana kita di Malaysia, bulan Ramadan disambut oleh rakyat Palestin dengan memperbanyak amalan ibadah untuk merebut ganjaran pahala berganda yang dijanjikan Allah SWT di sepanjang bulan ini.

Malah, motivasi untuk mereka beramal dikuatkan lagi dengan keistimewaan yang dimiliki Masjid al-Aqsa sebagai masjid ketiga termulia dalam Islam. Menurut hadis Rasulullah SAW, ibadah di Masjid al-Aqsa mendapat ganjaran pahala 500 kali ganda. Pada bulan Ramadan ganjaran pahala pastinya jauh lebih besar.

Walau bagaimanapun, rakyat Palestin yang ingin mengunjungi Masjid al-Aqsa di sepanjang bulan Ramadan ini perlu memaklumkan hasrat mereka dan mendapat keizinan terlebih dahulu daripada regim Zionis Israel.

Dengan kata lain, rakyat Palestin yang ingin menggandakan pahala mereka di bulan Ramadan dengan beribadah di Masjid al-Aqsa perlu mendapatkan permit daripada regim Zionis Israel!

Permit yang dikeluarkan oleh regim Zionis Israel mempunyai pelbagai jenis dan peringkat. Permit pada hari-hari biasa berbeza dengan permit untuk hari Jumaat, Sabtu, cuti umum dan hari-hari keagamaan seperti bulan Ramadan.

Permit untuk golongan pekerja, ahli perniagaan dan ahli politik berbeza dengan permit untuk mereka yang ingin beribadah di Masjid al-Aqsa, melawat ahli keluarga atau menghadiri majlis perkahwinan dan pengebumian saudara-mara.

Permit untuk warga emas berbeza dengan permit golongan dewasa dan kanak-kanak. Permit untuk lelaki dan wanita juga berbeza.

Secara umumnya, pada hari-hari biasa tiada permit dikenakan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah, wanita berumur 45 tahun dan ke atas, dan warga emas lelaki berumur 55 tahun dan ke atas.

Pada bulan Ramadan, had umur kemasukan tanpa permit biasanya akan diturunkan kepada lelaki dan wanita yang berumur 40 tahun dan ke atas. Kelonggaran juga diberikan kepada wanita semua peringkat umur untuk beribadah di Masjid al-Aqsa pada hari Jumaat dan malam 27 Ramadan (Laylatul Qadr) tanpa permit.

Walau bagaimanapun, kadar had umur ini boleh berubah bergantung kepada ‘mood’ regim Zionis Israel!

Untuk memohon permit masuk ke Masjid al-Aqsa pada bulan Ramadan, pemohon yang layak hanyalah mereka yang berumur 35-40 tahun sahaja. Lelaki dan wanita dari 13-34 tahun dilarang masuk ke Masjid al-Aqsa atas alasan keselamatan.

Alasan ini bukanlah satu perkara yang menghairankan kerana pemuda-pemudi Palestin dalam lingkungan umur ini rata-rata mempunyai rekod polis yang ‘buruk.’ Mereka sama ada pernah ditahan atau dipenjarakan atas pelbagai tuduhan.

Pada bulan Ramadan, permit juga dikenakan kepada rakyat Palestin yang ingin melawat saudara-mara mereka yang tinggal di Baitulmaqdis dan wilayah Palestin 1948 (hari ini negara haram Israel).

Namun, permit ini terhad kepada lawatan ke rumah keluarga (first degree family) atau saudara-mara terdekat (second degree family) sahaja. Had masa lawatan adalah dari jam 8 pagi hingga jam 10 malam. Bagi yang ingin bermalam, mereka perlu mendapatkan permit dengan kebenaran bermalam.

Sistem permit ini kemudian diburukkan lagi dengan sistem ‘checkpoint’ yang berlapis-lapis dan berbeza mengikut kaedah perjalanan. Mereka yang berjalan kaki perlu melalui ‘checkpoint’ yang berbeza dengan mereka yang menaiki kereta dan bas.

Rakyat Palestin perlu merancang perjalanan mereka dan memastikan mereka menggunakan pintu masuk yang betul. Jika tidak, mereka tidak akan dapat memasuki Masjid al-Aqsa sungguh pun memiliki permit.

Dengan kata lain, iktikaf di Masjid al-Aqsa memerlukan permit; iftar di Masjid al-Aqsa memerlukan permit; solat tarawih berjemaah di Masjid al-Aqsa memerlukan permit; bermalam dan berqiamullail di Masjid al-Aqsa memerlukan permit; melawat keluarga dan sanak-saudara di bulan Ramadan untuk berbuka puasa bersama-sama juga memerlukan permit!

Permit Bukan Penghalang

Sungguh pun ibadah Ramadan rakyat Palestin di Masjid al-Aqsa menerima banyak halangan, ia tidak menghalang mereka untuk berpusu-pusu ke masjid ketiga termulia dalam Islam itu dan mengejar ganjaran pahala di bulan Ramadan.

Statistik menunjukkan peningkatan mendadak jumlah permit yang terpaksa dikeluarkan oleh regim Zionis Israel saban tahun. Tahun lalu (2015), regim Zionis Israel terpaksa mengeluarkan 340,000 permit berbanding hanya 31,403 permit pada tahun 2010; pertambahan sebanyak 10 kali ganda!

Usaha Israel untuk menyukarkan perjalanan dan mengendurkan semangat rakyat Palestin untuk beribadah di Masjid al-Aqsa dengan memperkenalkan sistem permit yang rumit jelas tidak berjaya.

Segelintir rakyat Palestin sanggup mengambil risiko sama dengan memanjat pagar dan tembok pemisah di Tebing Barat untuk sampai ke Masjid al-Aqsa.

Sesungguhnya, ibadah bulan Ramadan di Palestin umpama sebuah ‘operasi jihad’ merempuh tembok ‘permit’ yang dicipta oleh regim Zionis Israel. Sukar untuk kita bayangkan perasaan rakyat Palestin yang terpaksa merendahkan diri mereka untuk memohon permit daripada penjajah yang telah membunuh ramai ahli keluarga dan sanak saudara mereka sejak negara haram Israel ditubuhkan (1948).

Sukar untuk kita bayangkan betapa tercabarnya maruah mereka melihat dengan mata kepala sendiri kemewahan yang dinikmati rakyat Yahudi Israel daripada hasil mahsul bumi barakah Palestin yang dirompak dan dirampas ketika mereka mengunjungi ahli keluarga dan sanak-saudara mereka di wilayah Palestin 1948 (kini negara haram Israel). Inilah realiti kehidupan di bawah penjajahan.

Walau bagaimanapun, rakyat Palestin masih tetap teguh bertahan. Regim Zionis Israel sentiasa cuba menyukarkan kehidupan rakyat Palestin agar mereka berhenti menuntut hak mereka atau berpindah keluar dan melupakan terus perjuangan mereka untuk memerdekakan Palestin.

Sehingga hari ini, regim Zionis Israel tidak berjaya melakukannya. Setiap kali mereka cuba untuk menghapuskan perjuangan rakyat Palestin, akan lahir generasi baru untuk mengibarkan panji perjuangan yang seterusnya.

Ayuh Bersama Pelihara Masjid al-Aqsa

Ramadan ini, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) melalui Aqsa Syarif sedang menyusun bantuan Ramadan ke 18 buah negara termasuk ke Masjid al-Aqsa di Palestin.

MyCARE akan menyalurkan bantuan berupa sahur, berbuka puasa, pek makanan dan hadiah hari raya kepada rakyat Palestin yang berkunjung ke Masjid al-Aqsa dan penduduk Baitulmaqdis. Jumlah keseluruhan bantuan dianggarkan bernilai RM300,000.

Bantuan ini diharap akan dapat mengurangkan sedikit beban mereka sekaligus membakar semangat mereka untuk terus mempertahankan Masjid al-Aqsa. Sama-sama kita doakan semoga Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin kembali merdeka.