Kes buang bayi setiap tahun makin meningkat dan isu ini nampaknya seperti tiada titik noktah. Kita sering mendengar kes pembuangan bayi berlaku di tandas awam, surau, dan tempat pembuangan sampah.

Mengikut statistik dari tahun 2010 hingga 2018, terdapat sebanyak 697 kes pembuangan bayi berlaku di seluruh negara dan sebanyak 446 bayi ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa. Malah, kes pembuangan bayi bagi tahun ini setakat bulan Mei merekodkan 65 kes dimana ia satu angka yang agak besar.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apakah sebenarnya punca kes pembuangan bayi ini makin bertambah? Jika mencari punca utama sebenarnya ada banyak punca yang cenderung menyebabkan perkara tersebut berlaku kerana rasa malu, tidak diterima keluarga, pandangan serong orang ramai dan pelbagai lagi.

antara-kes-pembuangan-bayi-yang-berlaku-di-malaysia
Sumber: Ainanajwa.blogspot

Adakah anda tahu bahawa jika anda buang bayi, anda telah melakukan satu jenayah? Kes buang bayi boleh disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. Anda boleh dikenakan hukuman maksimum 20 tahun penjara.

Sebelum anda melakukan jenayah, cuba anda berfikir dahulu alternatif lain yang boleh anda lakukan. Sebenarnya terdapat beberapa pusat perlindungan dan didikan remaja hamil luar nikah yang ada.

Berikutan ingin menyelamatkan remaja yang hamil luar nikah daripada membuang bayi mereka kelak, Baitus Solehah merupakan rumah perlindungan untuk mereka yang terlanjur. Baitus Solehah dinaungi bawah Baitus Solehah Caring Centre dan tenaga kerja adalah daripada seluruh ahli keluarga pemilik Baitus Solehah yang dikenali sebagai Mak Liza.

Untuk pengetahuan anda, Baitus Solehah ini dibuka setiap hari 24 jam dan telah ditubuhkan pada 1 Mei 2013. Operasi pengurusan Baitus Solehah dibantu diuruskan oleh keluarga Mak Liza sendiri dari pengurusan pendaftaran masuk, kawalan keselamatan, pendidikan, kebersihan, kesihatan, pengangkutan, hal ehwal pelatih, kebajikan, antenatal, postnatal dan penyelenggaraan bangunan.

Setakat hari ini, Baitus Solehah mempunyai 4 buah premis dan setiap premis mempunyai kawalan keselamatan tertinggi. Ini kerana, Baitus Solehah mendapat kerjasama pihak polis dalam mengawal keselamatan premis-premis dan penghuni. Malah, tahap kesihatan yang sering dipantau oleh jabatan kesihatan daerah dan negeri.

Tiada sebarang bayaran pendaftaran atau bayaran bulanan dikenakan kepada pelatih dan segalanya ditanggung termasuk bayaran rawatan di klinik dan juga pendidikan. Pelatih tidak dibenarkan keluar kemana-mana kecuali klinik atau hospital bagi tujuan mendapatkan rawatan dan tidak boleh memiliki telefon bimbit serta hanya boleh berhubung dengan waris.

Menariknya, semua tenaga pendidik dan perkhidmatan adalah terdiri dari anak menantu sahaja dimana terdiri dari 3 orang al hafiz, 2 orang doktor, 2 orang guru, beberapa penyelia dan seorang pengurus. Sistem pendidikan di Baitus Solehah bermodulkan sistem pendidikan Madrasah, bermula pukul 4.00 pagi hingga 9.00 malam.

Selain diberi bimbingan fardhu ain dan ilmu agama, pelatih juga diajar pengurusan rumah tangga, penjagaan diri dan bayi selepas melahirkan. Tempoh mereka berada di Baitus Solehah adalah 6 bulan dan sehingga dijemput oleh waris untuk pulang ke rumah. Selagi waris tidak datang membawa keluar, mereka tetap berada di Baitus Solehah bersama anak mereka.

Ini pastinya merupakan satu usaha yang baik dilakukan bagi membantu remaja hamil luar nikah untuk bangkit dan tidak membuang bayi mereka. Untuk maklumat lanjut, anda boleh ke Facebook Baitus Solehah.