Kalau anda ada sekitar Bangi dan tidak buat apa-apa hari ini dan esok, bolehlah ramai-ramai ke Bangi Vintage Fest yang sedang berlangsung di perkarangan tapak parkir PKNS. Senang cerita sebelah McDonalds Bandar Baru Bangi ini sahaja. Dengar cerita banyak barang vintage dan preloved rare dijual di sini.

Saya baru pergi sebentar tadi dan memang banyak kedai yang ambil bahagian. Ada 60 khemah yang semuanya barangan bundle dan preloved. Anda sedang cari beg? Kasut? Topi? Semua ada. Dan harganya pun bergantung kepada kondisi dan kadar ke-rare-ran barangan tersebut.

Paling saya suka di sini adalah Kimchi Vintage Store sebab boss kedai memang banyak sungguh barang dia bawa untuk Bangi Vintage Fest ini. Lambakan beg Louis Vuitton dari harga RM200 hingga RM1000+ ada di kedai ini, di samping barangan rare yang lain. Boss Kimchi juga ada sepasang kasut Converse Made In USA saiz 17! Yang ini memang tak tahu saiz kaki siapa yang muat sebab memang besar sungguh kasut ini.

Di samping itu, ada juga jualan kasut-kasut untuk kanak-kanak dan wanita. Jadi tiada alasan untuk tidak bawa seisi keluarga untuk datang dan jamu mata lihat barangan di Bangi Vintage Fest. Bangi Vintage Fest bermula semalam hingga esok. Katanya acara ini berlangsung 24 jam sehingga hari Ahad 12 tengah malam. Kalau anda nak datang jam 2 pagi pun tiada masalah.

Jadi kalau anda memang sedang mencari barangan rare untuk pakai semasa hari raya nanti ke, bolehlah datang singgah. Memang puas hati. Sediakan ongkosnya sahaja. Saya pun sudah sambar satu beg jenama Porter tadi. Jangan lupa tag rakan anda yang kaki selam. Sama-sama dapat barang rare nanti.