Jika anda adalah pembaca Vocket sejak 2 tahun lepas, mungkin anda masih ingat kisah seorang pemuda yang berjaya penuhi impian  sejak kecil beliau untuk travel overland dari Malaysia hingga ke UK. Beliau yang saya maksudkan adalah Menk Mahawangsa.

Baca: Kenangan Masa Kecil Bawa Lelaki Ini ‘Travel By Land’ 6 Bulan Dari Malaysia Ke Eropah

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kini Menk menetap di Bosnia dan menawarkan pakej melancong serta tour guide di negara tersebut buat rakyat Malaysia yang ingin travel ke sana.

Namun apa yang ingin saya kongsikan hari ini bukanlah tentang pakej melancong yang beliau tawarkan. Tetapi bagaimana daripada pakej ini beliau telah secara tak sengaja turut terlibat membantu warga miskin Bosnia.

Segalanya bermula pada Ramadhan tahun lepas apabila sekumpulan pelajar Malaysia dari UK telah menghubungi beliau dan menyatakan hasrat untuk travel ke Bosnia sambil menghulurkan derma yang telah mereka kumpulkan.

Baca: Pengalaman Menarik Pelajar Malaysia Jayakan Misi Bantuan Untuk Penduduk Miskin Bosnia

Bertitik tolak daripada itu Menk telah membuka Facebook Page Salam Untuk Bosnia agar dapat beliau kongsikan perkembangan terkini tentang sebarang aktiviti dan bantuan yang disalurkan kepada penduduk miskin Bosnia.

Cuba menyelami perasaan beliau selepas menganjurkan trip sebegini, ujar Menk,

“Perasaan saya bercampur baur bila dapat uruskan trip seperti ini. Yang pertama terharu dengan mereka yang datang dari jauh untuk melawat Bosnia, sanggup kutip derma semata-mata untuk buat kerja amal.

Kedua saya gembira kerana dapat berkongsi dengan rakyat Malaysia keadaan sebenar kehidupan rakyat Bosnia yang susah. Ketiga sedih kerana kami akan melihat keadaan hidup mereka yang daif dan mendengar kisah sedih akan kesusahan mereka.”

Namun menurut Menk, beliau tetap gembira kerana dengan trip sebeginilah selalunya akan membawa beliau meneroka lokasi baru yang menarik dan tidak begitu diketahui umum.

“Biasanya ada sahaja tempat baru yang saya pergi dan apabila pergi memberi bantuan, saya dapat lihat lebih banyak kawasan ceruk yang tidak diketahui umum dan di situlah alam semulajadinya sangat segar dan belum tercemar.”

Bertanya lebih lanjut tentang apakah faktor yang menyebabkan kemiskinan masih menyelubungi penduduk di sini meskipun telah lama merdeka, Menk berkongsi perkara berikut:

1. Bosnia Herzegovina merupakan sebuah negara yang memiliki alam semulajadi yang menakjubkan. Gunung-ganang, punca air mata air dan juga sungai yang biru hijau mengalir di sepanjang negara ini menjadi tarikan yang amat mengasyikkan.

2. Negara ini juga mempunyai adat istiadat yang juga menarik terutama dari segi pengaruh Islam yang bercanggah dengan kehidupan di benua Eropah. Faktor pernah berada di bawah kerajaan Uthmaniyyah selama 500 tahun menjadikan budayanya turut diwarnai elemen empayar yang pernah gemilang ini.

3. Tapi malang sekali Bosnia pernah menjadi rebutan ramai pihak sehingga boleh dikatakan berlaku perang setiap 50 tahun. Dan perang terkini telah berlaku 25 tahun yang lepas. Ia merupakan perang etnik, keturunan dan agama di mana penduduk Muslim Bosniak ditindas.

4. Walaupun sudah lebih 20 tahun merdeka, penindasan terhadap Muslim Bosniak terutamanya yang hidup di kawasan entiti kerajaan Republik Srpska masih berlaku. Ini kerana majoriti penduduk di sini adalah etnik Serb.

Menurut Menk, sehingga kini sudah 5 trip bersifat travel sambil beramal di Bosnia telah berjaya dianjurkan, termasuk trip korban dan akikah yang diadakan pada Raya Haji tahun lepas.

Trip terkini yang telah diaturkan adalah atas permintaan pasangan suami isteri daripada Singapura yang ingin menyampaikan sumbangan musim sejuk.

Bagi Menk sendiri beliau bersyukur kerana dapat mempertemukan 2 pihak iaitu mereka yang ingin beramal dan insan yang memerlukan bantuan. “Saya menganggap tugas ini sebagai satu amanah. Lagipun tugas saya hanyalah sebagai pengantara antara kedua belah pihak.”

Mengapakah penduduk Bosnia masih miskin meskipun sudah lama merdeka?

Berikut adalah jawapan Menk.

1. Perang Bosnia merupakan sebuah konflik bersenjata antarabangsa yang terjadi di Bosnia dan Herzegovina pada tahun 1 Mac 1992 hingga 14 Disember 1995. Ia telah menjadi peperangan etnik mengikut keturunan agama masing-masing dia antara 3 pihak iaitu – Muslim Bosniak, Katolik Croat dan Ortodox Serb.

Pihak-pihak utama yang bertelagah adalah tentera Republik Bosnia dan Herzegovina dan pihak-pihak Serb dan Croat Bosnia mereka yang membuat pengistiharan sendiri akan entiti berasingan di dalam wilayah Bosnia dan Herzegovina, Republik Srpska dan Herzeg-Bosnia, yang mana telah dipimpin dan disokong oleh Serbia dan Croatia.

2. Perang ini merupakan sebahagian peristiwa yang berlaku selepas perpecahan Yugoslavia. Selepas pemisahan Slovenia dan Croatia daripada Republik Persekutuan Sosialis Yugoslavia pada tahun 1991, negeri pelbagai etnik Republik Sosialis Bosnia dan Herzegovina, yang didiami oleh Muslim Bosniaks (44 %), selain etnik Serb Ortodok (32.5 %) dan Croat Katolik (17 %), telah meluluskan satu referendum untuk merdeka pada 29 Februari 1992.

3. Referendum ini telah ditolak oleh para perwakilan Serb Bosnia, yang telah memboikot referendum ini dan mewujudkan republik mereka sendiri.

Berikutan pengistiharan kemerdekaan Bosnia dan Herzegovina (yang mana mendapat pengiktirafan antarabangsa), Serb Bosnia, diketuai oleh Radovan Karadžić dan disokong oleh kerajaan Serbia yang dipimpin oleh Slobodan Milošević dan Tentera Rakyat Yugoslavia (JNA), menggerakan pasukan tentera mereka mara ke dalam Republik Bosnia dan Herzegovina sebagai langkah untuk mengawal wilayah Serb, kemudian merebak ke seluruh negara. Mereka juga melakukan penghapusan etnik Bosnia, terutamanya di timur Bosnia dan seluruh Republika Srpska.

4. Perang Bosnia digambarkan sebagai peperangan yang pahit, pengeboman sembarangan ke atas bandar dan kota, penghapusan etnik dan perogolan massa secara sistematik, kebanyakan dilakukan oleh tentera Serb.

Peristiwa-peristiwa seperti Pengepungan Sarajevo dan pembunuhan beramai-ramai Srebrenica kemudian menjadi ikon konflik ini.

5. Anggaran terkini mencadangkan angka korban adalah sekitar 100,000 orang telah terbunuh semasa perang. Seramai 2.2 juta orang telah kehilangan rumah, menjadikan ia sebuah konflik yang paling membinasakan di Eropah sejak berkahirnya Perang Dunia II.

Selain itu, dianggarkan 20,000 wanita telah dirogol, kebanyakan mereka adalah etnik Bosniak.

Pelajar Malaysia di Jordan turut travel ke Bosnia sambil beramal dan menghukurkan sumbangan.

6. Perjanjian Dayton ditandatangi pada 21 Nov 1995 di Ohio, Amerika Syarikat menamatkan pertelingkahan antara etnik lebih 3 tahun yang menyebabkan ribuan rakyat tidak berdosa terbunuh.

Antara isi kandungan perjanjian Dayton ialah negara Bosnia Herzegovina secara politiknya terbahagi kepada dua atonomi entiti kerajaan di mana separuh di bawah kerajaan ‘Federation of Bosnia and Herzegovina’ di mana majoritinya penduduk Bosniak dan Croat, dan separuh lagi di bawah kerajaan ‘Republika Srpska’ di mana majoriti penduduknya ialah etnik Serb dimana kedua-dua kerajaan ini diabahagikan secara geografinya 51% dan 49%.

Jangan keliru, kerana kedua-dua entiti autonomi ini masih di dalam negara Bosnia Herzegovina. Secara statistiknya terdapat 3.5 juta penduduk (50% etnik Bosniak Muslim, 30% etnik Serb Orthodox dan 20% etnik Croat Catolik) di Bosnia Herzegovina.

Di entiti ‘Federation’ (70% etnik Bosniak Muslim, 25% etnik Croat Catolik dan 5% etnik Serb Ortodox) dan di entiti ‘Republika Srpska’ (82% etnik Serb Ortodox, 14% etnik Bosniak Muslim dan 4% etnik Croat Katolik).

7. Secara keseluruhannya terkini, boleh dikatakan lebih seramai 53 % penduduk Bosnia Herzegovina yang menganggur.

Boleh dikatakan jumlah Bosniak Muslims di dunia mempunyai jumlah seramai 4 juta orang dan lebih kurang 2 juta Bosniak Muslim menetap di luar Bosnia Herzegovina kerana peluang pekerjaan lebih mudah dan lumayan di luar Bosnia.

Sudah menjadi perkara biasa jika cita-cita para muda Bosniak Muslim untuk bekerja di luar Bosnia suatu hari nanti.

8. Akibat daripada penindasan dan peperangan di Bosnia, semua benda telah hancur seperti rumah, flat, faktori, pertanian, perladangan dan infrastruktur bangunan.

Penduduk Bosniak Muslim bertaburan di sekeliling dunia. Teradapat ramai di penempatan semula pelarian di kawasan entiti Federation. Proses pengembalian penduduk Bosniak Muslim di kawasan entiti Republik Srpska pun telah bermula setelah berlakunya perjanjian Dayton.

Ramai Bosniak Muslim telah terkorban dan tercedera  akibat perang. Bagi yang masih hidup pula mereka tetap mencari peluang untuk kembali ke tanah mereka di kawasan ini dan pulang ke rumah walau apa pun yang terjadi.

9. Sebelum berlakunya perang, seramai 43% Muslim Bosniak yand duduk di kawasan entiti Republik of Srpska tetapi kini setelah berlakunya penindasan dan peperangan Bosnia – hanya 14% sahaja Muslim Bosniak yang mendiami kawasan ini.

Namun mereka masih hidup dalam kesusahan kerana memang sukar sekali untuk mendapat pekerjaan kerana mereka Muslim. Rumah mereka juga perlu dibina semula akibat perang dan kebanyakan mereka masih hidup dalam rumah kayu yang kurang sesuai apablia hadirnya musim sejuk.

Walaupun mereka masih boleh bercucuk tanam dan menjalankan aktiviti penternakan tetapi mereka masih memerlukan wang untuk makanan ternakan, kayu api untuk musim sejuk, membayar bil elektrik dan bil air di mana kerajaan Srpska tidak bertolak ansur dengan penduduk Muslim Bosniak.

Mereka yang mempunyai masalah kesihatan pula, tidak mampu membayar kos rawatan dan hanya mampu biarkan keadaan kesihatan yang terjejas berlarutan.

10. Bagi kanak-kanak Bosniak Muslim pula, mereka mempunyai masalah apabila tidak mampu membayar tambang bas sekolah dan alatan persekolahan. Mereka juga tidak dibenarkan mempelajari bahas ‘native Bosnian’. Mereka juga tidak mempunyai ramai kawan-kawan kerana majoritinya bukan Bosniak Muslim

Setelah berada di Bosnia selama 8 bulan, saya pun sudah beberapa kali membuat misi kemanusian ke kawasan di mana Bosniak Muslim ditindas. Secara tidak langsung ini telah membuka mata saya untuk melihat keadaan sebenar dan realiti di sini.

Boleh dikatakan keadaan di sini seperti di Palestin di mana penduduk muslim diberi tekanan yang hebat untuk meninggalkan rumah mereka yang terletak di kawasan majoriti penduduknya adalah etnik Serb.

Alhamdulillah ramai pelancong dan pelawat dari Malaysia yang hadir dengan niat untuk membantu dan secara tidak sengaja kami dapat hulurkan bantuan dengan apa cara yang kami boleh.

Reaksi mereka yang terima bantuan

Bagi Menk, sudah biasa bagi beliau melihat tangisan air mata dan rasa terharu mereka yang menerima bantuan. “Biasanya yang perempuan akan berpelukan sebelum berpisah.

Bagi kanak-kanak pula tergambar kegembiraaan di wajah mereka kerana ada pengunjung dari luar negara sudi menjenguk mereka di sini.

Walaupun berbeza bahasa, biasanya mereka bercerita panjang kerana kamilah tempat luahan hati mereka. Mereka juga perlukan sokongan dari segi mental supaya sentiasa tabah dan sabar.

Dengan kehadiran kami, mereka mendapat sokongan moral secara tidak langsung. Mereka terharu kerana ada saudara seagama dari negara yang terletak sangat jauh dari Bosnia masih sudi datang melawat mereka.”

Bagaimana kenalpasti mereka yang perlukan bantuan?

Bantuan ini berjaya disalurkan hasil bantuan rakan beliau Samir Okic yang menguruskan perbadanan Svetlo Nur-Nur. Samir banyak membantu Menk dalam mengenalpasti mereka yang layak menerima bantuan.

“Samir merupakan veteran tentera yang mempertahankan kampung dia di Vlasenica semasa perang dengan Serbia dahulu. Samir juga menjadi perantara komunikasi dengan penduduk tempatan di kawasan Republic of Srpska di dalam Bosnia Herzegovina.”

Dari kiri: Samir, anak saudara Samir yang bernama Tarik Dzindo, menjadi perantara kerana boleh berbahasa Inggeris dan Menk.

Peristiwa paling tak dapat dilupakan sehingga kini

Satu peristiwa yang saya tak akan lupa ialah bila saya dapat terokai satu kampung di kawasan bukit yang bersempadan dengan Serbia. Kami membawa pakej sebanyak 20 kotak untuk memberi bantuan kepada kampung Krusev Do dan Luka.

Perjalanan ke sana pun agak sukar kerana kami memandu Combi. Dan kami perlu pandu di atas tanah merah selama sejam setengah mendaki bukit.

Kampung Krusev Do ini dikatakan mempunyai seramai 400 orang penduduk sebelum perang meletus. Tapi kini hanya terdapat 36 orang sahaja penduduk di kampung ini.

Terkejut beruk saya tentang fakta ini dan bandar terdekat dari kampung ini mengambil selama sejam memandu melalui tanah merah. Saya berkesempatan duduk berborak dengan mereka.

Mereka ceritakan bahawa mereka hidup dengan bercucuk tanam dan hasil mereka dapat di jual secara kecil-kecilan untuk membeli bahan makanan dan menggunakan elektrik. Masalah mereka apabila tibanya musim sejuk dan salji turun dengan lebat.

Mereka pernah terperangkap di kampungselama 3 bulan kerana laluan ke bandar ditutup salji yang teramat tebal dan tidak dapat dilalui.

Saya tidak boleh bayang macam mana dan saya percaya keadaan ini boleh berlaku di sana sekarang. Sedangkan saya sendiri kini sedang melalui musim sejuk dengan salji yang turun selama beberapa hari.

Suhu pula pernah mencecah -22C baru-baru ini di Sarajevo. Apatah lagi bagi penduduk di kampung tersebut. Suhu di kampung mereka mungkin boleh turun ke serendah -35C kerana ia terletak di kawasan pergunungan. Sudah menjadi rutin tahunan mereka menyimpan stok makanan selamat 3 bulan sebelum musim sejuk bermula.

Walaupun keadaan mereka sebegini tetapi di kampung inilah saya dapat menghirup udara yang paling segar, suasana yang paling menenangkan dan alam semulajadi terindah. Ia buat saya rasa teramat bersyukur kerana diberikan peluang untuk merasai pengalaman sebegini.

Buat Menk, terima kasih sudi berkongsi di Vocket. Bagi pihak Vocket dan juga para pembaca, kami doakan usaha Menk ini akan berterusan dan menerima lebih banyak bantuan.

Hakikatnya bukan semua travel dan melancong itu bersifat untuk mencari keseronokan dan melawat lokasi tarikan pelancongsn. Maka tidak hairanlah ada yang sanggup meninggalkan keselesaan hidup dan keluar mengembara dengan memilih jalan berbeza, kerana bagi mereka itu lebih memberi makna.

Bagi anda yang ingin mengikuti perkembangan terkini tentang aktiviti bantuan kemanusiaan di Bosnia, anda boleh ikuti Facebook Page Salam Untuk Bosnia.

Jika anda juga berminat untuk membantu dan menghulurkan sumbangan, boleh hubungi Menk di page tersebut. Saudara kita di Bosnia memerlukan bantuan anda.