Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil telah mengumumkan panggilan Bangsar South yang sebelum ini dinamakan pada tahun 2012 selepas ianya dinaik taraf dimana ianya sebenarnya mempunyai nama asalnya Kampung Kerinchi dan akan dikembalikan seperti asal dengan menggunakan kembali nama Kampung Kerinchi sebagai panggilan untuk kawasan tersebut di dalam Majlis Pemasyhuran Kampung Kerinchi dan Perasmian Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Hal ini diputuskan oleh kerana kawasan Kampung Kerinchi merupakan satu warisan sejarah setempat yang sepatutnya dipertahankan dan dijadikan satu kebanggaan dimana Kampung Kerinchi telah sekian lama wujud sebelum wujudnya Lebuhraya Persekutuan dan kemerdekaan Malaya malah perkara tersebut merupaka janji Fahmi sebelum ini dalam kempen pilihan raya umum (PRU) ke- 14.

Oleh itu, Fahmi berkata, pihak mereka seharusnya mengekalkan nama kawasan Kampung Kerinchi tersebut kerana kita haruslah memartabatkan sejarah bangsa, nusa dan negara kita yang selama ini kita perjuangkan.

Beliau telah berjumpa dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), syarikat pemaju UOA Development, Persatuan Waris Kerinchi Kuala Lumpur, dan Dewan Bahasa dan Pustaka berkenaan pertukaran nama tersebut.

Kata Fahmi lagi, dalam masa yang sama beliau bukan sahaja berusaha untuk mengembalikan nama Kampung Kerinchi, malah beliau turut akan mengaturkan program-program buat penduduk di kawasan tersebut.

Antaranya, perbincangan sedang dilakukan dengan pihak DBKL untuk menjadikan Lembah Pantai antara kawasan laluan perkhidmatan bas percuma GoKL, selain pembinaan klinik kesihatan di kawasan itu serta pembinaan lebih banyak PPR.