Kebelakangan ini cuaca media sosial hangat dengan pertikaian mengenai keperluan mengambil supplement rentetan daripada tularnya tweet pakar perubatan mengenai bahana supplement yang boleh mengakibatkan kerosakan hati dan buah pinggang.

Tweet ini bagaimanapun mendapat respon daripada pakar perubatan lain yang menafikannya dan menyatakan kerosakan organ dalaman kita disebabkan dos yang berlebihan. Maka di situ terbahagilah netizen kepada dua, itu pro-supplement dan anti-supplement.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sebelum itu, izinkan diri al-faqir memberi pencerahan mengenai apa itu dietary supplement.

Dietary supplement adalah makanan tambahan yang membekalkan nutrien tertentu kepada badan, selain daripada makanan harian kita. Ia selalunya diambil dalam bentuk tablet, kapsul, serbuk, gel, sirap, minuman atau energy bar.

Makanan tambahan ini terbahagi kepada beberapa jenis seperti:

1. Supplement vitamin dan mineral (contoh: vitamin B, C, Multivitamin, Kalsium, Zat Besi dll.)
2. Supplement khas (contoh: Omega-3, Fiber, Probiotik, Glucosamine, dll.)
3. Herba dan tumbuhan (contoh: greentea, bawang putih, gingkgo biloba, gingseng )
4. Pemakanan sukan
5. Kecantikan (contoh: protein, garcinia cambogia, kolagen, dll.).

Pada dasarnya, badan kita tidak memerlukan supplement bilamana kita mengamalkan pattern pemakanan yang seimbang dan sihat. Pun begitu, terdapat beberapa kondisi yang memerlukan makanan tambahan ini diambil kerana faktor kesihatan, umur, penyakit dan sebagainya.

Sebagai contoh, pesakit yang mengalami luka yang dalam atau kebakaran yang teruk, memerlukan tambahan protein yang lebih tinggi daripada orang normal. Jikalau mereka tidak mampu mencapai keperluan melalui pemakanan biasa, maka disarankan mereka mengambil supplement protein seperti Myotein atau Whey Protein untuk menampung keperluan mereka itu.

Begitu juga situasinya pesakit yang mengalami Anemia atau kurang Haemoglobin (Hb) dalam darah. Mereka boleh mengambil supplement Iron atau Zat Besi untuk menambah kandungan Hb, selain supplement vitamin C yang membantu penyerapan Zat Besi tadi.

Kedua-dua situasi ini memerlukan preskripsi daripada mereka yang bertauliah, bukannya diambil dos dengan sesuka hati. Selain itu terdapat juga situasi di mana seseorang yang sihat badan, tetapi dalam keadaan hamil atau merancang untuk hamil. Supplement seperti Asid Folik (Folate) boleh diambil untuk mengurangkan risiko kecacatan neural tube defect kepada kandungannya.

Begitu juga supplement vitamin D dan Kalsium, disyorkan untuk diambil oleh golongan warga emas atau wanita menopaus yang berisiko mengalami kerapuhan tulang, walaupun mereka sihat. Akan tetapi, sekali lagi ditegaskan bahawa pengambilan dos supplement berkenaan juga adalah berdasarkan preskripsi daripada mereka yang bertauliah.

Terdapat juga situasi di mana kita tidak dibolehkan mengambil supplement.

Sebagai contoh, pesakit Kegagalan Buah Pinggang Tahap 3 dan 4 (sebelum menjalani Dialisis) tidak dibenarkan mengambil supplement yang berasaskan protein, termasuklah kolagen atau glutamine (kecuali dalam keadaan yang memerlukan).

Ini kerana pengambilan protein pada tahap ini tersangatlah dihadkan bagi mengurangkan bebanan kepada buah pinggang dan paras urea yang tinggi dalam darah (Hyperuricaemia).

Supplement yang berasaskan herba seperti gingseng, gingkgo biloba, aloe vera boleh mengakibatkan interaksi dengan ubatan seperti Warfarin dan Aspirin.

Begitu juga pengambilan supplement yang berasaskan kombinasi antara greentea, guarana, ma-huang dan kafein yang memberi kesan ‘stimulant’ berganda kepada badan, boleh membahayakan pengambilnya, terutamanya mereka yang menghidap Penyakit Jantung dan Darah Tinggi.

Berbalik kepada apa yang didakwa pakar-pakar perubatan di atas, kedua-duanya adalah benar. Mungkin apa yang mengelirukan netizen adalah tidak disebut jenis dan dos supplement yang mengakibatkan kegagalan hati dan buah pinggang, di samping conflict of interest di pihak yang menyangkal.

Apa yang difahami, supplement yang dimaksudkan adalah so-called produk kesihatan dan kecantikan seperti ‘Jus Kalkatu Perak’ (bukan nama sebenar), ‘Kopi Garam Bulan’ (bukan nama sebenar), ‘Kapsul Goyang-goyang’ (bukan nama sebenar), ‘Air al-Kaali’ (bukan nama sebenar) yang kian menular diambil oleh masyarakat kita pada hari ini.

Berselindung di sebalik istilah ‘makanan sunnah’, ‘lulus KKM’, ‘alami’ ‘herba’, ‘tanpa pengawet’, ‘organik’, ‘berkongsi kebaikan’, ‘flawless’, ‘gebu-gebas’, ‘genius’ dan testimoni-testimoni yang gah, para pengeluar, pengedar dan penjual giat mempromosikan produk mereka di kaca TV, corong radio, media sosial mahupun jualan langsung.

Secara tidak langsung, pendedahan kepada maklumat secara berterusan seperti ini telah memberi impak pada pemikiran masyarakat untuk menerima produk mereka sebagai alternatif kepada ubatan hospital atau ‘makanan pencegah penyakit’. Ditambah dengan doktrinisasi yang tidak beretika seperti overclaimed dan misconception mengenai sesetengah nutrien, boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Ayat seperti, “Sampai bila mahu begantung pada ubat hospital?”, walhal tidak pula dipertikai apabila kebergantungan pada produk berkenaan yang berpuluh-puluh kali ganda harganya berbanding dengan ubat hospital sehingga seumur hidup.

“Tadi Encik Suami bawak pegi kenduri..so apa lagi, terlebih makanlah sis. Nasib baik ada kapsul L nie, telan jer 2 biji, terus detox dan bakar lemak!”, sedangkan pesakit kolesterol tinggi (Dislipidemia) yang ambil ‘Simvastatin’ dan pesakit diabetik yang ambil ‘Metformin’ atau ‘Insulin’ pun kena jaga makan, inikan pula yang tidak ambil apa-apa ubatan;

“Hari nie sis rasa lenguh-lenguh sendi dan tak sedap badan so apa lagi, sis terus minum Jus H nie, terus hilang lenguh-lenguh sendi dan sakit-sakit badan!”, padahal sebelum ini dialah yang ‘anti’ sangat dengan ‘pain-killer’.

“Doktor pun terkejut tengok result darah saya!”, memanglah terkejut. Dah HbA1C (purata gula dalam darah selama 3 bulan) dari 6 lebih naik ke belas-belas, siap bacaan Urea dan Creatinine (penanda aras status buah pinggang) juga meningkat melebihi had normal, maunya doktor tak terkejut.

Selain itu, ada juga yang mengetengahkan so-called produk kesihatan yang masih lagi dalam peringkat ujian makmal seperti teh rerama, greentea dan durian belanda, dikatakan mempunyai pelbagai khasiat sehingga dapat merawat kanser.

Sebenarnya, untuk menjalankan sesuatu ujikaji ubat, keberkesanannya perlu dibuktikan melalui 2 tahap iaitu ujian preliminary(ujian yang dilakukan dalam makmal/in vitro) dan ujian klinikal(yang dilakukan pada manusia/in vivo). Ini kerana majoriti daripada ekstrak tumbuhan ini menjadi tidak stabil apabila ianya masuk ke dalam badan.

Akhirnya, tumbuhan yang dikatakan mampu merawat kanser , mengalahkan ‘chemo’ sebenarnya tidak mampu pun merawat kanser kerana apabila masuk je dalam saluran pencernaan, ianya diuraikan oleh enzyme di dalam badan. Untuk pengetahuan, teh rerama, durian belanda dan green tea hanya baru mencapai tahap ujian preliminary sahaja.

Produk kesihatan berdasarkan makananan Sunnah juga tidak kurang popularnya. Produk yang dikatakan ‘penghulu segala produk’ ini selalunya terdiri daripada campuran habbatus sauda’, madu, za’faran, kurma, kismis, tin, susu kambing, al-manna dan sebaginya.

Sebenarnya, tidak salah pun mengambil makanan seperti ini, malah ia adalah menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W. Akan tetapi, kita acapkali fokus kepada makanan berkenaan, bukan kepada amalan yang dipraktikkan Baginda.

Mengambil ekstrak kurma sebagai contoh, tidak sama dengan mengambil kurma dalam bentuk asalnya. Ini kerana komposisi nutrien dalam ekstrak lebih banyak berbanding dengan dalam bentuk asalnya. Itu tidak termasuk bahan pengawet yang dicampur untuk menjadikan produk berkenaan tahan lama.

Diriwayatkan (HR. Al-Bukhari no. 5684 dan Muslim no. 5731), ada seorang lelaki datang menghadap Rasulullah S.A.W, ia berkata:

“Saudaraku mengeluhkan sakit pada perutnya.” Rasulullah berkata: “Minumkan ia madu.” Kemudian orang itu datang untuk kedua kalinya, Baginda berkata: “Minumkan ia madu.” Orang itu datang lagi pada kali yang ketiga, Baginda tetap berkata: “Minumkan ia madu.” Setelah itu, orang itu datang lagi dan menyatakan: “Aku telah melakukannya (namun belum sembuh juga malah bertambah sakit).”

Rasulullah bersabda: “Allah Maha Benar dan perut saudaramu itu dusta. Minumkan lagi madu.” Orang itu meminumkannya lagi, maka saudaranya pun sembuh. Ini memberikan kefahaman bahawa di sini wajibnya digabungkan antara makanan itu sendiri dengan cara ia kita makan dan keadaan penyakit yang dialami (boleh rujuk ‘syarah’ Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah RA dan Ibnu Hajar Al-Asqalani RA mengenai hadith ini).

Di samping itu, ada sesetengah pengeluar yang meng’highlight‘kan ‘lulus KKM’ sebagai daya penarik kepada orang ramai supaya tidak ragu-ragu membeli produk mereka.

Untuk pengetahuan, produk kesihatan, terutamanya dalam bentuk supplement adalah dikategorikan sebagai makanan dan ia sebenarnya tidak perlu melalui ujian klinikal Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) seperti produk farmaseutikal dan kosmetik, sebelum dipasarkan.

Akan tetapi produk-produk ini dikawalselia oleh pihak Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) dan adalah dilarang untuk pengeluar, pengedar dan penjual makanan tambahan membuat sebarang tuntutan perubatan seperti mencegah, merawat atau menyembuhkan penyakit.

Tuntasnya, kembali kepada perkara asas, iaitu dapatkan semua nutrien dan zat yang diperlukan melalui pemakanan secara sihat, pelbagai dan seimbang.

Sekiranya terbukti, kita kekurangan atau memerlukan suatu nutrien lebih daripada kadar biasa, rujuklah dahulu mereka yang ahli dalam bidangnya.

Seeloknya, buat ujian bagi memberi kepastian terhadap simptom-simptom yang dialami, bukan sekadar membuat andaian sendiri.

Jika mahu supplement atau produk kesihatan juga, sila baca dahulu kandungan produk berkenaan dan buat kajian, timbang-tara akannya.

Sekiranya tidak pasti, bertanyalah pada mereka yang lebih arif dan bertauliah. Memanglah mereka tidak tahu tentang semua produk tetapi sekurang-kurangnya mereka boleh membuat pemeriksaan untuk menilai sama ada produk yang diambil membawa kesan baik atau sebaliknya.