Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Salah satu kumpulan kaji selidik Early Warning Project yang bertapak di Amerika Syarikat menjangkakan bakal berlaku pembunuhan beramai-ramai atau genosid di Thailand. Negara yang terkenal dengan panggilan Gajah Putih itu berada di tangga ke-19 daripada 162 negara yang ‘berisiko tinggi’ bakal melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan Coconut Bangkok, kaji selidik itu menganggarkan terdapat 4.5%, atau kira-kira 1 dalam 22, kemungkinan pembunuhan besar-besaran akan berlaku di Thailand pada 2021 atau 2022. Antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya konflik tersebut adalah kurangnya kebebasan, sejarah dan konflik bersenjata antara pasukan keselamatan dan pemberontak. Kaji selidik juga menyebut kemunculan gerakan pro-demokrasi juga bakal menyumbang kepada berlakunya konflik terbabit.

Thailand terkenal sebagai antara syurga pelancongan di dunia, ia juga tidak lari daripada penculikan, penyeksaan dan pembunuhan kumpulan penentang yang mencabar politik dan sistem beraja Thailand. Antara kes terkenal yang bermain di dada akhbar tahun lalu adalah kehilangan aktivis Wanchalerm Satsaksit – dia juga dianggap mati – sejak dia diculik tahun lalu setelah mengkritik Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha secara terbuka.

Early Warning Project dikendalikan oleh Muzium Holocaust AS. Ia berkata, secara purata, satu atau dua negara mengalami situasi di mana berlakunya pembunuhan beramai-ramai setiap tahun. Ia mentakrifkan pembunuhan beramai-ramai sebagai 1,000 atau lebih orang awam yang dibunuh dengan sengaja dalam masa setahun kerana keahlian mereka dalam kumpulan tertentu.

Antara negara Asia lain yang memasuki senarai adalah Myanmar, di mana pergolakan yang terjadi antara pasukan pemberontak dan tentera telah mencetuskan kebimbangan bahawa bakal berlakunya perang saudara di sana. Sepuluh negara berisiko tinggi ialah Pakistan, India, Yaman, Afghanistan, Congo, Guinea, Ethiopia, Nigeria, Sudan dan Chad.

Early Warning Project telah menghasilkan penilaian risiko global setiap tahun sejak 2014. Kaji selidik ini menggunakan kaedah kuantitatif dan kualitatif untuk “menonjolkan” negara di mana kekejaman besar-besaran berisiko berlaku. Early Warning Project menggunakan data dan kaedah yang tersedia secara terbuka untuk menambah baik sistem amaran awal mereka. Walaupun pembunuhan beramai-ramai sudah berlaku dan masih berlaku di tempat-tempat seperti Sudan hingga Myanmar, Early Warning Project berkata matlamat lain adalah untuk menarik perhatian dunia bahawa negara seperti Thailand juga berisiko untuk memasuki episod hitam ini.

Kemenangan buat muslim Rohingya, mahkamah antarabangsa perintah Myanmar hentikan genosid. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Kemenangan Buat Muslim Rohingya, Mahkamah Antarabangsa Perintah Myanmar Hentikan Genosid

Laungan Reformasi Meledak, Raja Thailand ‘Lari’ Ke Jerman Bawa 30 Anjing Diraja

Muat Naik Video Mengganas Secara ‘Live’, Suspek Utama Tembakan Rambang Di Thailand Masih Bebas

Anda Mungkin Suka