Pada masa kini, golongan wanita yang bekerjaya memilih untuk berkasut tumit tinggi sebagai salah satu aksesori penting selain beg tangan. Bagi mereka, memakai kasut tumit tinggi menyerlahkan keanggunan diri dan membuatkan mereka rasa lebih bergaya.

Semakin tinggi inci kasut tumit tersebut, semakin bertambah tahap keyakinan diri.

Dunia kerjaya juga mendedahkan wanita dengan orang berpangkat tinggi, orang ternama dan orang ramai. Oleh itu, penampilan diri amat dititikberatkan untuk meningkatkan keyakinan diri dan menampilkan imej positif syarikat.

https://www.youtube.com/watch?v=3LPwMaNb8sg

Setelah membaca banyak kajian saintifik, kes-kes berkaitan mahupun rujukan tambahan, wanita yang berkasut tumit tinggi biasanya menerima impak yang akan memudaratkan diri apabila kerap memakai kasut tumit tinggi.

Kasut tumit tinggi juga boleh dijadikan sebagai satu alat untuk mencederakan pihak lain. Contoh seperti dua kes berikut:

1. Pukul Teman Lelaki

Kejadian berlaku di kondominium di Houston, Texas berikutan seorang wanita berumur 45 tahun dihukum penjara seumur hidup kerana bertindak kejam menggunakan kasut tumit tinggi 13 cm untuk memukul muka dan leher teman lelakinya sekurang-kurangnya sebanyak 25 kali akibat berlakunya pertengkaran antara mereka.
– Keratan akhbar Utusan Malaysia, 3 Mei 2014

2. Cederakan Anak Murid

Kementerian Pelajaran mengarahkan Jabatan Pelajaran Kedah mengemukakan laporan berhubung kes guru didakwa mencederakan kepala 3 orang murid darjah 4 dengan kasut tumit tinggi.
– Keratan akhbar Berita Harian, 27 Februari 2007

Walau bagaimanapun, bahaya sebenar penggunaan kasut tumit tinggi adalah dari aspek kesihatan untuk jangka masa panjang.

high-heels

Kasut Tumit Tinggi Memberi Impak Negatif. Apa Kata Pakar?

S. M. Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

1. Kasut tumit tinggi direka untuk menolak dada ke depan dan punggung ke belakang sehingga spina dan pinggul terkeluar daripada kedudukan asalnya mengakibatkan timbulnya masalah kesihatan pada kaki dan keseluruhan badan.
2. Pemakaian kasut tumit tinggi yang terlalu lama boleh menyebabkan kencing tidak lawas, masalah belakang dan tulang pinggul.
3. Boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian rahang, leher dan kepala, gangguan kitaran haid yang membawa kepada masalah kesuburan.
4. Pemakaian selama bertahun-tahun akan mengalami tendon Achhilles menjadi pendek hingga menyebabkan sakit tumit.
5. Boleh mengubah cara jalan seseorang dengan mengenakan pusat graviti ke atas bebola kaki dan meletakkan tekanan berlebihan sehingga 26% pada lutut iaitu kes biasa osteoporosis.

Prof. Madya Dr. John Marymont, Pakar Pembedahan Ortopedik, Kolej Perubatan Baylor, Houston

1. Seseorang yang memakai kasut bertumit 2.5 inci memberi 50%, manakala kasut bertumit 3 inci memberi 76% tekanan pada kaki.
2. Masalah lebih menyakitkan ialah neuroma iaitu kaki dipaksa masuk ke dalam kasut tumit tinggi yang ketat dan runcing di depan, kemudian akan menekan saraf dan tisu mula terbentuk di sekitar saraf yang menyebabkan kesakitan sehingga pembedahan perlu dilakukan.
3. Berlaku pembesaran tulang bahagian belakang kaki sehingga kaki bengkak, merah dan menyakitkan.
4. Pergelangan kaki terseliuh di bahagian buku lali kerana sukar mengimbang badan.

Mr. Edmund Lee, Pengarah Urusan MyOrtho & Pakar Orthotik dan Prostetik

1. Masalah yang kerap berlaku adalah bunion (hallux valgus) iaitu ibu jari kaki masuk ke dalam ke arah jari kedua mengakibatkan benjolan pada bahagian luar kaki di sebelah ibu jari kaki
2. Pemakaian kasut tumit tinggi yang bertutup di hadapan dan runcing menyebabkan darah tidak dapat bergerak dengan betul akibat tersekat
3. Betis memendek dan tegang kerana tumit tertolak ke atas menyebabkan kaki kerap mengalami kekejangan dan sakit di bahagian tumit
4. Kulit pada bahagian kaki menerima tekanan akan mengeras termasuklah bahagian tapak kaki, di bawah jari dan bahagian tepi hujung kaki
5. Kesakitan lutut menyebabkan badan tidak stabil
6. Saraf bengkak/menebal pada bola kaki iaitu morton’s neuroma, pembesaran tulang di belakang tumit (kecacatan haglund) dan jari bengkok (claw hammer)
7. Sakit tulang belakang – pinggul condong ke depan dan menambahkan lengkungan pada tulang belakang

kasut tumit tinggi

Dr. Asmah Yun Mat Sidek, Pakar Perbidanan & Ginekologi, Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI)

1. Wanita yang mengandung perlu elak dari memakai kasut tumit tinggi lebih daripada 1.5 inci kerana pusat graviti akan beralih ketika mengandung, manakala pelvis berubah bentuk dan menanggung bebanan tambahan disebabkan oleh berat bayi yang dikandung.
2. Selain itu, pemakaian kasut tumit tinggi sudah pasti mengubah cara seseorang wanita yang hamil berjalan.

Apa Yang Boleh Dibuat Jika Tetap Mahu Pakai Kasut Tumit Tinggi?

1. Pakai tumit yang tebal, bukan runcing tajam. Mungkin bentuk tumit seperti wedges.
2. Untuk menjaga kestabilan dan kesihatan kaki, dicadangkan guna tumit kasut yang tingginya kurang dari 4cm.
3. Memakai tapak dalam kasut yang lembut untuk mengurangkan tekanan pada lutut anda.
4. Sentiasa bertukar ganti antara memakai kasut tumit tinggi dan kasut tumit rendah. Contoh pakai tumit kasut tinggi 2-3 hari seminggu sahaja.
5. Buka kasut tumit tinggi ketika anda duduk di meja kerja dan lakukan senaman regangan kaki.